Tag Archives: Aqidah

Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12

Pada cuti sekolah,penggal pertama tanggal 18 hingga 20 haribulan Mac,Kelab Remaja Haluan (KeARAH) telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12.

Bertemakan “Remaja Berfikrah Penggerak Ummah” yang bertempat di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput (U), Perak yang telah dihadiri seramai 218 orang dari seluruh Malaysia.

Program PeWARIS 12 ini dirasmikan oleh YDP HALUAN Perak. Kemudian program diteruskan dengan taklimat program dan heart setting daripada Kem Komanden iaitu Abang Talhah bin Hazni. Peserta dibahagikan di dalam kumpulan melalui aktiviti ‘Ice Breaking’ yang mana peserta diberi sekeping kertas yang tertulis beberapa nama-nama Allah (Asmaul Husna) kemudian,barisan fasilitator menutup mata para peserta menggunakan sehelai kain dan para peserta perlu mencari ahli kumpulan mereka.Aktiviti ini sangat menguji mental dan fizikal para peserta.

Program diteruskan dengan slot pertama yang bertajuk Bahtera Penyelamat. Slot ini disampaikan oleh Encik Rosdi bin Baharom belian merupakan pendakwah sepenuh masa.Beliau ada mengingatkan peserta bahawa berdakwah ini bukan kerja untuk kita dapat duit. Pada sebelah malam, selepas selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah program diteruskan dengan LDK dan perbentangan bagi slot pertama. Perbentangan pada malam tersebut dibentangkan dalam bentuk lakonan, yang mana pihak program mengasingkan peserta perempuan di Musollah manakala peserta lelaki di Dewan Utama. Selesai sahaja perbentangan peserta perempuan digerakkan ke Dewan Utama untuk mendengar taklimat KeARAH (Kelab Remaja HALUAN) yang disampaikan oleh Encik Muhammad Radhi bin Rahman  Taklimat ini mengenalkan para peserta apa itu KeARAH,sejarah,visi,misi dan motto KeARAH. Seterusnya , sebelum kem komanden melepaskan para peserta untuk berehat , mereka bersama-sama membaca surah Al Mulk dari awal hingga akhir.

An-Nasai meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda, sesiapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka Allah akan mencegahnya dari seksa kubur. (HR An-Nasai)

Pada hari kedua, seawal 4.30 pagi para peserta dikejut. Mereka menunaikan solat subuh secara berjemaah dan mendengar sedikit kuliah subuh. Kemudian,kem komanden mengarahkan para peserta berkumpul di tanah lapang berhampiran dengan Musollah dan mengadakan KULTUM ( Kuliah Tujuh Minit) sementara menunggu sarapan siap. Selepas para peserta bersantap, mereka dikumpulkan kembali di tempat mereka berkumpul tadi untuk sesi fotografi. Selesai sahaja sesi fotografi semua para peserta digerakkan ke Surau Kampung Sungai Durian,Sungai Siput dengan berjalan kaki untuk aktiviti Kembara PeWARIS dan aktiviti kemasyarakatan. Sampai sahaja di perkarangan surau, Allah izin hujan renyai-renyai tetapi program tetap diteruskan dengan sepatah dua kata dari Ketua Kampung. Selepas itu, peserta lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan membersihkan surau bahagian lelaki dan lagi satu kumpulan membersihkan dewan orang ramai Kampung Sungai Durian manakala peserta perempuan membersihkan stor surau dan bahagian solat perempuan.

Selesai sahaja menjalankan aktiviti pembersihan, para peserta dikehendaki untuk makan tengah hari dan mendengar sedikit ucapan penghargaan dari ketua kampung. Kem komanden membenarkan para peserta untuk qailullah dan berehat sebentar sementara menunggu masuk waktu solat zhohor. Setelah menunaikan solat zhohor,para peserta dikehendaki menziarahi beberapa buah rumah mengikut kumpulan dan memberi sedikit buah tangan. Kemudian,para peserta berjalan pulang balik ke kem. Program diteruskan lagi pada sebelah malam,selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah program disambung dengan slot kedua yang berjudul Pembentukan dan Kesedaran Islam. Slot kedua ini disampaikan oleh Setiausaha Haluan Perak, Encik Ahmad Salleh. Disini beliau menerangkan beberapa syarat kepimpinan. Kemudian,program diteruskan dengan LDK untuk slot kedua,seusai para peserta menunaikan solat isyak secara berjemaah.

Pada hari terakhir program, selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah dan sedikit pengisian hati dengan tajuk Ciri-ciri Penghayatan Islam para peserta digerakkan menuju ke sungai yag berhampiran dengan kem tersebut. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki dahulu untuk masuk kedalam sungai dan diikuti dengan peserta perempuan dengan kedinginan di pagi hari di tambah dengan kesejukan air sungai. Sejuknya, MashaAllah. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki untuk berganjak ke tempat jauh sedikit agar ada jurang antara lelaki dan perempuan. Peserta lelaki dikehendaki untuk menyanyikan lagu Asmaul Husna dan sedikit aktiviti (maaf tidak diketahui) manakala peserta perempuan dikehendaki untuk membaca Al Mathurat dan melakukan aktiviti yang dapat mengeratkan ukhwah sesama mereka.

Habis sahaja aktiviti tersebut para peserta dikehendaki untuk memasak sarapan mereka sendiri walaupun dalam keadaan basah aktiviti ini dinamakan Chef de PeWARIS. Selesai sahaja aktiviti tersebut makanan kami diuji oleh para juri yang berkepimpinan. Selesai kami menjamu selera, kami diberi arahan untuk mempersiapkan diri dan mengemas dorm. Tepat jam 11.00 pagi para peserta telah berkumpul di Dewan Utama untuk majlis penutupan.

Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program PeWARIS.

Sekitar Perkhemahan :

 

Syazwani Binti Samsudin

Pelajar Sekolah Islam As Syddiq

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

PROGRAM SANTAI BERSAMA PELAJAR KTD 2017.

Alhamdulillah. Dipanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya program santai bersama pelajar KTD dapat dilaksanakan pada 9 Februari 2017 bertempat di Sekolah Menengah Islam As Syddiq. Program Santai bersama pelajar Kolej Teknologi Darul Naim ini adalah bersempena program Jelajah Pendidikan Kolej Teknologi Darul Naim. Seramai 23 orang dari Kolej Teknologi Darul Naim  telah turun bagi menjayakan program ini yang mana  mereka terdiri dari 12 orang mahasiswa lelaki dan 11 orang mahasiswi perempuan bersama 2 orang staf. Manakala seramai 72 orang pelajar lelaki dan perempuan Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Islam As Syddiq turut  terlibat dalam program ini.

Program Santai bersama pelajar KTD bermula pada jam 3.00 petang. Ianya dimulakan dengan sesi taaruf  melalui permainan Sejadah Beracun dan sesi “ Ice Breaking “. Setelah selesai sesi taaruf sedikit pengisian berkaitan tentang tujuan manusia diciptakan oleh Allah s.w.t telah disampaikan. Kira-kira jam 5.00 petang pihak Kolej Teknologi Darul Naim menyampaikan sedikit cenderahati kepada wakil Sekolah Menengah Islam As Syddiq dan sesi bergambar bersama pelajar KTD dan pelajar SMIAS.

Pada sebelah malamnya pula, aktiviti “barbeque” antara pelajar KTD dan pelajar SMIAS telah dijalankan. Selain ayam bakar, menu yang turut disajikan adalah bubur dan ubi rebus. Bagi pelajar lelaki aktivitinya telah diadakan di Musollah Sek Ren Islam As Syddiq dan pelajar perempuan di Dataran PLUS Sekolah Menengah Islam As Syddiq. Sambil mereka berbarque, aktiviti permainan juga turut dijalankan. Semoga dengan Program Santai ini dapat mengeratkan silaturrahim antara pemuda pemudi KTD dengan para pelajar. Diharapkan juga kepada pelajar yang terlibat dalam program ini dapat mengambil sedikit perkongsian yang telah disampaikan sepanjang program dan menjadi azimat yang bermakna dalam kehidupan mereka.

Suasana sekitar program :

Gambar kenang-kenangan :

LAPORAN DISEDIAKAN

MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

 

 

PROGRAM KAHFI 2017

Alhamdulillah… Dipanjatkan syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia dan inayahNya Program KAHFI 2017 Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah dapat dilaksanakan pada 9 hingga 10 Februari 2017. KAHFI merupakan  singkatan kepada program Kem Asah Fakulti Insan dan program ini telah dilaksanakan setiap tahun. Program ini telah dianjurkan oleh pihak HALUANITA negeri Johor dengan kerjasama Sekolah Menengah Islam As Syddiq. Sasaran  utama program ini dijalankan melibatkan para pelajar Tingkatan 1 dan 2 Sekolah Menengah Islam As Syddiq.

Antara objektif program ini dijalankan adalah untuk membina ukhuwah yang erat di kalangan peserta di samping membina kefahaman dan kesedaran  Islam dalam jiwa setiap peserta. Bukan itu sahaja program ini juga bertujuan untuk membentuk jati diri peserta ke arah pengurusan yang lebih baik.

Program  telah dimulakan dengan sesi taklimat dan “ team building”pada 9 Februari 2017 pada jam 5.00 petang dan berakhir pada jam 6.00 petang. Bagi pelajar putera, program telah diadakan di Dataran Plus SMIAS dan bagi pelajar puteri program telah  diadakan di Asrama Imtiyaz. Setelah semua peserta makan malam dan solat Maghrib berjemaah, program diteruskan lagi dengan slot pertama iaitu sesi Kuliah Maghrib yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Izra’I bin Kanang pada pukul 8.00 hingga 9.00 malam. Selepas para peserta solat Isyak berjemaah, slot tayangan dan refleksi telah diadakan.

Seterusnya pada 10 Februari 2017, program diteruskan lagi dengan slot yang kedua iaitu sesi Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Puan Nooraini binti Selamat,selepas kesemua peserta solat Subuh berjemaah dan membaca al Mathurat.Sedikit aktiviti riadah telah diadakan bagi membangkitkan semangat  para peserta.Tepat jam 10.30 pagi sesi “ Sharing Moment” bersama dengan En Mohd Hilmi bin Abdul Razak bagi pelajar putera dan sesi “Sharing Moment” bersama dengan Puan Salmah binti Salleh, Puan Sarah Hamizah dan Cik Maryam Jameelah binti Hassan bagi pelajar puteri telah disampaikan. Semoga dengan sesi Sharing Moment ini, para peserta dapat mengambil sedikit pengalaman yang disampaikan oleh tokoh yang hebat ini.

Selepas para pelajar makan tengahari dan solat Zuhur berjemaah, sesi latihan dalam kumpulan iaitu sesi LDK bagi setiap slot telah dijalankan. Ianya bagi menilai sejauh mana kefahaman peserta terhadap setiap slot yang disampaikan dalam program ini dan para peserta diminta untuk membentangkan hasil perbincangan mereka. Program berakhir dengan Kalimah Akhirah yang telah disampaikan oleh Puan Supini binti Sardan yang mana beliau banyak memberi nasihat kepada para peserta dalam menempuhi segala onak dan ranjau dalam kehidupan ini terutama di sekolah dan asrama.

Terima kasih diucapkan kepada semua guru dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga dengan adanya program ini ianya dapat mencapai matlamat dan objektif yang digariskan di samping mendapat redha Ilahi…”Kalau ada keinginan yang kuat, niat ikhlas disertai usaha dan doa, Insyallah berhasil”.

Suasana sekitar program :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ SESI 2017

“ Setiap di kalangan kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin. Memetik hadis Nabi s.a.w, pemimpin di sekolah terdiri dari pengawas yang mana mereka merupakan kumpulan pelajar yang dihormati di sekolah. Mereka merupakan pelajar-pelajar pilihan yang mempunyai keterampilan dan kecemerlangan  baik dari aspek akademik, sahsiah mahupun kokurikulum. Mereka merupakan role model kepada pelajar-pelajar lain.

Oleh yang demikian sebagai tanda pengiktirafan , Alhamdulillah satu sesi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah diadakan pada 5 Februari 2017 bertempat di Dataran Plus SMIAS. Majlis ini telah dijalankan semasa perhimpunan rasmi bermula seawal jam 8.00 pagi Objektif majlis ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan dan semangat kepada pengawas supaya melakukan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab. Selain itu semoga dengan pelantikan ini semua pengawas yang telah dilantik dapat menggalas dan menyempurnakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan sekolah tanpa rasa ragu.

Sesi penyerahan watikah pelantikan pengawas telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail dan diiringi oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif. Bacaan ikrar pengawas telah dijalankan selepas kesemua pengawas menerima watikah pelantikan dan ianya telah diketuai oleh Ketua Pengawas  saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi. Setelah itu disampaikan beberapa amanat penting kepada semua pengawas oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif.

Pada keseluruhannya , majlis ini telah sempurna dijalankan dengan kerjasama semua guru dan pihak yang terlibat. Majlis seperti ini dilihat penting bagi menghargai tugas-tugas pengawas dan menyuntik  semangat mereka  dalam menjalankan tugas yang diberi di atas bahu mereka. Semoga pengawas yang dilantik pada tahun ini dapat menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya…

Suasana sekitar majlis :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

ORIENTASI PELAJAR TINGKATAN 1 & TINGKATAN 4 SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ 2017

Alhamdulillah,

Dimulakan dengan Bismilah,

Disudahi dengan Alhamdulillah,

Begitulah sehari dalam hidup kita

Mudah-mudahan dirahmati Allah…

Alhamdulillah selesai sudah minggu orientasi untuk pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Sekolah Menengah Islam As Syddiq bagi sesi 2017. Pelbagai ragam dan keletah anak – anak didik yang baru menempuhi alam persekolahan peringkat menengah terutamanya bagi pelajar Tingkatan 1. Ahlan Wasahlan sekali lagi penulis ucapkan kepada semua pelajar Tingkatan 1 dan 4 tahun 2017. Semoga minggu orientasi ini menjadi memori terindah dalam kehidupan mereka dan memberikan pengalaman yang berharga dan boleh diceritakan kepada generasi seterusnya.

Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi pelajar Tingkatan 1 di bawah pimpinan Ustaz Mohd Hazami bin Taib dan pelajar Tingkatan 4 di bawah pimpinan Ustaz Mohd Khairullah bin Khairudin. Pada hari pertama kesemua pelajar Tingkatan 1 & 4  telah dibawa menyelusuri Sejarah As Syddiq serta Harapan Sekolah Menengah Islam As Syddiq yang telah disampaikan oleh Tuan Pengetua Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Selain itu pelajar  juga diperingatkan tentang peraturan dan undang-undang sekolah dan asrama sepanjang mereka berada di sekolah di bawah seliaan GPK HEM, Puan Noor Rahizah binti Abd Rahman dan Penyelia Asrama, Puan Rose Zaharianton binti Zahari. Diharapkan dengan peringatan – peringatan  ini dapat menjadikan seorang pelajar lebih berdisiplin dalam kehidupan mereka.

Bagi membangkitkan suasana ceria di kalangan pelajar mereka juga telah diperkenalkan dengan Lagu Sekolah dan Lagu Bingkai Kehidupan.Tidak ketinggalan Unit Akademik juga turut terlibat dalam minggu orientasi ini dalam menyampaikan taklimat berkenaan dengan subjek dan peperiksaan akademik dan deeniah yang diajar di Sekolah Menengah Islam  As Syddiq.Taklimat tersebut telah disampaikan oleh GPK AKADEMIK, Puan Nusaibah binti Md Yamin bagi subjek akademik dan SUPD DEENIYAH Ustazah Nabilah binti Ibrahim. Selain itu sesi taklimat PAJSK & Kokurikulum juga telah disampaikan oleh GPK KOKO, En Muhamat Raman bin Sarif.

Seterusnya pada hari ketiga, Ustaz Muhamad Nizam bin Ismail dari Unit Tarbiyah Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah menyampaikan slot yang bertajuk Jati Diri Pelajar Muslim & 10 ciri pelajar Muslim kepada pelajar Tingkatan 1 & 4. Diharapkan daripada slot yang disampaikan dapat menjadikan pelajar seorang yang berwibawa dan berketrampilan. Seterusnya aktiviti diteruskan dengan Taklimat SPBT oleh Madam Wan Rohimah binti Hairani dan Taklimat Kaunseling oleh Puan Hairunnisa binti Busro bagi pelajar Tingkatan 1. Manakala bagi pelajar Tingkatan 4, mereka terlibat dengan Slot Indahnya Bersama Tuhan dan sesi Latihan dalam kumpulan.

Minggu orientasi pelajar Tingkatan 1 & 4 telah berakhir dengan Majlis Penutup Program Orientasi 2017 yang telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua Sekolah Menengah Islam As Syddiq Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Akhir kalam diharapkan dengan program orientasi yang dijalankan oleh pihak sekolah dapat memecahkan ais-ais di kalangan para pelajar dan mereka dapat meneruskan kehidupan di As Syddiq dalam suasana yang diredhai Allah. Sekian….

Suasana orentasi Pelajar Tingkatan 1 :

Suasana orentasi Pelajar Tingkatan 4 :

Sekitar Majlis Penutup oleh Pengetua dan Ustaz Nizam :

 

LAPORAN DISEDIAKAN:

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Kem Minda Kreatif (KMK) & Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST)

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Alhamdulillah, baru-baru ini kami di As Syddiq telah pun selesai melaksanakan 2 program mega bagi pelajar tingkatan 1 sehingga 4 iaitu Kem Minda Kreatif (KMK) dan ProCAST (Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji). Selaras dengan falsafah pendidikan di As-Syddiq yang mahukan pelajar yang memiliki pendidikan terancang, kemaskini dan terpimpin, berteraskan tauhid, mentarbiah dan meningkatkan potensi pelajar kearah melahirkan insan cemerlang yang seimbang dari segi rohani, akal, jasmani dan emosi dan seterusnya berkhidmat kepada Islam untuk kemakmuran alam sejagat.

Kali ini kami di pihak sekolah telah bersetuju untuk memilih Kem PLKN, Teluk Sari Mersing sebagai lokasi program. Keterujaan jelas kelihatan, apabila berbondong-bondong pelajar mula membanjiri ruang legar persekolahan seawal jam 7.30 pagi. Petugas-petugas kantin sudah bersiap sedia dengan menu istimewa “Nasi Lemak As Syddiq” khusus untuk santapan peserta program. Program yang berdurasi selama 3 hari ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 216 orang peserta dari kalangan pelajar As Syddiq dan pelajar-pelajar dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Kolaborasi guru-guru As Syddiq dan guru-guru dari Kelab Guru HALUAN  banyak membantu didalam melicinkan perjalanan program. Kami sama-sama bergerak didalam menyampaikan wadah bagi melahirkan insan cemerlang yang diredhai Allah.

Bagi yang baru mengenali As Syddiq KMK adalah program yang dibangunkan khusus untuk pelajar tingkatan 1 sehingga 3, dengan tema “Rabbani Impian Syurga”. Pelbagai pengisian disusun bagi mencapai objektif yang disasarkan. Masa peserta yang menghadiri program ini sentiasa dimanfatkan dengan aktiviti yang membentuk jiwa dan peribadi. Penulis tertarik untuk berkongsi beberapa aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti “Subuh Circle” dan “Explorace”. Ia sangat bertepatan sekali dengan lagu tema program “Hadapilah” oleh Shoutul Harakah. Bait-bait liriknya mendorong peserta untuk kuat menghadapi segala rintangan dan cabaran sebagai seorang pelajar dan jangan pernah berputus asa kerana Allah sentiasa berada bersama orang-orang yang selalu mengingatinya.

Berbeza sedikit dengan ProCAST, ia lebih menjurus kepada pembentukkan kepimpinan pelajar. Bersesuaian dengan tahap pelajar Tingkatan 4 yang baru menginjak ke alam remaja, ProCAST lebih selektif didalam pemilihan modul seperti komunikasi, pengurusan emosi dan 3 persoalan hidup. Bagi memantapkan program yang diatur, penceramah-penceramah yang berpengalaman diundang untuk menyampaikan wadah yang berguna kepada pelajar. Jika KMK memilih “Hadapilah”,  ProCAST memilih lagu “Mujahid Setia” sebagai tema di sepanjang program. Semangat yang dibawa dari lagu tersebut sememangnya memberi inspirasi kepada peserta yang terlibat.

Besarlah harapan kami agar program-program yang telah disertai oleh pelajar-pelajar ini dapat membentuk mereka menjadi insan yang bertakwa dan berketrampilan. Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program KMK dan ProCAST.

Berikut adalah montaj yang dihasilkan dipenghujung program, mari kita ikuti :

Montaj KMK :

Montaj ProCAST :

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Jati Diri Kesukarelawanan 2016

Alhamdulillah, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal melabuhkan tirainya secara rasmi pada 06 Disember 2016. Bagi pelajar-pelajar di As Syddiq, mereka telah pun menghabiskan kertas terakhir mereka secara rasmi pada 24 Disember 2016 yang lalu.

Sebagai institusi yang sentiasa berpegang kepada prinsip memperbaiki kualiti diri kerana Allah dan mendidik kerana Allah, program kemuncak bagi pelajar yang bakal meninggalkan alam persekolahan sudah lama diaturkan oleh pihak HALUAN. Selaku generasi kedua pelapis As Syddiq, mereka telah lama didedahkan dengan program-program yang telah diaturkan oleh HALUAN pusat. Program Jati Diri Kesukarelawanan  (JDK) merupakan program yang sangat ditunggu-tunggu.

Apa itu JDK? Bagi yang baru mengenali As-Syddiq dan HALUAN, JDK mungkin kedengaran asing di halwa telinga, tetapi sebenarnya JDK adalah program yang sudah hampir 7 tahun bertapak. Kali pertama ia diadakan di Terengganu selama hampir 2 bulan. Saban tahun JDK tidak pernah culas memperbaiki mutu program  dengan menyediakan program-program yang memberikan penekanan kepada aspek pembentukan jati diri dan kesukarelawanan kepada pelajar lepasan SPM.

Mengapa pelajar-pelajar ini wajib menyertai JDK? Program ini dibangunkan untuk mendedahkan pelajar kepada kemahiran berorganisasi, pengurusan dan komunikasi.  Selain dari itu JDK membina kemahiran pengurusan diri dan  melahirkan individu yang sayang dan sanggup berbakti kepada masyarakat serta melahirkan kepimpinan pelajar berwibawa dan berketerampilan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang JDK, mari kita sama-sama layari laman web dibawah untuk maklumat lanjut.

http://www.jdk.haluan.org.my

photo_2016-11-29_12-35-06.jpg

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

Seminar Mahligai Impian – Bahagian Terakhir

Tajuk                     : Mencari Cinta Lestari

Moderator          :  Dr Johari Bin Surif

Panel 1                 : Dr Razali Bin Maarof

Panel 2                 : Pn Hjh Ezura Nashuha Binti Omar @ Abd Hadi

 

Assalamualaikum wbt, Alhamdulillah kita telah pun sampai ke bahagian terakhir dapatan dari Seminar Mahligai Impian kali ke-8, kali ini penulis akan berkongsi tips-tips yang telah dikongsi didalam perbincangan forum yang telah diadakan.

Terdapat pelbagai faktor dan kaedah untuk membina cinta lestari, berikut penulis kongsikan untuk tatapan pembaca-pembaca sekalian.

  • Jadilah pasangan yang setia mendengar (good listener). Proses ini sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi dan ia amat memerlukan masa
  • Memahami kelemahan dan kelebihan pasangan masing-masing
  • Hidupkan hati dengan iman kerana kukuhnya iman akan terbangunlah keyakinan.
  • Puji kebaikan pasangan dan sentiasalah menghargai pasangan. Jadikanlah rumahtangga sebagai sekolah kehidupan
  • Tambah ilmu dengan menghadiri majlis ilmu dan dapatkan seberapa banyak ilmu.
  • Latih diri untuk belajar mengambil tanggungjawab dan sentiasa ikhlaskan diri
  • Bukakan hati  dan sedarilah bahawa pengetahuan tentang agama, kekuatan iman dapat melahirkan generasi pewaris yang dapat membawa kita ke syurga.

 

Untuk memperoleh sesuatu yang kekal abadi ia bukanlah suatu jalan yang mudah, terdapat pelbagai cabaran yang harus ditempoh. Mari kita hayati bersama apakah cabaran yang harus ditempuh dan bagaimana untuk mengatasinya :-

 

  • Faktor ekonomi, bila mana kita mula menyalahkan akan tanggungjawab dan hak yang harus dipikul. Wahai para suami, janganlah kamu anggap memberikan nafkah kepada isteri sebagai satu bebanan tetapi anggaplah ia sebagai satu keistimewaan yang kamu miliki. Jangan malas bekerja dan biarkan isterimu yang menanggung segala-galanya.
  • Faktor komunikasi , ikutlah apa yang Al-Quran dan Sunnah perintahkan kepada kita, jangan hanya mahu satu pihak sahaja yang menang, setiap pasangan jangan selalu memendam rasa, luahkanlah apa yang terbuku dihati dan carilah jalan penyelesaian dengan cara yang paling berhemah.
  • Kurang penghayatan agama, janganlah setiap pasangan mencetuskan masalah dengan mencari orang ketiga, kuatkanlah iman dari terpengaruh dari pengaruh media sosial, kerana jika ianya berlaku tiada lagi barakah dan rahmah didalam rumahtangga.
  • Sentiasa ingati diri sendiri supaya jangan meletak harapan pada manusia tapi letakkan harapan dan keyakinan kita kepada Allah SWT. Banyakkan berdoa dan berserah kepada Allah SWT, sentiasalah bersama suka dan duka kerana bukan selamanya kita akan berada di puncak.

 

Teringat pada kata-kata seorang pujangga :-

Sungguh ajaib manusia muslim bila dia bersabar apabila ditimpa musibah dan dia bersyukur apabila diberikan nikmat

Sebelum berpisah marilah sama-sama kita membina visi keluarga muslim, tanyalah diri kemana mahu kita bawa rumahtangga yang bakal / telah dibina, fahamilah dengan jelas konsep baitul muslim. Koreksi diri untuk apa kita bernikah dan apa yang akan kamu harapkan didalam sebuah perkahwinan. Hayati makna dari surah Al-Tahrim ayat ke-6 yang bermaksud : Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjanganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

 

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

 

 

 

 

Seminar Mahligai Impian – Bahagian 2

Tajuk                     : Cinta Lestari

Penyampai         :  Dr Razali Bin Maarof

Bertemu kembali untuk bahagian kedua, dapatan dari Seminar Mahligai Impian kali ke-8. Penulis ingin menyambung kembali catatan yang ditimba dari slot seterusnya dari Dr Razali Bin Maarof, seorang motivator  dan penulis yang menyumbang artikelnya di laman sesawang familimithali.com. Beliau menggunakan perkataan lestari sebagai medium untuk mencapai mahligai yang diimpikan.

Apakah yang dimaksudkan dengan lestari? Lestari boleh diterjemahkan sebagai kekal, bagaimana untuk mengekalkan rasa cinta? Dewasa kini keruntuhan rumah tangga kian ketara, apakah penyebabnya? Ternyata faktor kurangnya nilai agama menjadi pelopor kepada permasalahan yang berlaku. Selain faktor tersebut, kemampuan berkomunikasi dengan baik juga turut menyumbang kepada kegagalan rumah tangga.

Kesedaran diri akan makna sebuah perkahwinan mampu untuk mengekalkan kesejahteraan rumahtangga. Setiap pasangan harus fokus akan tanggungjawab, melengkapkan diri dengan persediaan sebelum dan selepas berkahwin dan yang paling utama menanamkan iman dalam perkahwinan yang dibina. Elakkanlah dari memikirkan perkara-perkara yang negatif yang mampu merosakkan rumahtangga yang dibina. Adakalanya sesetengah  pasangan memiliki rasa ego yang tinggi tidak mahu menerima kelemahan dan kekurangan diri, sedangkan jika dilihat dari cermin diri, dia juga tidak sempurna. Wajah sebenar pasangan hanya akan jelas terlihat apabila perkahwinan itu telah berlangsung.

Penceramah turut menambah cinta harus ditumbuhkan dengan ketaqwaan dan ihsan. Sumber kebaikan bagi seorang muslim di dalam semua aspek kehidupan akan membantu mengikat utuhnya jalinan cinta berpasangan. Cinta sewajarnya didasari oleh kecintaan kepada Allah, mencintai kerana Allah dan hanya bertujuan mengharap keredhaan Allah serta saling mencintai antara satu sama lain sesuai dengan yang kehendak dan yang diredhai oleh Allah.

Teringat penulis pada catatan seorang sahabat berkenaan asas keluarga Islam iaitu taqwa. Taqwa itulah yang menjinakkan hati-hati suami isteri. Taqwalah melembutkan tingkah laku, membersihkan jiwa, menyedarkan tanggungjawab kepada Allah Subhanahuwata’ala, memudahkan pengurusan, mencegah kejahatan dan mendorong kepada kebaikan. Kata-kata seorang pujangga yang lahir dari ruh Al Qur’an dan AsSunnah:

“Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dalam semua hal. Janganlah kamu menolak taqwa kerana mengutamakan keturunan semata-mata. Sesungguhnya Islam telah mengangkat darjat Salman Al Farisi, dan kekufuran telah menjatuhkan martabat Abu Lahab”.

Kata yang lain pula:

“Hendaklah kamu bekalkan diri kamu dengan taqwa. Sesungguhnya kamu tidak mengetahui, apabila datang waktu malam apakah kamu akan hidup sampai waktu fajar. Berapa banyak orang yang sihat tetapi menemui maut tanpa sebab. Berapa banyak orang yang sakit tetapi telah hidup dalam jangka waktu yang panjang. Berapa banyak pemuda, samada petang atau pagi, ketawa riang sedangkan kain kapannya sedang ditenun tanpa diketahuinya”.

Mustafa Al Masyhur dalam buku Tariqudda’wah membawa rangkap pujangga Arab Islam yang bermaksud:

“Aku tidak nampak kebahagiaan itu terletak pada kerja-kerja meng­himpunkan harta tetapi orang yang bertaqwa itulah yang merasai kebahagiaan sebenar”.

Jika terdapat taqwa pada kedua-dua pasangan hidup lelaki dan perempuan, maka itu faktor terbesar untuk melahirkan suasana mesra, kasih dan kerukunan yang sebenarnya. Allah-lah yang mem­berikan kasih sayang dan menjinakkan hati-hati mereka.

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Seminar Mahligai Impian – Bahagian 1

Penyampai         :  Tn Hj Mohd Noor Bin Kadri

Pn Hajah Ezura Nashuha Bt Omar @ Abd Hadi

Tarikh                    : 15 Oktober 2016

Lokasi                    : Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Alhamdulillah, baru-baru ini HALUANITA Johor telah berjaya menganjurkan Seminar Mahligai Impian di Fakulti Kejuruteraan, UTM. Penganjuran program kali ke-8 ini telah berjaya menarik minat hampir 200 orang peserta dari kalangan pelajar IPT dan golongan bekerja sekitar pelusuk Johor. Kami di As-Syddiq turut menghantar guru-guru dan staf untuk menimba ilmu dan menambah pengetahuan didalam ilmu rumahtangga. Pada hemat penulis, program ini sangat bermanfaat bukan sahaja kepada mereka yang belum dan bakal berumahtangga, ia juga sesuai untuk golongan yang telah berkahwin. Berikut merupakan dapatan dari program tersebut.

Mengikut statistik, dalam tempoh enam tahun lalu, sebanyak lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai institusi keluarga Islam di negara ini. Melihat pada rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu. Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam kes bagi setiap jam. Selain itu, statistik perceraian pasangan Islam dalam tempoh lima tahun lalu juga menunjukkan peningkatan begitu ketara iaitu daripada 43,749 kes pada 2011 kepada 53,870 kes pada 2014, naik sebanyak 10,121 kes.

Berdasarkan fakta diatas, dapat kita simpulkan  bahawa fasa pertama perkahwinan merupakan fasa yang paling kritikal untuk setiap pasangan membina keyakinan, mewujudkan persefahaman, malatih sifat sabar dan memastikan hala tuju yang ingin dicapai.

Untitled-2.jpg

Dan di antara tanda-tanda kekuasan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya. dan dijadikan-Nya di antaramu rasa mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”        (Surah ar-Rum :21)

Tujuan terpenting pembentukkan rumahtangga muslim, ialah untuk kita beribadah kepada Allah SWT dan melaksanakan Islam secara keseluruhan dan akhirnya meletakkan taqwa sebagai matlamat hidup. Al-Qurtubi pernah menjelaskan mawaddah, bererti “cinta kasih seorang lelaki kepada isterinya” dan rahmah pula bermaksud “rahmahnya jangan sampai menderita atau mengalami kesusahan”.

Justeru itu bagaimanan kita sebagai pasangan yang ingin menyatukan 2 hati dan 2 jiwa dalam pembentukan rumahtangga muslim yang harmoni. Ia seharusnya diasaskan di atas konsep mawaddah dan rahmah. Suasana rumahtangga yang dibina di atas dasar cinta dan kasih sayang yang suci akan mententeramkan jiwa dan ruh dalam kehidupan da’i. Dalam hal ini tiada contoh yang paling utama melainkan rumahtangga Rasullullah SAW yang dibina bersama-sama dengan Sayidatina Khadijah RA, terutama sekali pada ketika dakwah menghadapi pelbagai cabaran dan pengalaman baru yang memerlukan kepada sokongan padu dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi  daripada si isteri.

Anak-anak yang dibentuk di dalam suasana mawaddah dan rahmah  akan menghasilkan peribadi yang bahagia, yakin diri, tenteram, berkasih sayang dan jauh daripada kekacauan atau penyakit batin yang melemahkan peribadi.

  1. Mendirikan syariat Allah dalam segala urusan dan permasalahan rumahtangga.
  2. Mengamalkan sunnah Rasullullah SAW agar lahir anak-anak soleh sehinggakan umat manusia merasa bahagia dengan kehadiran mereka.
  3. Memenuhi keperluan cinta kasih untuk anak-anak. Ketidakseimbangan atau ketandusan cinta kasih akan menyebabkan penyimpangan akhlak dan perilaku anak-anak.

 

Pendekatan keluarga bahagia adalah berbeza mengikut peredaran. Jika diimbas kembali ketika zaman datuk nenek dan ibu ayah kita, sememangnya ilmu rumahtangga hanya didasari dari pengalaman orang yang terdahulu. Namun kini dunia semakin mengejar era globalisasi, bila teknologi hanya dihujung jari ekses untuk mendapatkan tips mencapai keluarga bahagia kian mudah dicapai. Persoalannya adakah matlamat ini tercapai?

Berikut ingin penulis kongsikan ciri-ciri keluarga Islam, mungkin pada pandangan pembaca ia telah acapkali diulang tetapi ciri-ciri yang sama juga yang gagal dilunaskan oleh setiap pasangan.

  1. Mempunyai sifat sabar yang tinggi, kerana kunci kebahagiaan adalah sabar. Setiap perkahwinan pasti akan ada pasang surutnya maka sabarlah pengubat kepada setiap kesukaran yang dihadapi.
  2. Mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah. Keterikatan 2 jiwa menjadi satu memerlukan satu proses yang panjang. Apabila setiap pasangan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangannya, serta melaksanakan rukun Islam yang 5, Insya Allah akan dipermudahkan jalan untuk melayari rumahtangga.
  3. Sentiasa bersyukur dengan pasangan yang diberi. Seperti yang tertulis di loh mahfuz, jodoh kita sememangnya telah ditetapkan, setiap dari kita tiada yang sempurna, oleh itu kekurangan yang kita miliki akan dilengkapi oleh pasangan kita. Maka bersyukurlah diberi peluang untuk bertemu jodoh.
  4. Hormat menghormati antara satu sama lain, bila bersatunya ikatan perkahwinan maka akan bertambahlah secara automatik ahli keluarga kita. Sifat toleransi harus wujud dan dimesrakan dengan ahli keluarga yang baru.
  5. Bersifat kasih sayang dan cintai mencintai antara pasangan.
  6. Sentiasalah tawakkal kepada Allah SWT kerana Dialah yang mencipta kita, mengetahui dan memahami kemampuan yang mampu kita tanggungi dan percayalah dengan Qada’ dan Qadar Allah.

 

Persoalan cinta tidak akan ada kesudahannya. Mengapa Allah menjadikan manusia berpasang-pasangan? Tidak lain tidak bukan untuk mengingatkan kita akan kebesaran Allah SWT dan meningkatkan rasa ubudiyah kita kepada Allah. Justeru itu jadikanlah mahligai yang bakal dibina sebagai ladang untuk menuju ke akhirat, fahamilah konsep perkahwinan dan rasakan perkahwinan sebagai satu ibadah.

Harus diingat perkahwinan yang hanya bersandarkan kekayaan / harta benda ia pasti tidak akan kekal lama dan tidak mampu untuk membawa perkahwinan tersebut ke syurga. Sebagai panduan, kita harus membentuk diri kita untuk menjadi muslim yang sejati. Pembaca sekalian, untuk mendapat bakal pasangan yang baik, seharusnya kita berusaha menjadi orang yang baik. Bertepatan dengan firman Allah SWT  “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)

Bagaimana pula kita mahu melunaskan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami? Bagi yang telah lama berkahwin, mungkin mereka sudah biasa dengan pembahagian tugas atau menyedari sendiri akan tanggungjawab melalui pengalaman yang telah dilalui. Bagi yang baru melangkah ke alam rumahtangga, setiap pasangan harus melunaskan hak-haknya dan diperlakukan dengan cara yang paling baik. Sentiasa yakin dengan keberkatan yang telah Allah janjikan dan keindahan Islam itu akan terserlah.

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/