Tag Archives: Anugerah Kecemerlangan

Temubual Santai Pelajar Cemerlang SPM

Assalamualaikum pembuka bicara kalimah. . .

Alhamdulillah tanda syukur kami kepadaNya. Berakhirlah sudah Majlis Graduasi dan Hari Anugerah Cemerlang untuk sesi 2016. Tahniah buat semua anak-anak as Syddiq. Kalian semua telah BERJAYA melepasi satu fasa yang mana kami para guru, abang & kakak bahkan ibubapa kamu pernah melaluinya.

Apabila cikgu Zurin diminta untuk menulis ruangan di alam maya ini ia bagaikan sireh pulang ke gagang. Mengenali mereka dari status guru sementara menggantikan Madam Wan yang cuti bersalin kemudian bertukar kepada guru tetap mengajar Bahasa Inggeris sehinggalah dilantik menjadi guru tingkatan pada tahun berikutnya.

Mengenali mereka ibarat seorang pelukis yang setia dengan berus dan warnanya. Sebagai pelukis kita yang melakar apa yang diinginkan. Kadangkala menjadi kadangkala sebaliknya. Tetapi kami tetap setia bersama.

Cikgu Zurin tertarik untuk berkongsi sebaris kata yang diterima dari medium whatsapp.

Tahniah pelajar-pelajarku..anda semua telah berjaya walaupun ada yang memandang sinis akan kelemahanmu. Di sisi Allah, banyak kejayaan yg telah kamu sama-sama raih.

Dalam 50 yg dibuat mungkin hanya 1 saja salahnya. Masih ada lagi 49 lagi yg berjaya.
Dalam 100 yang kita buat mungkin ada 10 yg gagal. Masih ada 90 lagi yang dah berjaya.

1 Rahmat Allah dikurniakan semasa di dunia.
99 tersimpan di akhirat.
Jangan putus asa dengan Rahmat Allah.
*Allah bersama mu.*

Di kesempatan yang singkat ini Cikgu Zurin sempat menemubual calon terbaik SPM 2016 dari As Syddiq iaitu Muhammad Taqiuddin Bin Shamjuddin. Kejayaannya memperoleh 9A diharapkan menjadi pengerak semangat kepada calon SPM 2017.

Cikgu Zurin sudah lama mengenali pelajar yang lebih mesra dipanggil Taqi ini. Seingat cikgu ketika dia masih di sekolah rendah lagi. Remaja yang amat murah dengan senyuman.

Bila ditanya apa perasaan pertama kali melihat keputusan SPM. Jawabnya perlahan dan penuh rendah diri. Saya sangat terkejut dan teruja .. Saya tidak menjangkakan akan memperoleh keputusan sebegitu rupa.. Hanya syukur kehadrat illahi saya panjatkan..

Perbualan kami dipanjangkan lagi dengan persoalan apakah persiapan yang dilakukan untuk menghadapi SPM. Menurut Taqiuddin semestinya ialah dengan banyak membaca buku ilmiah disamping membaca al-quran dan berdoa. Tidak lupa juga memperbanyakkan latihan kpd subjek-subjek yang lemah. Selain dari penting juga untuk kita mengulangkaji pelajaran dengan kawan untuk menguatkan pemahaman.

Anak muda ini turut berkongsi tip yang sesuai digunapakai dalam konsep pembelajaran dan pengajaran.

* Kalau yakin subjek tu boleh mengulangkaji seorang teruskan . kalau tidak, perlulah mencari kawan untuk mengulangkaji bersama-sama

* Fokuskan kepada subjek yang lemah dan tidak lupa kepada yang dah ok.. (perbanyakkan latihan)

* Kalau boleh. usahakan untuk mengajar kawan-kawan kerana output lagi berkesan berbanding input.

Tip – tip tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja, Taqiuddin turut menasihatkan kepada bakal calon-calon spm yang akan datang agar Berusahalah dan yakinlah kepada pertolongan Allah .. Jangan jadikan kegagalan itu satu batu penghalang kepada usaha kamu. Tapi jadikan lah kegagalan yang kamu alami itu sebagai satu batu loncatan kepada semangat untuk berjaya.Bukan hanya untuk SPM tapi untuk ujian yang akan datang juga .

Menerusi sesi temubual yang separa formal dan singkat ini Cikgu Zurin dapat merumuskan beberapa perkara.

* setinggi mana kita menuntut ilmu jangan pernah lupa akan Al -Quran.

* sentiasa bantu membantu dan kukuhkan ukhwah & mahabbah.
*Redha dan tawakkal serta yakinlah dengan janji Allah.

Semoga kejayaan saudara Muhammad Taqiuddin menjadi inspirasi kepada semua.

Kepada yang lain-lain, tahniah juga diucapkan. Perjalanmu masih panjang. Jika iman masih terpahat dan ilmu masih dicari.InsyaAllah akan ada jalan penerusannya.

 

Zurin Zurina Binti Atan

Mantan Penulis As Syddiq

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Rahsia Kecemerlangan 11A Dalam PT3

Permata As Syddiq Terus Bersinar

Setiap kejayaan umpama sebuah pintu dan setiap pintu pasti ada kuncinya. Kunci bagi membuka pintu kejayaan ialah solat, kerana ia merupakan perkara pertama yang akan dihitung di akhirat.

Debaran yang mula dirasakan oleh pelajar hari ini bakal terhenti, kesemua calon PT3 di seluruh Malaysia bakal menyaksikan keputusan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) bagi sesi 2016. Sejak minggu lepas lagi unit Peperiksaan yang diketuai oleh Pn Nusaibah kelihatan sibuk membuat persiapan menjelang pengumuman rasmi hari ini. Pada tahun 2016 seramai 37 orang calon menduduki PT3 dengan nisbah 17 orang pelajar perempuan dan 20 orang pelajar lelaki.

Alhamdulillah dengan izin Allah jua, pada tahun ini  Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah berjaya melakar  kejayaan yang begitu membanggakan. Majlis penyerahan slip keputusan turut disertai Yang Dipertua Ahli Lembaga Pengelola (ALP) Sekolah  Dr Abd Hakim@ Miswan Bin Mohamed yang sudi meluangkan masa meraikan kejayaan anak-anak As Syddiq. Seramai 2 orang calon permata hati As Syddiq memperoleh 11A bagi semua kertas peperiksaan yang diambil. Manakala bagi pelajar yang lain mereka memperoleh sekurang-kurangnya 1A bagi semua subjek yang telah diambil. Syabas dan tahniah diucapkan kepada saudari Siti Radiah Bt Roslan dan Nur Fathiha Arfa Bt Azis.

Menyorot kembali perjalanan pelajar-pelajar ini, sudah pasti guru-guru PT3 adalah kelompok yang paling sibuk. Seawal bulan Januari lagi, Pengetua bersama GPK akademik telah mula menyusun jadual kelas tambahan kepada semua pelajar. Guru-guru yang mengajar subjek PT3 telah diminta untuk menyediakan bahan-bahan untuk membantu perkembangan pelajar selain dari bantuan dan nasihat secara tidak formal dari sahabat-sahabat guru dari Kementerian Pelajaran Malaysia.

Penulis sempat mengambil peluang menemuramah ibubapa bagi 2 calon yang berjaya melonjakkan nama As-Syddiq di kalangan sekolah-sekolah Menengah sekitar Kluang. Menurut kata bapa kepada Siti Radiah, beliau tidak mempunyai resepi tertentu untuk mendidik kejayaan cemerlang anak-anak, apa yang selalu ditekankan ialah perjalanan hidup kita jangan hanya dipandang kepada matlamat yang berada dihadapan tetapi lihatlah kepada cabaran yang harus ditempuh. Penulis tertarik untuk merungkai apa yang cuba disampaikan oleh En Roslan berhubung kata-kata beliau, tambahnya lagi kita selalu melihat matlamat itu sebagai tunjang utama untuk mencapai kejayaan tetapi kita terlupa cabaran yang harus kita lalui kerana menurutnya cabaran itu adalah sesuatu yang harus dipandang dari sudut positif.

Mereka yang berjaya adalah mereka yang sentiasa positif didalam hidup, singkirkan anasir negatif, sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran, jangan mudah berputus asa jika doa kita masih belum dikabulkan. Menurut ibu kepada Siti Radiah, bapanya lebih banyak memainkan peranan didalam memberi nasihat dan dorongan kepada anak sulungnya itu, setiap permasalahan harus dikongsi bersama dan ibubapa berperanan untuk meneutralkan keadaan. Radiah yang bercita-cita untuk membina kerjaya sebagai seorang doktor pakar sakit puan sangat disenangi oleh semua guru kerana akhlak yang ditampilkan disamping menjadi perujuk kepada sahabat-sahabatnya ketika di asrama.

Sebelum mengakhiri sesi temubual bersama salah seorang calon terbaik SMIAS ini, ayahnya sempat mengungkapkan kata-kata yang mungkin boleh dijadikan pedoman kepada pembaca yang lain, menurutnya kita hendaklah menjadi seperti intan dan permata, walau dimana jua kita dicampakkan kita akan terus bersinar, jadilah seseeorang yang mampu menyumbang dan mencipta penyumbang. Sebarkanlah ilmu seluas mungkin kerana ilmu itu wajib disampaikan walau hanya sekadar sepotong ayat.

IMG_3031.JPG

( Cikgu Zurin Zurina bersama keluarga Siti Radiah Bt Roslan )

Seterusnya, mari kita dekati seorang lagi calon cemerlang PT3 SMIAS, saudari Nur Fathiha Arfa Bt Azis yang lebih mesra dipanggil Arfa dikalangan guru-guru dan sahabat-sahabatnya. Penulis antara orang yang terawal mengenali beliau kerana ketika beliau ingin memasuki sekolah ini pada tahun 2015, penulis yang menemubual beliau untuk melihat tahap penguasaan beliau didalam Bahasa Melayu & Inggeris.

Pada pandangan pertama penulis, beliau dilihat sebagai seorang yang sangat berdikari dan matang, kehadirannya disekolah ini adalah rentetan dari pertemuan bapanya dengan sahabatnya yang anaknya turut bersekolah disini. Kepercayaan seorang bapa untuk menghantar anak yang memperoleh keputusan cemerlang didalam UPSR ini sememangnya adalah keputusan yang tepat. Penulis sebenarnya amat kagum dengan usaha yang beliau tonjolkan. Memasuki sekolah aliran agama dengan hanya berbekalkan pengetahuan yang mungkin tiada asas langsung didalam Bahasa Arab, kemudian mencabar dirinya sendiri untuk menduduki peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) pada tahun yang sama sememangnya memerlukan pengorbanan yang besar. Alhamdulillah beliau berjaya melakukannya walaupun tidak memperoleh kejayaan yang cemerlang.

Tetapi beliau tidak mudah berputus asa, berkat usaha beliau dan dengan pertolongan Allah jua, beliau berjaya memperoleh A bagi subjek Bahasa Arab. Sesungguhnya ini adalah pencapaian yang paling manis buat gadis manis yang berasal dari Johor ini. Menurut ibunya, Arfa jika dirumah lebih suka duduk menyendiri atau melayan adik-adiknya bermain, tambahnya lagi Arfa bukan jenis anak yang suka menghabiskan masa 24 dengan membaca, tetapi anak ini menurutnya amat gemar membaca novel melayu dan inggeris sejak dari sekolah rendah lagi, ini dapat dilihat menerusi penguasaan kosa kata dan pengetahuannya didalam aspek bahasa.

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang ini amat komited untuk meneruskan pengajian di As Syddiq dan meneruskan legasi kecemerlangan warga As Syddiq. Beliau dilihat tidak menjadikan kekurangan yang ada di As Syddiq sebagai salah satu faktor kegagalan tetapi beliau sentiasa yakin kebergantungan kita kepada Allah SWT, sentiasa mendengar dan menghormati ibubapa dan guru, mengekalkan silaturrahim antara sahabat dan jangan pernah mengalah dengan usaha yang dilakukan adalah resepi sesebuah kejayaan.

IMG_3079.JPG

( Cikgu Zurin Zurina bersama Nur Fathiha Arfa Bt Azis dan ibunya )

Berikut senarai nama pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan 5A keatas.

Keputusan 11 A

  1. Siti Radiah Bt Roslan
  2. Nurfathiha Arfa Bt Azis

Keputusan 10A

  1. Izzi Hainura Mohd Hailmi

Keputusan 8A

  1. Syazwani Bt Samsudin

Keputusan 6A

  1. Haziq Bin Rahmat
  2. Nur Afiqah Bt Amizan
  3. Nurhanani Bt Abd Razak

Keputusan 5A

  1. Muhammad Ismail Bin Zamri
  2. Muhd Nur Nafis Bin Ramlan
  3. Usamah Bin Khairuddin
  4. Nur Adibah Bt Zulkifli
  5. Nurul Syazwanie Bt Mohd Khalid

Kepada yang tidak berjaya memperoleh kejayaan cemerlang, jangan mudah berputus asa kerana ini adalah permulaan, perjalanan kita masih jauh.

( Pelajar Cemerlang PT3 Tahun 2016 yang mendapat 11A bersama keluarga dan guru-guru )

( Gambar suasana mengambil keputusan PT3 )

 

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Binti Atan

——————————-
 
Team Media As Syddiq
 
——————————-
 

Majlis Hari Anugerah Perkhidmatan  Cemerlang IPS 2016

Assalamualaikum wbt, Alhamdulillah pada 30 Oktober yang lalu, Sekolah Menengah Islam As-Syddiq telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Instituti Pendidikan Swasta (IPS). Majlis yang telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden HALUAN  Prof. Emeritus Dato’ Dr Abu Azam Bin Md Yassin yang turut disertai oleh 16 buah sekolah IPS di seluruh Malaysia.

Majlis ini diadakan bagi memberikan pengiktirafan diatas khidmat cemerlang kepada semua IPS, Pengetua, Guru Besar, guru-guru dan pelajar-pelajar dalam aspek akademik dan kokurikulum. Memetik dari ucapan dasar Pengerusi Amanah Pelajaran (APEL) Tn Hj Mohd Asri Bin Abd Hamid, kewujudan IPS kita adalah untuk melaksanakan amal Qawi, iaitu Ijad Rakaiz dan “Takwin Wa’yun Islami” melalui wasilah institusi. Adalah perlu semua warga IPS di pelbagai peringkat merasai hakikat ini dan juga ianya adalah dalam rangka menjayakan proses tarbiah dan dakwah. Marilah kita merasai syuur ini dan terus berusaha dengan penuh iltizam dan intizam untuk meningkatkan keupayaan kita merealisasi visi dan misi penubuhan IPS. Sesungguhnya IPS kita adalah mehrab untuk kita semua bertaqarub ilallah.

Majlis yang berlangsung sejak jam 8.00 pagi itu turut diserikan dengan pembentangan amalan terbaik SMIAS oleh pengetua Tn Hj Shamjuddin Bin Romani. Ini berikutan kejayaan SMIAS didalam memperoleh 4 bintang bagi Penilaian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) terhadap sekolah swasta di Malaysia. Kejayaan ini turut membawa SMIAS berada di tangga kedua sekolah swasta terbaik di negeri Johor.

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada sekolah-sekolah dibawah IPS yang telah meraih kejayaan di peringkat negeri seperti Johan Karnival Dakwah Negeri Perlis bagi kategori Hafazan lelaki dan perempuan, Johan Pertandingan “Kannul Atfal Sekolah Rendah Agama Negeri Kedah”, Johan Zon Utara Pertandingan Liga Remaja Kreatif (LRK), Johan Pidato Bahasa Arab, Tulisan Khat dan Kuiz Sekolah-Sekolah Negeri Kedah. Kejayaan permata-permata IPS ini telah banyak membuka mata masyarakat tentang kewujudan sekolah-sekolah dibawah HALUAN.

Dikesempatan ini juga pihak As-Syddiq ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir baik dari yang jauh mahupun yang dekat serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang IPS, semoga usaha kita diberkati Ilahi. Tahniah kepada semua pemenang dan teruskan prestasi cemerlang di masa akan datang.

Mari kita sama-sama saksikan momen-momen menarik di sepanjang program.

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan SIAS

Bismillahirahmanirahim. . .

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana pada tahun ini,pihak sekolah telah berjaya menganjurkan Majlis Graduasi dan Hari Anugerah Kecemerlangan bagi meraikan kejayaan anak-anak di Sekolah Islam As Syddiq dan kejayaan pelajar-pelajar lepasan SPM generasi pertama sekolah ini disepanjang tahun 2015.

Seawal jam 7.30 pagi lagi, ibubapa mula membanjiri persekitaran sekolah untuk meraikan kejayaan anak masing-masing. Majlis Graduasi dan Hari Anugerah Kecemerlangan ini melibatkan hampir 145 orang pelajar yang terdiri daripada 62 orang pelajar sekolah rendah dan 83 orang pelajar sekolah menengah. Seramai 14 dari 20 orang pelajar lepasan SPM generasi pertama hadir untuk sesi bergraduasi pada hari berbahagia ini. Tidak dilupakan juga buat pelajar-pelajar yang memperolehi anugerah kecemerlangan disepanjang tahun 2015 sama ada diperingkat rendah mahupun menengah. Seramai 4 orang pelajar telah mendapat  Anugerah Cemerlang UPSR diperingkat rendah, manakala di peringkat menengah pula seramai 10 orang pelajar telah mendapat Anugerah Cemerlang PT3 dan 7 orang pelajar telah mendapat Anugerah Cemerlang SPM.

Antara anugerah-anugerah lain yang telah disampaikan pada hari tersebut diperingkat rendah ialah Kedatangan Penuh tahun 1 hingga 5, Terbaik Kelas tahun 1 hingga 5, Peningkatan Akedemik tahun 1 hingga 5, Sahsiah Terpuji tahun 1 hingga 5 dan Hafazan Terbaik tahun 1 hingga 5.

Anugerah lain yang turut disampaikan pada hari tersebut di peringkat menengah pula ialah Anugerah Cemerlang SMRA, Anugerah Cemerlang SMA, Anugerah Penerusan Pengajian Di As Syddiq (Dari SRIAS – SMIAS), Anugerah Pencapaian Terbaik PBS tingkatan 1 hingga 2, Anugerah Pencapaian Terbaik Akademik tingkatan 4, Anugerah Cemerlang Deeniyah tingkatan 1 hingga, Anugerah Hafazan Terbaik Lelaki, Anugerah Hafazan Terbaik Perempuan, Anugerah Peningkatan Akademik tingkatan 1 hingga 4, Anugerah Pelajar Harapan tingkatan 1 hingga 4 dan Anugerah Sahsiah Terpuji tingkatan 1 hingga 4.

Anugerah khas kepada pelajar lepasan SPM generasi pertama juga turut disampaikan sewaktu majlis tersebut, Anugerah Haluanita disandang oleh saudari Maryam Jameelah Binti Hassan, Anugerah Sahsiah Terpuji disandang oleh saudara Ahmad Usamah Bin Mohd Izra’ai dan Anugerah Terbaik Akedemik disandang oleh saudara Muhammad Fatih Al-Mubaraq Bin Shamjuddin.

Majlis yang berbahagia turut diserikan dengan kehadiran Dr. Abdullah Sudin bin Ab Rahman selaku Presiden HALUAN Malaysia dan isteri Dr Zurina Bt Muda serta  Prof. Dr. Abdul Hakim@Miswan Bin Mohammed selaku Pengelola Sekolah Islam As Syddiq dan Dekan Fakulti Geoinformasi Dan Harta Tanah UTM. Majlis ini telah disempurnakan oleh Dr. Abdullah Sudin bin Ab Rahman diiringi oleh Tuan Haji Shamjuddin bin Romani selaku pengetua Sekolah Menengah Islam As Syddiq dan Tn Hj Mohd Yusof bin Kaslan selaku Guru Besar Sekolah Rendah Islam As Syddiq.

Di samping itu juga, para ibu bapa dan hadirin telah dihidangkan dengan persembahan nasyid yang istimewa oleh pelajar-pelajar Sekolah Islam As Syddiq. Nanyian dan alunan muzik nasyid berkumpulan ini telah membawa tiga buah lagu nasyid yang sangat mengasyikkan.

Semoga dengan kelangsungan majlis-majlis seperti ini di Sekolah Islam As Syddiq ia dapat menambahkan semangat dan minat anak-anak didik untuk terus mencipta kejayaan dan kecemerlangan pada masa yang akan datang. Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir memeriahkan suasana majlis dan pihak yang bertungkus lumus dalam menjayakan majlis yang diadakan saban tahun di Sekolah Islam As Syddiq. Penghargaan yang tidak terhingga juga buat pihak-pihak yang telah sudi memberi sumbangan dan bantuan dari segala aspek dalam menjayakan majlis ini.

———————–

Team Media As Syddiq

———————–

IMG_0128.JPG

Para Graduasi bersama Ustaz Nizam, Syeikh Maher, Pengetua sekolah, Encik Khalid dan Cikgu Raman ( dari kiri )

IMG_0149.JPG

Para Graduasi lelaki bersama Cikgu Nusaibah, Cikgu Supini, Isteri Cikgu Izraie, Cikgu Izraie dan Doktor Ahmad Azhar ( dari kiri )

Suasana di Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan