Rahsia Kecemerlangan 11A Dalam PT3

Permata As Syddiq Terus Bersinar

Setiap kejayaan umpama sebuah pintu dan setiap pintu pasti ada kuncinya. Kunci bagi membuka pintu kejayaan ialah solat, kerana ia merupakan perkara pertama yang akan dihitung di akhirat.

Debaran yang mula dirasakan oleh pelajar hari ini bakal terhenti, kesemua calon PT3 di seluruh Malaysia bakal menyaksikan keputusan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) bagi sesi 2016. Sejak minggu lepas lagi unit Peperiksaan yang diketuai oleh Pn Nusaibah kelihatan sibuk membuat persiapan menjelang pengumuman rasmi hari ini. Pada tahun 2016 seramai 37 orang calon menduduki PT3 dengan nisbah 17 orang pelajar perempuan dan 20 orang pelajar lelaki.

Alhamdulillah dengan izin Allah jua, pada tahun ini  Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah berjaya melakar  kejayaan yang begitu membanggakan. Majlis penyerahan slip keputusan turut disertai Yang Dipertua Ahli Lembaga Pengelola (ALP) Sekolah  Dr Abd Hakim@ Miswan Bin Mohamed yang sudi meluangkan masa meraikan kejayaan anak-anak As Syddiq. Seramai 2 orang calon permata hati As Syddiq memperoleh 11A bagi semua kertas peperiksaan yang diambil. Manakala bagi pelajar yang lain mereka memperoleh sekurang-kurangnya 1A bagi semua subjek yang telah diambil. Syabas dan tahniah diucapkan kepada saudari Siti Radiah Bt Roslan dan Nur Fathiha Arfa Bt Azis.

Menyorot kembali perjalanan pelajar-pelajar ini, sudah pasti guru-guru PT3 adalah kelompok yang paling sibuk. Seawal bulan Januari lagi, Pengetua bersama GPK akademik telah mula menyusun jadual kelas tambahan kepada semua pelajar. Guru-guru yang mengajar subjek PT3 telah diminta untuk menyediakan bahan-bahan untuk membantu perkembangan pelajar selain dari bantuan dan nasihat secara tidak formal dari sahabat-sahabat guru dari Kementerian Pelajaran Malaysia.

Penulis sempat mengambil peluang menemuramah ibubapa bagi 2 calon yang berjaya melonjakkan nama As-Syddiq di kalangan sekolah-sekolah Menengah sekitar Kluang. Menurut kata bapa kepada Siti Radiah, beliau tidak mempunyai resepi tertentu untuk mendidik kejayaan cemerlang anak-anak, apa yang selalu ditekankan ialah perjalanan hidup kita jangan hanya dipandang kepada matlamat yang berada dihadapan tetapi lihatlah kepada cabaran yang harus ditempuh. Penulis tertarik untuk merungkai apa yang cuba disampaikan oleh En Roslan berhubung kata-kata beliau, tambahnya lagi kita selalu melihat matlamat itu sebagai tunjang utama untuk mencapai kejayaan tetapi kita terlupa cabaran yang harus kita lalui kerana menurutnya cabaran itu adalah sesuatu yang harus dipandang dari sudut positif.

Mereka yang berjaya adalah mereka yang sentiasa positif didalam hidup, singkirkan anasir negatif, sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran, jangan mudah berputus asa jika doa kita masih belum dikabulkan. Menurut ibu kepada Siti Radiah, bapanya lebih banyak memainkan peranan didalam memberi nasihat dan dorongan kepada anak sulungnya itu, setiap permasalahan harus dikongsi bersama dan ibubapa berperanan untuk meneutralkan keadaan. Radiah yang bercita-cita untuk membina kerjaya sebagai seorang doktor pakar sakit puan sangat disenangi oleh semua guru kerana akhlak yang ditampilkan disamping menjadi perujuk kepada sahabat-sahabatnya ketika di asrama.

Sebelum mengakhiri sesi temubual bersama salah seorang calon terbaik SMIAS ini, ayahnya sempat mengungkapkan kata-kata yang mungkin boleh dijadikan pedoman kepada pembaca yang lain, menurutnya kita hendaklah menjadi seperti intan dan permata, walau dimana jua kita dicampakkan kita akan terus bersinar, jadilah seseeorang yang mampu menyumbang dan mencipta penyumbang. Sebarkanlah ilmu seluas mungkin kerana ilmu itu wajib disampaikan walau hanya sekadar sepotong ayat.

IMG_3031.JPG

( Cikgu Zurin Zurina bersama keluarga Siti Radiah Bt Roslan )

Seterusnya, mari kita dekati seorang lagi calon cemerlang PT3 SMIAS, saudari Nur Fathiha Arfa Bt Azis yang lebih mesra dipanggil Arfa dikalangan guru-guru dan sahabat-sahabatnya. Penulis antara orang yang terawal mengenali beliau kerana ketika beliau ingin memasuki sekolah ini pada tahun 2015, penulis yang menemubual beliau untuk melihat tahap penguasaan beliau didalam Bahasa Melayu & Inggeris.

Pada pandangan pertama penulis, beliau dilihat sebagai seorang yang sangat berdikari dan matang, kehadirannya disekolah ini adalah rentetan dari pertemuan bapanya dengan sahabatnya yang anaknya turut bersekolah disini. Kepercayaan seorang bapa untuk menghantar anak yang memperoleh keputusan cemerlang didalam UPSR ini sememangnya adalah keputusan yang tepat. Penulis sebenarnya amat kagum dengan usaha yang beliau tonjolkan. Memasuki sekolah aliran agama dengan hanya berbekalkan pengetahuan yang mungkin tiada asas langsung didalam Bahasa Arab, kemudian mencabar dirinya sendiri untuk menduduki peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) pada tahun yang sama sememangnya memerlukan pengorbanan yang besar. Alhamdulillah beliau berjaya melakukannya walaupun tidak memperoleh kejayaan yang cemerlang.

Tetapi beliau tidak mudah berputus asa, berkat usaha beliau dan dengan pertolongan Allah jua, beliau berjaya memperoleh A bagi subjek Bahasa Arab. Sesungguhnya ini adalah pencapaian yang paling manis buat gadis manis yang berasal dari Johor ini. Menurut ibunya, Arfa jika dirumah lebih suka duduk menyendiri atau melayan adik-adiknya bermain, tambahnya lagi Arfa bukan jenis anak yang suka menghabiskan masa 24 dengan membaca, tetapi anak ini menurutnya amat gemar membaca novel melayu dan inggeris sejak dari sekolah rendah lagi, ini dapat dilihat menerusi penguasaan kosa kata dan pengetahuannya didalam aspek bahasa.

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang ini amat komited untuk meneruskan pengajian di As Syddiq dan meneruskan legasi kecemerlangan warga As Syddiq. Beliau dilihat tidak menjadikan kekurangan yang ada di As Syddiq sebagai salah satu faktor kegagalan tetapi beliau sentiasa yakin kebergantungan kita kepada Allah SWT, sentiasa mendengar dan menghormati ibubapa dan guru, mengekalkan silaturrahim antara sahabat dan jangan pernah mengalah dengan usaha yang dilakukan adalah resepi sesebuah kejayaan.

IMG_3079.JPG

( Cikgu Zurin Zurina bersama Nur Fathiha Arfa Bt Azis dan ibunya )

Berikut senarai nama pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan 5A keatas.

Keputusan 11 A

  1. Siti Radiah Bt Roslan
  2. Nurfathiha Arfa Bt Azis

Keputusan 10A

  1. Izzi Hainura Mohd Hailmi

Keputusan 8A

  1. Syazwani Bt Samsudin

Keputusan 6A

  1. Haziq Bin Rahmat
  2. Nur Afiqah Bt Amizan
  3. Nurhanani Bt Abd Razak

Keputusan 5A

  1. Muhammad Ismail Bin Zamri
  2. Muhd Nur Nafis Bin Ramlan
  3. Usamah Bin Khairuddin
  4. Nur Adibah Bt Zulkifli
  5. Nurul Syazwanie Bt Mohd Khalid

Kepada yang tidak berjaya memperoleh kejayaan cemerlang, jangan mudah berputus asa kerana ini adalah permulaan, perjalanan kita masih jauh.

( Pelajar Cemerlang PT3 Tahun 2016 yang mendapat 11A bersama keluarga dan guru-guru )

( Gambar suasana mengambil keputusan PT3 )

 

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Binti Atan

——————————-
 
Team Media As Syddiq
 
——————————-
 
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s