Tag Archives: al-quran

Karnival Pendidikan Islam (MTQ) Peringkat Daerah Antara Sekolah Menengah Daerah Kluang tahun 2017.

IMG-20170807-WA0001IMG-20170807-WA0002

Tanggal 28 Mac 2017 bersamaan hari Selasa, telah berlangsungnya Karnival Pendidikan Islam (MTQ) Peringkat Daerah Antara Sekolah Menengah Daerah Kluang anjuran PPD Kluang bagi tahun 2017 yang bertempat di SMK Datuk Abdul Rahman Andak (SEDARA) dan SMK Datuk Ibrahim Majid Simpang Renggam, Kluang Johor. Karnival ini telah mempertandingkan sebanyak 13 acara yang disertai oleh 28 buah sekolah di daerah Kluang. SM Islam As-Syddiq mengambil bahagian dan mewakili sekolah untuk 6 acara sahaja.

Pihak SM Islam As-Syddiq ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Muhamad Naufal bin Ahmad Khushairi kerana telah berjaya merangkul Naib Johan dalam acara Kalimatus Sobah manakala peserta lain hanya membawa pulang hadiah saguhati dan sijil penyertaan. Pihak karnival juga mengucapkan sekalung penghargaan kepada Puan Noor Rahizah Abd Rahman selaku AJK Hadiah dan Cenderamata dan Ustaz Mujahid Khamis sebagai Hakim Acara Hafazan Al-Quran (L) atas kerjasama yang diberikan dalam melancarkan perjalanan majlis.

Banyak perkara dan hikmah di sebalik penganjuran Karnival MTQ ini. Selepas ditemu bual, rata-rata peserta SMI As-Syddiq dapat memperoleh pengalaman dan pengetahuan baru selain aktiviti dalam bilik darjah. Selain itu juga mereka dapat menambah kenalan baru dari sekolah-sekolah Daerah Kluang. Sebagai contoh, peserta taranum Muhammad Ting 5, rasa berbangga dapat belajar tentang taranum Al-Quran dan cuba untuk bertanding ke peringkat lebih tinggi kerana sebelum ini beliau pun tiada pengalaman bertaranum bidang Qiraat.

Berbeza dengan Muhamad Naufal Ting 5, beliau rasa sangat bersyukur walaupun Naib Juara yang diperoleh berjaya dikekalkan seperti tahun lepas, namun pertandingan tahun ini dirasakan mencabar kerana jumlah peserta lain yang ramai dan saingan yang lebih sengit. Begitu juga dengan Thaqif dan Syuraih Ting 5, walaupun dapat menjangkakan tidak mendapat sebarang mata, namun mereka masih berpuas hati dapat mencuba nasib dan berbangga kerana dapat mewakili sekolah untuk memperoleh mata merit dalam Sijil Ko-kurikulum.

Akhir kata, diharapkan Karnival Pendidikan Islam MTQ dapat dianjurkan lagi pada tahun-tahun yang akan datang dan SMIAS dapat menghantar lebih ramai pelajar dalam setiap acara yang dipertandingkan. Hal ini kerana berasaskan kelebihan-kelebihan dan hikmah yang diperoleh oleh para pelajar sangat bernilai untuk masa akan datang.

Suasana sekitar program :

——————————-
Team Media As Syddiq

——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

 

 

Advertisements

Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12

Pada cuti sekolah,penggal pertama tanggal 18 hingga 20 haribulan Mac,Kelab Remaja Haluan (KeARAH) telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12.

Bertemakan “Remaja Berfikrah Penggerak Ummah” yang bertempat di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput (U), Perak yang telah dihadiri seramai 218 orang dari seluruh Malaysia.

Program PeWARIS 12 ini dirasmikan oleh YDP HALUAN Perak. Kemudian program diteruskan dengan taklimat program dan heart setting daripada Kem Komanden iaitu Abang Talhah bin Hazni. Peserta dibahagikan di dalam kumpulan melalui aktiviti ‘Ice Breaking’ yang mana peserta diberi sekeping kertas yang tertulis beberapa nama-nama Allah (Asmaul Husna) kemudian,barisan fasilitator menutup mata para peserta menggunakan sehelai kain dan para peserta perlu mencari ahli kumpulan mereka.Aktiviti ini sangat menguji mental dan fizikal para peserta.

Program diteruskan dengan slot pertama yang bertajuk Bahtera Penyelamat. Slot ini disampaikan oleh Encik Rosdi bin Baharom belian merupakan pendakwah sepenuh masa.Beliau ada mengingatkan peserta bahawa berdakwah ini bukan kerja untuk kita dapat duit. Pada sebelah malam, selepas selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah program diteruskan dengan LDK dan perbentangan bagi slot pertama. Perbentangan pada malam tersebut dibentangkan dalam bentuk lakonan, yang mana pihak program mengasingkan peserta perempuan di Musollah manakala peserta lelaki di Dewan Utama. Selesai sahaja perbentangan peserta perempuan digerakkan ke Dewan Utama untuk mendengar taklimat KeARAH (Kelab Remaja HALUAN) yang disampaikan oleh Encik Muhammad Radhi bin Rahman  Taklimat ini mengenalkan para peserta apa itu KeARAH,sejarah,visi,misi dan motto KeARAH. Seterusnya , sebelum kem komanden melepaskan para peserta untuk berehat , mereka bersama-sama membaca surah Al Mulk dari awal hingga akhir.

An-Nasai meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda, sesiapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka Allah akan mencegahnya dari seksa kubur. (HR An-Nasai)

Pada hari kedua, seawal 4.30 pagi para peserta dikejut. Mereka menunaikan solat subuh secara berjemaah dan mendengar sedikit kuliah subuh. Kemudian,kem komanden mengarahkan para peserta berkumpul di tanah lapang berhampiran dengan Musollah dan mengadakan KULTUM ( Kuliah Tujuh Minit) sementara menunggu sarapan siap. Selepas para peserta bersantap, mereka dikumpulkan kembali di tempat mereka berkumpul tadi untuk sesi fotografi. Selesai sahaja sesi fotografi semua para peserta digerakkan ke Surau Kampung Sungai Durian,Sungai Siput dengan berjalan kaki untuk aktiviti Kembara PeWARIS dan aktiviti kemasyarakatan. Sampai sahaja di perkarangan surau, Allah izin hujan renyai-renyai tetapi program tetap diteruskan dengan sepatah dua kata dari Ketua Kampung. Selepas itu, peserta lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan membersihkan surau bahagian lelaki dan lagi satu kumpulan membersihkan dewan orang ramai Kampung Sungai Durian manakala peserta perempuan membersihkan stor surau dan bahagian solat perempuan.

Selesai sahaja menjalankan aktiviti pembersihan, para peserta dikehendaki untuk makan tengah hari dan mendengar sedikit ucapan penghargaan dari ketua kampung. Kem komanden membenarkan para peserta untuk qailullah dan berehat sebentar sementara menunggu masuk waktu solat zhohor. Setelah menunaikan solat zhohor,para peserta dikehendaki menziarahi beberapa buah rumah mengikut kumpulan dan memberi sedikit buah tangan. Kemudian,para peserta berjalan pulang balik ke kem. Program diteruskan lagi pada sebelah malam,selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah program disambung dengan slot kedua yang berjudul Pembentukan dan Kesedaran Islam. Slot kedua ini disampaikan oleh Setiausaha Haluan Perak, Encik Ahmad Salleh. Disini beliau menerangkan beberapa syarat kepimpinan. Kemudian,program diteruskan dengan LDK untuk slot kedua,seusai para peserta menunaikan solat isyak secara berjemaah.

Pada hari terakhir program, selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah dan sedikit pengisian hati dengan tajuk Ciri-ciri Penghayatan Islam para peserta digerakkan menuju ke sungai yag berhampiran dengan kem tersebut. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki dahulu untuk masuk kedalam sungai dan diikuti dengan peserta perempuan dengan kedinginan di pagi hari di tambah dengan kesejukan air sungai. Sejuknya, MashaAllah. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki untuk berganjak ke tempat jauh sedikit agar ada jurang antara lelaki dan perempuan. Peserta lelaki dikehendaki untuk menyanyikan lagu Asmaul Husna dan sedikit aktiviti (maaf tidak diketahui) manakala peserta perempuan dikehendaki untuk membaca Al Mathurat dan melakukan aktiviti yang dapat mengeratkan ukhwah sesama mereka.

Habis sahaja aktiviti tersebut para peserta dikehendaki untuk memasak sarapan mereka sendiri walaupun dalam keadaan basah aktiviti ini dinamakan Chef de PeWARIS. Selesai sahaja aktiviti tersebut makanan kami diuji oleh para juri yang berkepimpinan. Selesai kami menjamu selera, kami diberi arahan untuk mempersiapkan diri dan mengemas dorm. Tepat jam 11.00 pagi para peserta telah berkumpul di Dewan Utama untuk majlis penutupan.

Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program PeWARIS.

Sekitar Perkhemahan :

 

Syazwani Binti Samsudin

Pelajar Sekolah Islam As Syddiq

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

ORIENTASI PELAJAR TINGKATAN 1 & TINGKATAN 4 SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ 2017

Alhamdulillah,

Dimulakan dengan Bismilah,

Disudahi dengan Alhamdulillah,

Begitulah sehari dalam hidup kita

Mudah-mudahan dirahmati Allah…

Alhamdulillah selesai sudah minggu orientasi untuk pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Sekolah Menengah Islam As Syddiq bagi sesi 2017. Pelbagai ragam dan keletah anak – anak didik yang baru menempuhi alam persekolahan peringkat menengah terutamanya bagi pelajar Tingkatan 1. Ahlan Wasahlan sekali lagi penulis ucapkan kepada semua pelajar Tingkatan 1 dan 4 tahun 2017. Semoga minggu orientasi ini menjadi memori terindah dalam kehidupan mereka dan memberikan pengalaman yang berharga dan boleh diceritakan kepada generasi seterusnya.

Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi pelajar Tingkatan 1 di bawah pimpinan Ustaz Mohd Hazami bin Taib dan pelajar Tingkatan 4 di bawah pimpinan Ustaz Mohd Khairullah bin Khairudin. Pada hari pertama kesemua pelajar Tingkatan 1 & 4  telah dibawa menyelusuri Sejarah As Syddiq serta Harapan Sekolah Menengah Islam As Syddiq yang telah disampaikan oleh Tuan Pengetua Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Selain itu pelajar  juga diperingatkan tentang peraturan dan undang-undang sekolah dan asrama sepanjang mereka berada di sekolah di bawah seliaan GPK HEM, Puan Noor Rahizah binti Abd Rahman dan Penyelia Asrama, Puan Rose Zaharianton binti Zahari. Diharapkan dengan peringatan – peringatan  ini dapat menjadikan seorang pelajar lebih berdisiplin dalam kehidupan mereka.

Bagi membangkitkan suasana ceria di kalangan pelajar mereka juga telah diperkenalkan dengan Lagu Sekolah dan Lagu Bingkai Kehidupan.Tidak ketinggalan Unit Akademik juga turut terlibat dalam minggu orientasi ini dalam menyampaikan taklimat berkenaan dengan subjek dan peperiksaan akademik dan deeniah yang diajar di Sekolah Menengah Islam  As Syddiq.Taklimat tersebut telah disampaikan oleh GPK AKADEMIK, Puan Nusaibah binti Md Yamin bagi subjek akademik dan SUPD DEENIYAH Ustazah Nabilah binti Ibrahim. Selain itu sesi taklimat PAJSK & Kokurikulum juga telah disampaikan oleh GPK KOKO, En Muhamat Raman bin Sarif.

Seterusnya pada hari ketiga, Ustaz Muhamad Nizam bin Ismail dari Unit Tarbiyah Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah menyampaikan slot yang bertajuk Jati Diri Pelajar Muslim & 10 ciri pelajar Muslim kepada pelajar Tingkatan 1 & 4. Diharapkan daripada slot yang disampaikan dapat menjadikan pelajar seorang yang berwibawa dan berketrampilan. Seterusnya aktiviti diteruskan dengan Taklimat SPBT oleh Madam Wan Rohimah binti Hairani dan Taklimat Kaunseling oleh Puan Hairunnisa binti Busro bagi pelajar Tingkatan 1. Manakala bagi pelajar Tingkatan 4, mereka terlibat dengan Slot Indahnya Bersama Tuhan dan sesi Latihan dalam kumpulan.

Minggu orientasi pelajar Tingkatan 1 & 4 telah berakhir dengan Majlis Penutup Program Orientasi 2017 yang telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua Sekolah Menengah Islam As Syddiq Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Akhir kalam diharapkan dengan program orientasi yang dijalankan oleh pihak sekolah dapat memecahkan ais-ais di kalangan para pelajar dan mereka dapat meneruskan kehidupan di As Syddiq dalam suasana yang diredhai Allah. Sekian….

Suasana orentasi Pelajar Tingkatan 1 :

Suasana orentasi Pelajar Tingkatan 4 :

Sekitar Majlis Penutup oleh Pengetua dan Ustaz Nizam :

 

LAPORAN DISEDIAKAN:

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Kem Minda Kreatif (KMK) & Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST)

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Alhamdulillah, baru-baru ini kami di As Syddiq telah pun selesai melaksanakan 2 program mega bagi pelajar tingkatan 1 sehingga 4 iaitu Kem Minda Kreatif (KMK) dan ProCAST (Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji). Selaras dengan falsafah pendidikan di As-Syddiq yang mahukan pelajar yang memiliki pendidikan terancang, kemaskini dan terpimpin, berteraskan tauhid, mentarbiah dan meningkatkan potensi pelajar kearah melahirkan insan cemerlang yang seimbang dari segi rohani, akal, jasmani dan emosi dan seterusnya berkhidmat kepada Islam untuk kemakmuran alam sejagat.

Kali ini kami di pihak sekolah telah bersetuju untuk memilih Kem PLKN, Teluk Sari Mersing sebagai lokasi program. Keterujaan jelas kelihatan, apabila berbondong-bondong pelajar mula membanjiri ruang legar persekolahan seawal jam 7.30 pagi. Petugas-petugas kantin sudah bersiap sedia dengan menu istimewa “Nasi Lemak As Syddiq” khusus untuk santapan peserta program. Program yang berdurasi selama 3 hari ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 216 orang peserta dari kalangan pelajar As Syddiq dan pelajar-pelajar dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Kolaborasi guru-guru As Syddiq dan guru-guru dari Kelab Guru HALUAN  banyak membantu didalam melicinkan perjalanan program. Kami sama-sama bergerak didalam menyampaikan wadah bagi melahirkan insan cemerlang yang diredhai Allah.

Bagi yang baru mengenali As Syddiq KMK adalah program yang dibangunkan khusus untuk pelajar tingkatan 1 sehingga 3, dengan tema “Rabbani Impian Syurga”. Pelbagai pengisian disusun bagi mencapai objektif yang disasarkan. Masa peserta yang menghadiri program ini sentiasa dimanfatkan dengan aktiviti yang membentuk jiwa dan peribadi. Penulis tertarik untuk berkongsi beberapa aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti “Subuh Circle” dan “Explorace”. Ia sangat bertepatan sekali dengan lagu tema program “Hadapilah” oleh Shoutul Harakah. Bait-bait liriknya mendorong peserta untuk kuat menghadapi segala rintangan dan cabaran sebagai seorang pelajar dan jangan pernah berputus asa kerana Allah sentiasa berada bersama orang-orang yang selalu mengingatinya.

Berbeza sedikit dengan ProCAST, ia lebih menjurus kepada pembentukkan kepimpinan pelajar. Bersesuaian dengan tahap pelajar Tingkatan 4 yang baru menginjak ke alam remaja, ProCAST lebih selektif didalam pemilihan modul seperti komunikasi, pengurusan emosi dan 3 persoalan hidup. Bagi memantapkan program yang diatur, penceramah-penceramah yang berpengalaman diundang untuk menyampaikan wadah yang berguna kepada pelajar. Jika KMK memilih “Hadapilah”,  ProCAST memilih lagu “Mujahid Setia” sebagai tema di sepanjang program. Semangat yang dibawa dari lagu tersebut sememangnya memberi inspirasi kepada peserta yang terlibat.

Besarlah harapan kami agar program-program yang telah disertai oleh pelajar-pelajar ini dapat membentuk mereka menjadi insan yang bertakwa dan berketrampilan. Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program KMK dan ProCAST.

Berikut adalah montaj yang dihasilkan dipenghujung program, mari kita ikuti :

Montaj KMK :

Montaj ProCAST :

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Jati Diri Kesukarelawanan 2016

Alhamdulillah, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal melabuhkan tirainya secara rasmi pada 06 Disember 2016. Bagi pelajar-pelajar di As Syddiq, mereka telah pun menghabiskan kertas terakhir mereka secara rasmi pada 24 Disember 2016 yang lalu.

Sebagai institusi yang sentiasa berpegang kepada prinsip memperbaiki kualiti diri kerana Allah dan mendidik kerana Allah, program kemuncak bagi pelajar yang bakal meninggalkan alam persekolahan sudah lama diaturkan oleh pihak HALUAN. Selaku generasi kedua pelapis As Syddiq, mereka telah lama didedahkan dengan program-program yang telah diaturkan oleh HALUAN pusat. Program Jati Diri Kesukarelawanan  (JDK) merupakan program yang sangat ditunggu-tunggu.

Apa itu JDK? Bagi yang baru mengenali As-Syddiq dan HALUAN, JDK mungkin kedengaran asing di halwa telinga, tetapi sebenarnya JDK adalah program yang sudah hampir 7 tahun bertapak. Kali pertama ia diadakan di Terengganu selama hampir 2 bulan. Saban tahun JDK tidak pernah culas memperbaiki mutu program  dengan menyediakan program-program yang memberikan penekanan kepada aspek pembentukan jati diri dan kesukarelawanan kepada pelajar lepasan SPM.

Mengapa pelajar-pelajar ini wajib menyertai JDK? Program ini dibangunkan untuk mendedahkan pelajar kepada kemahiran berorganisasi, pengurusan dan komunikasi.  Selain dari itu JDK membina kemahiran pengurusan diri dan  melahirkan individu yang sayang dan sanggup berbakti kepada masyarakat serta melahirkan kepimpinan pelajar berwibawa dan berketerampilan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang JDK, mari kita sama-sama layari laman web dibawah untuk maklumat lanjut.

http://www.jdk.haluan.org.my

photo_2016-11-29_12-35-06.jpg

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

JoM Puasa Hari Arafah

Puasa Arafah merupakan salah satu puasa yang sangat dianjurkan didalam Islam. Hukumnya ialah sunnah muakkad. Sunnah yang sangat dianjurkan.

Puasa Arafah dilaksanakan pada tanggal 9 Dzulhijjah iaitu pada 11 September 2016 | ahad pada tahun ini, sehari sebelum Aidil Adha. Pada saat jemaah haji melakukan wukuf di Arafah, kaum muslimin yang tidak menunaikan haji disunnahkan untuk melakukan puasa Arafah.

Puasa Arafah memiliki keutamaan yang luar biasa, lebih besar berbanding puasa Asyura. Jika puasa asyura dapat menghapus dosa setahun sebelumnya, keutamaan puasa Arafah dapat menghapuskan dosa selama dua tahun; iaitu satu tahun sebelumnya dan satu tahun sesudahnya.

سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ فَقَالَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Rasulullah ditanya tentang puasa hari Arafah, baginda menjawab, “Puasa itu menghapus dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun berikutnya” (HR. Muslim)

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : قَالَ لَهُ رَجُلٌ أَرَأَيْتَ صِيَامَ عَرَفَةَ ؟ قَالَ : أَحْتَسِبُ عِنْدَ اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Dari Abi Qatadah, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, seorang lelaki bertanya kepada baginda, “Bagaimanakah puasa arafah?” Baginda menjawab, “Ia dicatat di sisi Allah dapat menghapus dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya” (HR. Ahmad)

Masya Allah… demikianlah keutamaan besar puasa Arafah. Semoga dengan sedikit penulisan ini dapat memotivasikan untuk mengerjakannya dan diberikan kepada kita kemudahan oleh Allah untuk menunaikannya serta mendapat keredhaNya.

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/