Tag Archives: Anak soleh

Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12

Pada cuti sekolah,penggal pertama tanggal 18 hingga 20 haribulan Mac,Kelab Remaja Haluan (KeARAH) telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12.

Bertemakan “Remaja Berfikrah Penggerak Ummah” yang bertempat di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput (U), Perak yang telah dihadiri seramai 218 orang dari seluruh Malaysia.

Program PeWARIS 12 ini dirasmikan oleh YDP HALUAN Perak. Kemudian program diteruskan dengan taklimat program dan heart setting daripada Kem Komanden iaitu Abang Talhah bin Hazni. Peserta dibahagikan di dalam kumpulan melalui aktiviti ‘Ice Breaking’ yang mana peserta diberi sekeping kertas yang tertulis beberapa nama-nama Allah (Asmaul Husna) kemudian,barisan fasilitator menutup mata para peserta menggunakan sehelai kain dan para peserta perlu mencari ahli kumpulan mereka.Aktiviti ini sangat menguji mental dan fizikal para peserta.

Program diteruskan dengan slot pertama yang bertajuk Bahtera Penyelamat. Slot ini disampaikan oleh Encik Rosdi bin Baharom belian merupakan pendakwah sepenuh masa.Beliau ada mengingatkan peserta bahawa berdakwah ini bukan kerja untuk kita dapat duit. Pada sebelah malam, selepas selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah program diteruskan dengan LDK dan perbentangan bagi slot pertama. Perbentangan pada malam tersebut dibentangkan dalam bentuk lakonan, yang mana pihak program mengasingkan peserta perempuan di Musollah manakala peserta lelaki di Dewan Utama. Selesai sahaja perbentangan peserta perempuan digerakkan ke Dewan Utama untuk mendengar taklimat KeARAH (Kelab Remaja HALUAN) yang disampaikan oleh Encik Muhammad Radhi bin Rahman  Taklimat ini mengenalkan para peserta apa itu KeARAH,sejarah,visi,misi dan motto KeARAH. Seterusnya , sebelum kem komanden melepaskan para peserta untuk berehat , mereka bersama-sama membaca surah Al Mulk dari awal hingga akhir.

An-Nasai meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda, sesiapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka Allah akan mencegahnya dari seksa kubur. (HR An-Nasai)

Pada hari kedua, seawal 4.30 pagi para peserta dikejut. Mereka menunaikan solat subuh secara berjemaah dan mendengar sedikit kuliah subuh. Kemudian,kem komanden mengarahkan para peserta berkumpul di tanah lapang berhampiran dengan Musollah dan mengadakan KULTUM ( Kuliah Tujuh Minit) sementara menunggu sarapan siap. Selepas para peserta bersantap, mereka dikumpulkan kembali di tempat mereka berkumpul tadi untuk sesi fotografi. Selesai sahaja sesi fotografi semua para peserta digerakkan ke Surau Kampung Sungai Durian,Sungai Siput dengan berjalan kaki untuk aktiviti Kembara PeWARIS dan aktiviti kemasyarakatan. Sampai sahaja di perkarangan surau, Allah izin hujan renyai-renyai tetapi program tetap diteruskan dengan sepatah dua kata dari Ketua Kampung. Selepas itu, peserta lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan membersihkan surau bahagian lelaki dan lagi satu kumpulan membersihkan dewan orang ramai Kampung Sungai Durian manakala peserta perempuan membersihkan stor surau dan bahagian solat perempuan.

Selesai sahaja menjalankan aktiviti pembersihan, para peserta dikehendaki untuk makan tengah hari dan mendengar sedikit ucapan penghargaan dari ketua kampung. Kem komanden membenarkan para peserta untuk qailullah dan berehat sebentar sementara menunggu masuk waktu solat zhohor. Setelah menunaikan solat zhohor,para peserta dikehendaki menziarahi beberapa buah rumah mengikut kumpulan dan memberi sedikit buah tangan. Kemudian,para peserta berjalan pulang balik ke kem. Program diteruskan lagi pada sebelah malam,selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah program disambung dengan slot kedua yang berjudul Pembentukan dan Kesedaran Islam. Slot kedua ini disampaikan oleh Setiausaha Haluan Perak, Encik Ahmad Salleh. Disini beliau menerangkan beberapa syarat kepimpinan. Kemudian,program diteruskan dengan LDK untuk slot kedua,seusai para peserta menunaikan solat isyak secara berjemaah.

Pada hari terakhir program, selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah dan sedikit pengisian hati dengan tajuk Ciri-ciri Penghayatan Islam para peserta digerakkan menuju ke sungai yag berhampiran dengan kem tersebut. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki dahulu untuk masuk kedalam sungai dan diikuti dengan peserta perempuan dengan kedinginan di pagi hari di tambah dengan kesejukan air sungai. Sejuknya, MashaAllah. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki untuk berganjak ke tempat jauh sedikit agar ada jurang antara lelaki dan perempuan. Peserta lelaki dikehendaki untuk menyanyikan lagu Asmaul Husna dan sedikit aktiviti (maaf tidak diketahui) manakala peserta perempuan dikehendaki untuk membaca Al Mathurat dan melakukan aktiviti yang dapat mengeratkan ukhwah sesama mereka.

Habis sahaja aktiviti tersebut para peserta dikehendaki untuk memasak sarapan mereka sendiri walaupun dalam keadaan basah aktiviti ini dinamakan Chef de PeWARIS. Selesai sahaja aktiviti tersebut makanan kami diuji oleh para juri yang berkepimpinan. Selesai kami menjamu selera, kami diberi arahan untuk mempersiapkan diri dan mengemas dorm. Tepat jam 11.00 pagi para peserta telah berkumpul di Dewan Utama untuk majlis penutupan.

Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program PeWARIS.

Sekitar Perkhemahan :

 

Syazwani Binti Samsudin

Pelajar Sekolah Islam As Syddiq

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Advertisements

Kem Minda Kreatif (KMK) & Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST)

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Alhamdulillah, baru-baru ini kami di As Syddiq telah pun selesai melaksanakan 2 program mega bagi pelajar tingkatan 1 sehingga 4 iaitu Kem Minda Kreatif (KMK) dan ProCAST (Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji). Selaras dengan falsafah pendidikan di As-Syddiq yang mahukan pelajar yang memiliki pendidikan terancang, kemaskini dan terpimpin, berteraskan tauhid, mentarbiah dan meningkatkan potensi pelajar kearah melahirkan insan cemerlang yang seimbang dari segi rohani, akal, jasmani dan emosi dan seterusnya berkhidmat kepada Islam untuk kemakmuran alam sejagat.

Kali ini kami di pihak sekolah telah bersetuju untuk memilih Kem PLKN, Teluk Sari Mersing sebagai lokasi program. Keterujaan jelas kelihatan, apabila berbondong-bondong pelajar mula membanjiri ruang legar persekolahan seawal jam 7.30 pagi. Petugas-petugas kantin sudah bersiap sedia dengan menu istimewa “Nasi Lemak As Syddiq” khusus untuk santapan peserta program. Program yang berdurasi selama 3 hari ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 216 orang peserta dari kalangan pelajar As Syddiq dan pelajar-pelajar dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Kolaborasi guru-guru As Syddiq dan guru-guru dari Kelab Guru HALUAN  banyak membantu didalam melicinkan perjalanan program. Kami sama-sama bergerak didalam menyampaikan wadah bagi melahirkan insan cemerlang yang diredhai Allah.

Bagi yang baru mengenali As Syddiq KMK adalah program yang dibangunkan khusus untuk pelajar tingkatan 1 sehingga 3, dengan tema “Rabbani Impian Syurga”. Pelbagai pengisian disusun bagi mencapai objektif yang disasarkan. Masa peserta yang menghadiri program ini sentiasa dimanfatkan dengan aktiviti yang membentuk jiwa dan peribadi. Penulis tertarik untuk berkongsi beberapa aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti “Subuh Circle” dan “Explorace”. Ia sangat bertepatan sekali dengan lagu tema program “Hadapilah” oleh Shoutul Harakah. Bait-bait liriknya mendorong peserta untuk kuat menghadapi segala rintangan dan cabaran sebagai seorang pelajar dan jangan pernah berputus asa kerana Allah sentiasa berada bersama orang-orang yang selalu mengingatinya.

Berbeza sedikit dengan ProCAST, ia lebih menjurus kepada pembentukkan kepimpinan pelajar. Bersesuaian dengan tahap pelajar Tingkatan 4 yang baru menginjak ke alam remaja, ProCAST lebih selektif didalam pemilihan modul seperti komunikasi, pengurusan emosi dan 3 persoalan hidup. Bagi memantapkan program yang diatur, penceramah-penceramah yang berpengalaman diundang untuk menyampaikan wadah yang berguna kepada pelajar. Jika KMK memilih “Hadapilah”,  ProCAST memilih lagu “Mujahid Setia” sebagai tema di sepanjang program. Semangat yang dibawa dari lagu tersebut sememangnya memberi inspirasi kepada peserta yang terlibat.

Besarlah harapan kami agar program-program yang telah disertai oleh pelajar-pelajar ini dapat membentuk mereka menjadi insan yang bertakwa dan berketrampilan. Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program KMK dan ProCAST.

Berikut adalah montaj yang dihasilkan dipenghujung program, mari kita ikuti :

Montaj KMK :

Montaj ProCAST :

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Kenapa Hantar Anak Ke Sekolah Agama Swasta?  

Setiap kali hantar anak perempuan JR ke sekolah menengah, pasti melalui sekolah rendah agama swasta itu yang terletak di Jalan Langgar, Alor Setar. Sesuatu yang tak menyeronokkan ketika melalui jalan itu ialah kesesakan yang boleh tahan juga. Ini kerana kereta berbaris untuk turunkan anak masing-masing di luar pagar sekolah.
Melihat kenderaan-kenderaan yang hantar anak ke sekolah agama swasta itu, kita boleh agak latar belakang keluarga kanak-kanak itu. Memang ada yang menghantar anak naik motor kapcai, tapi yang menyumbangkan jam ialah ibu bapa yang berkereta, sebahagiannya kereta mewah. Bila ibu bapa berkereta mewah – BMW, Mercedes, Accord dan pacuan 4 roda berjenama, kita boleh agak pekerjaan mereka. Mereka pasti bukan penjual goreng pisang, penjual nasi lemak gerai tepi jalan atau kakitangan kerajaan dan swasta pangkat rendah. Mereka pasti seseorang yang banyak duit.
Ironisnya, sekolah rendah agama swasta itu  nampak seperti biasa-biasa saja. Ia sebuah sekolah 2 tingkat diperbuat dari kayu dan catnya juga nampak sudah agak pudar. Ada yang kata kemudahan di sekolah rendah agama itu tidaklah sebaik sekolah kebangsaan. Tenaga pengajarnya pula cuma kelihatan seperti cikgu/ustaz biasa-biasa saja, tak nampak membawa perwatakan penuh kemegahan duniawi..
Pernah tak korang terpikir mengapa ibu bapa berpangkat besar, bekerjaya bagus, status sosial ternama, menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama swasta yang kurang kemudahan, guru kurang terlatih dan yuran yang dikenakan pula agak tinggi? Satu lagi yang ironis ialah ada guru sekolah,  penolong kanan sekolah, pengetua sekolah kerajaan sendiri menghantar anak mereka ke sekolah agama swasta yang nampak seperti “ketinggalan”? Mengapa berlaku begitu?
Tadi JR baca jawapan kepada persoalan ini di Facebook:
Screenshot_2015-02-09-17-20-55_1.jpg
Screenshot_2015-02-09-17-21-16_1.jpg
Screenshot_2015-02-09-17-21-37_1.jpg
Sumber dipetik : http://mycuteshoppe.blogspot.my/2015/02/kenapa-hantar-anak-ke-sekolah-agama.html?m=1

IFTAR PERDANA DI AS-SYDDIQ

IFTAR PERDANA DI AS-SYDDIQ

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT- Tuhan semesta alam. Rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan kehendak-Nya, Dia telah memilih kita untuk sekali lagi berada dalam bulan Ramadhan yang mulia, seperti masuknya kita ke dalam universiti Ramadhan. Tentu ada yang tertanya-tanya kenapa ia dinamakan universiti Ramadhan? Kerana bulan ini merupakan bulan tarbiah, bulan pendidikan, di mana jiwa-jiwa kita ditarbiah dengan undang-undang Ramadhan dan hati-hati kita dimotivasikan dengan kelebihan-kelebihan atau fadhilat-fadhilat Ramadhan.

Saban tahun kami di bumi wakaf As-Syddiq meraikan Iftar Perdana peringkat sekolah. Ibubapa dijemput untuk sama-sama mengimarahkan budaya membaca al-Quran secara bertadarus dan perkongsian ilmu berkaitan Ramadhan Al-Mubaraq. Pada tahun ini kami telah mengundang Tn Hj Hasrin Bin Wagimin untuk memberikan sedikit tazkirah kepada para tetamu yang hadir.

Sejak jam 5 petang lagi tetamu telah mula membanjiri dataran SRIAS untuk sama-sama meraikan Iftar Perdana, ucapan terima kasih kepada para tetamu yang membawa ‘potluck’ untuk dijamah bersama tetamu yang lain. Selain dari pengisian hati, anak-anak As-Syddiq ini turut menerima sumbangan duit raya dari pihak sekolah dan pihak yang sudi menyumbang kepada pembangunan di As-Syddiq.

Sebaik sahaja azan maghrib berkumandang, para tetamu disaji dengan hidangan ringan seperti kurma dan buahan sebelum hidangan berat selepas mengerjakan solat maghrib berjemaah. Semoga ikatan yang terjalin antara ibubapa, penjaga, para staff As-Syddiq dan para pelajar terus kukuh dan menjadi inspirasi kepada penggerak masa hadapan.

Sebelum berpisah, team media As-Syddiq  ingin berkongsi sedikit tazkirah berkaitan Ramadhan Al Mubaraq, bulan yang penuh dengan agenda ibadah yang rugi jika disia-siakan.

 

 Bukan senang nak masuk univerisiti, tapi kita pada hari ini Alhamdulillah syukur, dipilih oleh Tuhan untuk sama-sama masuk universiti Ramadhan. Pendaftarannya cukup mudah, tak payah bayar duit cuma niat saja sama ada niat setiap hari ataupun niat sebulan terus. Bulan bertuah ini juga bolehlah disebut sebagai bulan ibadah. Boleh juga disebut sebagai bulan mujahadah. Disebut juga bulan rahmah dan bulan maghfirah. Dan macam-macam lagi sebutan yang baik-baik. Jangan kita sebut dengan yang tak baik sudahlah. “Wuih nak mai dah bulan bala, nak makan minum pun susah. Jadi namanya bulan ibadah, bulan mujahadah, bulan rahmah, bulan maghfirah. Kenapa dinamakan bulan ibadah? Kerana pada bulan ini manusia berlumba-lumba untuk menambah amal-amalan mereka. Kalau sebelum bulan Ramadhan dia malas nak beramal ibadah, tapi apabila sampai saja bulan Ramadhan, biasanya amalan seseorang akan bertambah walaupun sedikit. Betul tak? Jadi pada bulan ini manusia berlumba-lumba untuk menambah amal-amalan mereka. Ataupun dari segi hakikatnya untuk menambah ‘pengabdian’ kepada Allah SWT. Perkataan ibadah berkait rapat dengan perkataan abdi, berkait juga dengan perkataan abdullah. Beribadah ni maksudnya berabdi kepada Allah. Macam mana cara berabdi kepada Allah? Sebenarnya senang saja. Buat apa yang Dia suruh dan jangan buat apa yang Dia larang. Selain itu, kita tambah dengan buat apa yang Dia suka, iaitu amalan-amalan sunat. Begitulah cara-cara berabdi kepada Allah. Kenapa dinamakan bulan mujahadah? Sebab pada bulan ini kita berperang melawan nafsu. Sesiapa yang berlawan sungguh-sungguh dengan nafsunya, dia dikira mujahid. Kalau setakat lawan sikit-sikit ni, taklah dinamakan mujahid, tidaklah dinamakan mujahadah. Kena bersungguh-sungguh, baru dia dikira sebagai mujahid, barulah usahanya itu dinamakan mujahadah. Perkataan mujahadah ini adik-beradik dengan jihad, iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh. Secara khususnya dinisbahkan kepada berperang melawan musuh-musuh Islam tetapi secara umumnya dinisbahkan kepada satu usaha yang bersungguh-sungguh. Mujahadah juga berkait-rapat dengan mujahidin. Kenapa dinamakan bulan rahmah? Sebab pada bulan ini rahmat Allah melimpah-ruah. Kenapa dinamakan bulan maghfirah? Perkataan maghfirah ini berkait-rapat dengan perkataan istighfar. Yang kita sebut lepas solat “Astaghfirullahal ‘azim” tu istighfarlah. Istighfar maksudnya minta ampun. Maghfirah maksudnya ‘keampunan’. Jadi bulan Ramadhan ini adalah bulan keampunan. Pintu taubat, pintu keampunan terbuka seluas-luasnya. Terpulanglah kepada kita sama ada hendak menggunakan kelebihan-kelebihan yang ada sepanjang bulan ini ataupun tidak. Siapa tak mahu, rugilah…. pada bulan-bulan lain tak ada macam ni.

Gambar sekitar majlis :

 

 ——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

ProCAST 2016 ( Program Cemerlang Akedemik dan Sahsiah Terpuji )

Bismillahirahmanirahim…

Assalamualaikum w.b.t . . .

Alhamdulillah juga ke hadrat Ilahi, kerana dengan izin dan limpah kurniaNya Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah berjaya menjalankan program ProCAST bagi tahun 2016 yang telah berlansung pada  hingga 27-29 Mei yang lalu yang mana melibatkan peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Islam As Syddiq, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Penggawa Barat, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ali Haji Ahmad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petani Ayer Itam .

Program ini diadakan atas empat objektif utama. Pertama, mendedahkan peserta kepada kemahiran berorganisasi. Kedua, melatih peserta untuk menguasai kemahiran kepimpinan. Ketiga, melahirkan pelajar yang berketrampilan dan mempunyai kemahiran ‘softskill’ iaitu Kemahiran Komunikasi, Kemahiran Kepimpinan, Team Building, Kemahiran Pengurusan Emosi dan Pengurusan Perubahan. Akhir sekali, objektifnya adalah untuk melahirkan pelajar yang berminda tarbawi.

Pada hari pertama, peserta dibahagikan di dalam kumpulan melalui aktiviti ‘Ice Breaking & Team Building’ pada belah pagi dan pada malamnya, peserta disajikan pula dengan slot Salam Ukhuwah. Pada hari kedua pula, peserta diajar mengenai Kemahiran Komunikasi yang disampaikan oleh Puan Hajah Asnah bt Meon yang mana merupakan  Timbalan Biro Pendidikan HALUAN Negeri Johor. Pada hari kedua juga, peserta diajar Kemahiran Pengurusan Kendiri dan Kemahiran Kepimpinan yang mana slot ini dikendalikan oleh En Muhammad Hilmi Abdul Razak yang merupakan CEO Syarikat Syoknya Travel. Manakala pada sebelah malam pula diadakan slot bersama Cik Masdiatul Akma Arifin selaku guru di SMIAS dengan slot yang bertajuk Pembinaan Sahsiah Pemimpin.

Pada hari ketiga, peserta disegarkan dengan aktiviti ‘outdoor’ iaitu Jejak Kepimpinan. Pelbagai aktiviti menarik diadakan di setiap ‘checkpoint’ aktiviti. Peserta turut menonjolkan bakat masing-masing dalam slot Malam Bakat Kepimpinan.

Wakil Kem Komandan ProCAST, Encik Raman bin Sharif dalam ucapan beliau berkata, “Program ini adalah untuk mendidik peserta menjadi pejuang Islam. Harapan saya juga ialah agar para peserta dapat mengamalkan setiap yang dipelajari dalam kem ini dan mengajarkannya kepada orang lain. Akhir sekali, saya berharap mereka dapat menjadi pemimpin yang hebat pada masa akan datang.”

Harapan beliau juga ialah supaya peserta dapat mengikuti aktiviti dan program yang dijalankan oleh  di masa hadapan agar dapat digencarkan lagi usaha untuk mendedahkan masyarakat kepada aktiviti berbentuk Islami.

Rakaman Video Montaj oleh Team Media As Syddiq sewaktu majlis penutup :

 

Lawatan Sambil Belajar Ke Pameran Artifak Rasulullah SAW & Para Sahabat

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah pada 25 Mei yang lalu, Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Melaka. Rombongan yang disertai oleh 80 orang pelajar dan disertai oleh 6 orang guru pengiring ini turut mengambil peluang menziarah pameran artifak Rasululullah yang sedang berlangsung sehingga 2 Jun di Masjid Al Azim, Ayer Keroh, Melaka.

Objektif lawatan kami antara lainnya adalah untuk :-
1. Memberi peluang kepada pelajar untuk melihat dengan lebih dekat artifak peninggalan baginda Rasulullah S.A.W. serta para sahabat.

2. Membawa satu dimensi baru terhadap sejarah silam Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang selama ini terasing daripada pengetahuan umum terutama masyarakat Malaysia.

3. Untuk mengenang kembali sirah perjuangan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat serta melihat secara dekat bekas barangan artifak peninggalan baginda disamping memantapkan ilmu sejarah

Sebanyak 40 barangan artifak dan peralatan yang dipamerkan sepanjang pameran berlangsung, antaranya :

1. Al Quran bertatah emas kurun ke-15
2. Al Quran othmani kurun ke-10 dari Turkey
3. Alat memproses minyak wangi (gharu) kurun ke-18 dari India
4. Alat memproses minyak wangi (gaharu) kurun ke-18 dari Iran
5. Alat pembedahan dari Turkey kurun ke-12
6. Alat-alat penulisan & alat memproses dakwat kurun ke-12
7. Astronomi kompas laut pelayaran kurun ke-18 dari India
8. Astronomi jarum kaji bintang kurun ke-18 dari Iran
9. Astronomi putaran kaji bintang kurun ke-18 dari Iran
10. Astronomi alat mengukur tinggi dari Iran kurun ke-18
11. Astronomi glob putaran berskala kurun ke-18 dari Iran
12. Astrolab alat pengukur kaji bintang kurun ke-18 dari India
13. Astrolab alat pengukur masa dan bintang kurun ke-18 dari Iran
14. Astrolab alat mengukur kelajuan angin kurun ke-18 dari Iran
15. Astrolab alat menyukat hujan dari Iran kurun ke-17
16. Astrolab glob berputar sukat bintang kurun ke-18 dari India
17. Astrolab menyukat kaji bintang kurun ke-18
18. Batu bersurat dari Mesir tinggalan kurun ke-11
19. Baju besi berantai
20. Bekas membakar kemenyan kurun ke-18 dari India (Orisha)
21. Bekas tapak kaki Rasulullah S.A.W.
22. Capal kulit milik Rasulullah S.A.W
23. Cincin tinggalan Saidina Hassan R.A & Hussin R.A
24. Cop mohor tinggalan Rasulullah S.A.W di Yaman
25. Cop mohor tinggalan Saidina Ali Karamallah Wajhah
26. Darah bekam tinggalan sahabat Rasulullah S.A.W
27. Duit emas kerajaan Islam nusantara & arab kurun ke-9
28. Gambar-gambar ulama & saintis Islam
29. Jam batu (Matahari) dari mesir kuno kurun ke-11
30. Kain kiswah pintu kaabah
31. Kain kiswah dalam kaabah
32. Kain penutup makam Rasulullah S.A.W
33. Kesan tapak kaki Rasulullah S.A.W di Hudabiah
34. Kunci pintu kaabah
35. Kunci makam Rasulullah S.A.W
36. Mesir kuno rendaman kaki (refleksi) kurun ke-11
37. Pedang sahabat (rampasan)
38. Pedang bertatah emas Laksamana Cheng Ho kurun ke-16
39. Perhiasan harta rampasan emas mesir kurun ke-10
40. Rambut milik Rasulullah S.A.W.

Selain dari lawatan ke pameran artifak, kami turut mengadakan lawatan ke Muzium Al-Quran yang terletak tidak jauh dari Masjid Al-Azim. Usai solat jamak Zohor kami bergerak ke Bandar Hilir untuk menyambung lawatan kami ke beberapa muzium bersejarah di Melaka seperti Muzium Pahlawan, Muzium Islam dan tidak ketinggalan meninjau tinggalan sejarah di A’Famosa.

Kunjungan padat selama 1 hari itu kami akhiri dengan makan malam di Umbai Melaka. Dikesempatan ini kami ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah,PIBG,para penaja khususnya dari PIBG KELAS 5 AL KINDI diatas sumbangan dan penglibatan yang telah diberikan. Semoga usaha murni ini tidak hanya terhenti disini sahaja..InsyaAllah

Laporan disediakan oleh :

Cikgu Zurin Zurina Binti Atan

KAHFI’16 ( Kem Asah Fakulti Insan )

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah . .syukur kepada Allah di atas nikmat iman dan Islam yang telah kita kecapi selama ini. Satu nikmat yang mana amat berharga dan perlu kita syukuri.Di sini, penulis ingin berkongsikan sepotong ayat ringkas dalam al-Quran tentang mengapa kita perlu bersyukur kepada Allah, Allah nyatakan dalam al-Quran yang maksudnya : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku),maka pasti azab-Ku sangat berat.”(QS.ibrahim [14]:) . Jadi dari itu, penulis ingin mengajak diri sendiri dan para pembaca, marilah kita sama-sama bersyukur dan sentiasa mengingati nikmat-nikmat yang telah Allah sediakan untuk kita.Moga-moga kita menjadi hambaNya yang sentiasa mendapat keredhaanNya. .InsyaAllah. .

Alhamdulillah juga ke hadrat Ilahi, kerana dengan izin dan limpah kurniaNya Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah berjaya menjalankan program KAHFI bagi tahun 2016 yang telah berlansung pada 18 hingga 20 Mei yang lalu yang mana melibatkan pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2 sekolah menengah di sini.

Program ini bertujuan untuk memberikan pelajar-pelajar mendalami ilmu-ilmu berkaitan dengan agama Islam dengan lebih mendalam lagi. Dalam masa yang sama juga, perancangan program ini adalah bertujuan untuk memupuk semangat persaudaraan yang mana semangat ini sangatlah dituntut oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Semoga dengan adanya program KAHFI di sekolah Islam As Syddiq, ianya dapat memberikan pengetahuan yang benar tentang agama Islam serta melahirkan modal insan yang cemerlang yang mana boleh dijadikan contoh buat generasi baru yang akan datang.Selari dengan motto sekolah iaitu “Tarbbiyah Melahirkan Pemimpin”, semoga program seperti ini dapat mencungkil sedikit sebanyak kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar sekolah Islam As Syddiq yang mana kemahiran ini adalah sangat baik dan juga penting buat generasi baru yang akan datang.

Mengakhiri kalam pada kali ini, penulis ingin berkongsikan beberapa suasana yang sempat penulis rakamkan buat tatapan pembaca.Sekian sahaja untuk kali ini.

Assalamualaikum w.b.t. .

Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan SIAS

Bismillahirahmanirahim. . .

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana pada tahun ini,pihak sekolah telah berjaya menganjurkan Majlis Graduasi dan Hari Anugerah Kecemerlangan bagi meraikan kejayaan anak-anak di Sekolah Islam As Syddiq dan kejayaan pelajar-pelajar lepasan SPM generasi pertama sekolah ini disepanjang tahun 2015.

Seawal jam 7.30 pagi lagi, ibubapa mula membanjiri persekitaran sekolah untuk meraikan kejayaan anak masing-masing. Majlis Graduasi dan Hari Anugerah Kecemerlangan ini melibatkan hampir 145 orang pelajar yang terdiri daripada 62 orang pelajar sekolah rendah dan 83 orang pelajar sekolah menengah. Seramai 14 dari 20 orang pelajar lepasan SPM generasi pertama hadir untuk sesi bergraduasi pada hari berbahagia ini. Tidak dilupakan juga buat pelajar-pelajar yang memperolehi anugerah kecemerlangan disepanjang tahun 2015 sama ada diperingkat rendah mahupun menengah. Seramai 4 orang pelajar telah mendapat  Anugerah Cemerlang UPSR diperingkat rendah, manakala di peringkat menengah pula seramai 10 orang pelajar telah mendapat Anugerah Cemerlang PT3 dan 7 orang pelajar telah mendapat Anugerah Cemerlang SPM.

Antara anugerah-anugerah lain yang telah disampaikan pada hari tersebut diperingkat rendah ialah Kedatangan Penuh tahun 1 hingga 5, Terbaik Kelas tahun 1 hingga 5, Peningkatan Akedemik tahun 1 hingga 5, Sahsiah Terpuji tahun 1 hingga 5 dan Hafazan Terbaik tahun 1 hingga 5.

Anugerah lain yang turut disampaikan pada hari tersebut di peringkat menengah pula ialah Anugerah Cemerlang SMRA, Anugerah Cemerlang SMA, Anugerah Penerusan Pengajian Di As Syddiq (Dari SRIAS – SMIAS), Anugerah Pencapaian Terbaik PBS tingkatan 1 hingga 2, Anugerah Pencapaian Terbaik Akademik tingkatan 4, Anugerah Cemerlang Deeniyah tingkatan 1 hingga, Anugerah Hafazan Terbaik Lelaki, Anugerah Hafazan Terbaik Perempuan, Anugerah Peningkatan Akademik tingkatan 1 hingga 4, Anugerah Pelajar Harapan tingkatan 1 hingga 4 dan Anugerah Sahsiah Terpuji tingkatan 1 hingga 4.

Anugerah khas kepada pelajar lepasan SPM generasi pertama juga turut disampaikan sewaktu majlis tersebut, Anugerah Haluanita disandang oleh saudari Maryam Jameelah Binti Hassan, Anugerah Sahsiah Terpuji disandang oleh saudara Ahmad Usamah Bin Mohd Izra’ai dan Anugerah Terbaik Akedemik disandang oleh saudara Muhammad Fatih Al-Mubaraq Bin Shamjuddin.

Majlis yang berbahagia turut diserikan dengan kehadiran Dr. Abdullah Sudin bin Ab Rahman selaku Presiden HALUAN Malaysia dan isteri Dr Zurina Bt Muda serta  Prof. Dr. Abdul Hakim@Miswan Bin Mohammed selaku Pengelola Sekolah Islam As Syddiq dan Dekan Fakulti Geoinformasi Dan Harta Tanah UTM. Majlis ini telah disempurnakan oleh Dr. Abdullah Sudin bin Ab Rahman diiringi oleh Tuan Haji Shamjuddin bin Romani selaku pengetua Sekolah Menengah Islam As Syddiq dan Tn Hj Mohd Yusof bin Kaslan selaku Guru Besar Sekolah Rendah Islam As Syddiq.

Di samping itu juga, para ibu bapa dan hadirin telah dihidangkan dengan persembahan nasyid yang istimewa oleh pelajar-pelajar Sekolah Islam As Syddiq. Nanyian dan alunan muzik nasyid berkumpulan ini telah membawa tiga buah lagu nasyid yang sangat mengasyikkan.

Semoga dengan kelangsungan majlis-majlis seperti ini di Sekolah Islam As Syddiq ia dapat menambahkan semangat dan minat anak-anak didik untuk terus mencipta kejayaan dan kecemerlangan pada masa yang akan datang. Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir memeriahkan suasana majlis dan pihak yang bertungkus lumus dalam menjayakan majlis yang diadakan saban tahun di Sekolah Islam As Syddiq. Penghargaan yang tidak terhingga juga buat pihak-pihak yang telah sudi memberi sumbangan dan bantuan dari segala aspek dalam menjayakan majlis ini.

———————–

Team Media As Syddiq

———————–

IMG_0128.JPG

Para Graduasi bersama Ustaz Nizam, Syeikh Maher, Pengetua sekolah, Encik Khalid dan Cikgu Raman ( dari kiri )

IMG_0149.JPG

Para Graduasi lelaki bersama Cikgu Nusaibah, Cikgu Supini, Isteri Cikgu Izraie, Cikgu Izraie dan Doktor Ahmad Azhar ( dari kiri )

Suasana di Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan