Tag Archives: As Syddiq

SUMBANGAN BUBUR LAMBUK & SEDEKAH RAMADHAN

Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima,.. syukur alhamdulilah dipanjatkan kepada ilahi dengan rahmat kurniaNya tanggal 12 Jun 2017 bersamaan 17 Ramadhan 1438, jam 3.00 petang telah berlansung satu program ‘’ Sumbangan Bubur Lambuk dan Sedekah Ramadhan’’ anjuran Syarikat Plus Berhad bertempat di dataran Plus SMIAS.

Program ini mengambil masa selama 2 jam lebih dengan melibatkan  semua  pelajar tingkatan 1, 2, 3 dan 4 Sekolah Menengah Islam Assyddiq. Agenda utama program ini adalah untuk memberi sumbangan bubur lambuk kepada para pelajar dan menyampaikan sumbangan sedekah bantuan musibah kebakaran.

Setelah para jemputan memenuhi ruang yang disediakan, majlis pun dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail. Ianya diikuti dengan ucapan perasmian oleh pengurus Syarikat Plus Berhad Machap, dan diakhiri dengan ucapan pengetua Sekolah Menengah Islam As Syddiq, Tuan Hj Shamjuddin bin Romani.

Setelah selesai sesi ucapan, majlis diteruskan dengan sesi  penyerahan bubur lambuk kepada para pelajar dan sumbangan bantu musibah kebakaran kepada murobbi SMIAS.

Alhamdulillah majlis bersurai pada jam 5,00 petang dan ahli plus diberikan sedikit buah tangan dari pihak sekolah. Akhir kalam jazakallah khairan kasiran diucapkan kepada semua yang terlibat dalam sumbangan bubur lambuk dan sedekah ramadhan bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar. Sekian..

Suasana sekitar majlis :

LAPORAN DISEDIAKAN

PUAN NOOR RAHIZAH BT ABDUL RAHMAN

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

 

MAJLIS PENYERAHAN TABUNG MUSIBAH KEBAKARAN SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ.

Firman Allah swt,

‘’ …Dan berikanlah infak di jalan Allah dan janganlah engkau menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat kebaikan ‘’. – Surat Al-Baqarah : 195

Alhamdulilah dipanjatkan syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurniaNya Majlis Penyerahan Tabung Musibah Kebakaran Sekolah Menengah Islam As syddiq dan Bantuan Hari Raya kepada Asnaf bagi kawasan Dun Layang-layang dilaksanakan pada 01 Jun 2017 bertempat di Masjid Jamek Baitul Muttaqim, Kampung Paya Layang-layang, Kluang telah berjalan dengan jayanya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor merangkap ADUN Layang-Layang bersama Amin BaitulMal Majlis Agama Daerah Kluang menyampaikan bantuan hari raya aidilfitri kepada asnaf-asnaf dalam kawasan Dun Layang-layang. Turut bersama-sama penduduk dan masyarakat setempat dalam satu majlis penyerahan bantuan hari raya dan iftar.

Dalam majlis tersebut juga, sumbangan cek bernilai RM20,000 telah disampaikan oleh YB Tuan Haji Abdul Mutalib bin Abdul Rahim kepada pihak Mudir SMIAS iaitu Tn Hj Shamjuddin bin Romani untuk proses membaik pulih Sekolah Menengah Islam As Syddiq.

Firman Allah SWT, “Katakanlah, Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki pada sesiapa yang dikehendaki-Nya diantara hamba-hamba-Nya, dan Allah menyempitkan rezeki pada orang yang dikehendaki-Nya. Dan apapun yang kamu infakkan atas rezeki yang diberikan Allah, maka Allah menggantinya kembali dan Allah-lah sebaik-baik pemberi rezeki ‘’. – Surat Saba : 39

Majlis tersebut diakhiri dengan tazkirah khas Ramadhan oleh As-Syeikh Tn Hj Taufiq bin Dato’ Kiyai Haji Shamsuddin, Amin BaitulMal Daerah Kluang.

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga amalan sedekah yang telah dilakukan mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki kita. Sesungguhnya, tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima.

Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat sumbangan kepada pihak sekolah, sumabangan boleh dibuat melalui saluran berikut :-

Nama Akaun : SEKOLAH RENDAH AGAMA GHUFRAN (Nama lama bagi SMIAS)

Bank Penerima : MAYBANK

No Akaun : 5511-9110-2792

** Sila hubungi En Qayyim di talian 016-7611 676 untuk pertanyaan dan sumbangan.

 

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

Suasana sekitar program :

———————————–

Team Media As Syddiq :

———————————–

 

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ SESI 2017

“ Setiap di kalangan kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin. Memetik hadis Nabi s.a.w, pemimpin di sekolah terdiri dari pengawas yang mana mereka merupakan kumpulan pelajar yang dihormati di sekolah. Mereka merupakan pelajar-pelajar pilihan yang mempunyai keterampilan dan kecemerlangan  baik dari aspek akademik, sahsiah mahupun kokurikulum. Mereka merupakan role model kepada pelajar-pelajar lain.

Oleh yang demikian sebagai tanda pengiktirafan , Alhamdulillah satu sesi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah diadakan pada 5 Februari 2017 bertempat di Dataran Plus SMIAS. Majlis ini telah dijalankan semasa perhimpunan rasmi bermula seawal jam 8.00 pagi Objektif majlis ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan dan semangat kepada pengawas supaya melakukan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab. Selain itu semoga dengan pelantikan ini semua pengawas yang telah dilantik dapat menggalas dan menyempurnakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan sekolah tanpa rasa ragu.

Sesi penyerahan watikah pelantikan pengawas telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail dan diiringi oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif. Bacaan ikrar pengawas telah dijalankan selepas kesemua pengawas menerima watikah pelantikan dan ianya telah diketuai oleh Ketua Pengawas  saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi. Setelah itu disampaikan beberapa amanat penting kepada semua pengawas oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif.

Pada keseluruhannya , majlis ini telah sempurna dijalankan dengan kerjasama semua guru dan pihak yang terlibat. Majlis seperti ini dilihat penting bagi menghargai tugas-tugas pengawas dan menyuntik  semangat mereka  dalam menjalankan tugas yang diberi di atas bahu mereka. Semoga pengawas yang dilantik pada tahun ini dapat menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya…

Suasana sekitar majlis :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

Makluman Pendaftaran As Syddiq 2017

🚸 *M α к ℓ บ m α ท* 🚸

*السلام عليكم*
*ورحمة الله وبركاته*

*PENGAMBILAN MURID*
*TINGKATAN ① 2017*

*SEK. MEN. ISLAM ASSYDDIQ *
Simpang Renggam Johor..
____________________

☞ _Tarikh Permohonan_ :
*20 NOVEMBER – 15 DISEMBER 2016*

☞ _Masa_ :
*8.³⁰ Pagi – 4.30 Ptg*
___________________

☞ _Syarat-syarat kelayakan_ :

1. Lulus UPSR
2. Mahir membaca Al-Quran
3. Mahir membaca & menulis Jawi
4. Mempunyai asas Bahasa Arab
5. Lulus Ujian Temuduga
____________________
☞ Sila bawa bersama salinan IC, sijil UPSR, SDEA, UPKK @ sijil berkaitan. Untuk Sebarang Pertanyaan Sila Hubungi Pihak Sekolah :

☏ Tel : *07 7559717*
Aida : *012 760 5721*
sekolahislamassyddiq.wordpress.com*
UJIAN KELAYAKKAN
Tarikh : Ahad 25 Dec 16
Tempat : Dewan Peperiksaan smias
____________________

2.jpg

1.jpg

Boleh mendapatkan borang secara online dengan mengklik pautan di bawah :

Borang Pendaftaran SRIAS 2017

Borang SMIAS ( Rendah ) 2017

Borang SMIAS ( Atas ) 2017

Borang Memohon Asrama Untuk SRIAS 2017

Borang Untuk Memohon Asrama SMIAS 2017

“ _Bersama Kita Membina sebuah peradaban…. Insya Allah_”..

# *JOM MASUK SMl ASSYDDIQ 2017*#

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Pendaftaran Pengambilan Pelajar SRIAS dan SMIAS 2017

Pendaftaran Pengambilan Pelajar SRIAS dan SMIAS 2017 Kini Dibuka

2.jpg

1.jpg

Boleh mendapatkan borang secara online dengan mengklik pautan di bawah :

Borang Pendaftaran SRIAS 2017

Borang SMIAS ( Rendah ) 2017

Borang SMIAS ( Atas ) 2017

Borang Memohon Asrama Untuk SRIAS 2017

Borang Untuk Memohon Asrama SMIAS 2017

Bengkel Penulisan Cerpen

“Hawa menarik nafas lega, degupan jantung yang berdegup kencang sejak seminggu lalu kini berakhir, slip keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) yang diterima dari Ustazah Yaqin sudah semakin renyuk di tangan. Alhamdulillah, gelodak dihati kian terlerai, segala usahanya membuahkan hasil, titisan demi titisan air mata rebah ke bumi tanda syukur”

Berikut merupakan contoh penulisan cerpen dari salah seorang peserta bengkel Penulisan Kreatif kelolaan penulis Noraini binti Eslah atau lebih dikenali sebagai Ummu Anas.

Ummu Anas merupakan kolumnis tetap bagi majalah HALUAN semenjak tahun 1995. Walaupun sibuk dengan aktiviti harian dan menjadi ibu kepada tujuh orang anak  ia sedikit pun tidak menjadi halangan untuk beliau menceburkan diri dalam menghasilkan karya kreatif, khasnya cerpen dan novel. Kejayaan beliau memenangi tempat ketiga sayembara novel remaja DBP 2009/10 telah menambahkan lagi keyakinan beliau untuk terus bergiat dalam penulisan kreatif.

Sehubungan dengan itu pihak sekolah telah berbesar hati untuk menjemput Ummu Anas untuk berkongsi sedikit sebanyak berkenaan penulisan kreatif, bengkel selama sehari khusus untuk pelajar tingkatan 4 ini banyak didedahkan dengan teknik-teknik penulisan. Diakhir program pelajar dapat menghasilkan cerpen mereka sendiri melalui teknik yang diajar.

Suasana sekitar bengkel penulisan cerpen :

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Dialog Prestasi PT3 dan SPM 2016

3 September 2016,

Bilik Gerakan, Sekolah Menengah Islam As Syddiq

 

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Dato’ Usman Awang,1979

 

Assalamualaikum wbt kepada semua pembaca setia blog Sekolah Islam As Syddiq. Menyelami kata-kata pujangga dari Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang atau nama penanya Tongkat Warrant, peranan guru amat besar maknanya didalam melahirkan generasi bijak pandai di masa hadapan.

Alhamdulillah, hari ini kami di As Syddiq telah dikunjungi oleh mantan Pengetua dari SMK Kulim Kedah iaitu yang berbahagia Tn Hj Asri Bin Abdul Hamid. Beliau dijemput oleh pihak sekolah untuk sama-sama berkongsi pandangan dan pengalaman sepanjang tempoh beliau menjadi pendidik selama hampir lebih 3 dekad.

Program hari ini telah dipengerusikan oleh En Muhammad Raman Bin Md Sharif dengan kehadiran seramai 19 orang guru yang terdiri dari kalangan guru-guru Sekolah Menengah. Penulis begitu tertarik dengan ungkapan yang digunapakai oleh Tn Hj Asri, beliau mengatakan “kualiti guru merupakan penentu utama prestasi pelajar”. Beliau membuat analogi semua pelajar mempunyai potensi yang sama untuk mendapat ilmu tetapi potensi seseorang pelajar boleh berubah jika digabung jalin dengan potensi seseorang itu mengajar. Mengikut kajian yang telah dilakukan, seorang murid yang sederhana jika dididik dengan seorang guru yang berprestasi tinggi, pelajar ini akan lebih cenderung untuk berjaya berbanding pelajar sederhana yang dididik oleh seorang guru berprestasi rendah.

Kualiti seorang guru bukan hanya bersandarkan kepada scroll ijazah atau diploma yang dimiliki tetapi lebih kepada kemahuan seseorang pendidik didalam mendalami ilmu yang ingin diajar. Umum mengetahui guru-guru di As Syddiq bukan datang dari guru –guru yang berlatar belakangkan pendidikan tetapi kami di As Syddiq sentiasa mencari peluang dan ruang untuk meningkatkan tahap kemahiran mengajar melalui kursus-kursus atau bengkel yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah, selain dari kursus-kursus dalaman yang dianjurkan oleh Kelab Guru Haluan (KGH).

Bagaimana untuk melahirkan seorang guru yang berkualiti? Tn Hj Asri menjelaskan guru yang hebat adalah guru yang mampu mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada pelajarnya. Ini dapat dilihat dari respon yang diberi oleh pelajar ketika sesi soal jawab, buku latihannya dan adab mereka ketika guru sedang mengajar. Kami guru-guru di As Syddiq sememangnya ingin melahirkan kualiti murid yang mempunyai modal insan yang seimbang dan holistik. Oleh yang demikian pelajar yang mempunyai pengetahuan berasaskan keperluan dapat dijana.

Beliau turut menambah, terdapat beberapa kriteria yang perlu ada bagi seorang guru. Pertama dari sudut akidah dan akhlak, sebagai pendidik, kita telah diamanahkan untuk mengajar, bukan hanya setakat mengajar semata tetapi bagaimana kita mampu untuk membawa masej Islam didalam proses PnP dan merasakan pengawasan Allah didalam segala tindak tanduk kita sama ada secara individu atau berjemaah. Selain itu guru yang baik adalah guru yang belajar dan mengajar Al-Quran sekaligus merasakan ‘izzah’ didalam mendalami ilmu yang diajar.

Kedua kita harus bersikap professional didalam menjalankan tugas dan amanah. Guru harus bijak menyeimbangkan antara waktu kerja dan waktu peribadi. Faktor seterusnya ialah fizikal. Bagaimana badan yang sihat dapat melahirkan otak yang cerdas.

Seterusnya kami mengadakan sesi diskusi berkenaan jangkaan dan prestasi pelajar yang bakal menduduki SPM dan PT3, perbincangan lebih terarah kepada bagaimana sasaran yang ingin dicapai mestilah melebihi atau sama dengan sasaran terbaik yang pernah dicapai.Guru setiap mata pelajaran sewajarnya sudah maklum akan prestasi pelajar dan langkah pecutan harus diambil bagi mencapai sasaran yang diinginkan.

Berikut penulis kongsikan teknik-teknik yang boleh digunapakai untuk memastikan kejayaan pelajar boleh diperoleh.

  1. Peranan guru
  • Apa pelan tindakan guru? Senaraikan mengikut keutamaan
  • Wujudkan “demam peperiksaan” didalam kelas, ini bagi melatih pelajar untuk lebih serius ketika menjawab
  • Cuba ubah aktiviti khususnya ketika PnP, cari apa yang pelajar suka lakukan
  • Pegang “hati” pelajar, setiap pelajar ada hak untuk menerima pengajaran yang sama dari guru, jangan wujudkan ‘pilih kasih’. Guru yang baik adalah guru yang dapat dirasakan perhatiannya oleh pelajar
  • Jangan pernah berputus asa

 

  1. Peranan pelajar
  • Pelajar harus ada sasaran yang ingin dicapai
  • Berusaha untuk merebut peluang yang ada
  • Perbezaan potensi jangan dijadikan alasan
  • Never give up dan terus mengekalkan hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia.

 

  1. Bahan yang digunakan
  • Lakukan latih tubi melalui dapatan soalan percubaan peringkat negeri, melalui cara ini analisis dapat dilakukan berhubung soalan sebenar yang bakal keluar.
  • Kuasai bahagian-bahagian yang boleh membantu pelajar untuk mendapatkan markah dan mengurangkan kesalahan yang tidak sepatutnya.
  • Beri pelajar contoh – contoh jawapan yang baik.

 

Sebagai penutup, Tn Hj Asri telah berkongsi kaedah PILL (Perancangan Intervensi Lima Langkah)

  • Mengenal pasti kelas / murid sasaran
  • Memahami punca masalah
  • Menyenaraikan cadangan intervensi
  • Melakukan prioriti intervensi
  • Menyediakan plan tindakan

 

Semoga apa yang telah dikongsikan memberi manfaat kepada semua guru, sekalung terima kasih diucapkan kepada Tn Hj Asri kerana sudi meluangkan masa  dan tenaga bersama kami di As Syddiq. Sebelum berpisah terimalah serangkap pantun dari kami.

Bersarang lebah dipohon palas

burung kelicap di pohon selasih

Pengetahuan bertambah penerangan jelas

kami mengucapkan terima kasih.

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Bt Atan

Gambar sekitar bengkel :

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Salam Kemerdekaan Ke-59

Kemerdekaan adalah merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat manusia di atas muka bumi-Nya ini. Namun begitu, nikmat kemerdekaan ini bukanlah dapat dirasai sepenuhnya oleh semua golongan manusia. Justeru kita dapat melihat bagaimana sesetengah negara dijajah oleh kuasa asing seperti mana yang berlaku di negara Palestin.

Kita juga dapat melihat bagaimana sesetengah kelompok manusia dihalau dan diusir daripada tanahair mereka sendiri seperti mana yang berlaku kepada umat Islam Rohingya. Bahkan kita juga dapat melihat bagaimana sesetengah manusia pada hari ini dijadikan sebagai hamba dan diperdagangkan oleh orang lain demi mengaut keuntungan duniawi.

Kesemua perkara ini menzahirkan tentang sesetengah umat manusia yang tidak dapat merasai nikmat kemerdekaan seperti mana yang kita semua rasai di tanahair tercinta ini.

Kemerdekaan sebagaimana yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah kebebasan daripada penjajahan kuasa asing. Kerana itulah kita dapati saban tahun seluruh rakyat di negara ini meraikan sambutan hari kemerdekaan setiap kali menjelangnya tarikh 31 Ogos.

Persoalannya adakah memadai sekadar itu kemerdekaan yang dimaksudkan di dalam Islam? Jelasnya, Islam sebagai agama yang berasaskan ketauhidan, telah datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT. Justeru, kemerdekaan yang hakiki adalah apabila manusia hanya mengikut petunjuk dan menyerahkan jiwa sepenuhnya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 108 :

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang yang megikutku menyeru (manusia umumnya) kepada agama Allah dengan keterangan yang nyata. Maha Suci Allah (daripada sebarang sekutu) dan aku bukanlah daripada golongan yang musyrik (yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain)”.

MERDEKA !
MERDEKA !
MERDEKA !

Semoga kita dapat mencapai kemerdekaan yang sebenar dalam diri kita sebagai seorang hambaNya..insyaAllah..

#selamatHariKemerdekaan59
#sehatisejiwa
#tarbiyahMelahirkanPemimpin
#SIAS

 

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Gotong Royong As Syddiq Bersama CSR Etiqa

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah baru-baru ini sekolah Islam As Syddiq telah menerima kunjungan dari sepasukan petugas dari sebuah agensi korporat iaitu Etiqa Insurans & Takaful Berhad, salah sebuah ahli kumpulan Maybank.

Kunjungan mereka adalah untuk melengkapi misi khidmat masyarakat yang diselaraskan di semua peringkat daerah dan negeri bahkan diseluruh dunia menerusi program CSR (Corporate Social Responsbility)

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Zon Selatan Etiqa iaitu En Yunus bin So’od telah mula membanjiri perkarangan As Syddiq seawal jam 8.00 pagi lagi. Hujan renyai yang turun sedikit pun tidak menjadi halangan buat kami meneruskan program. Kami di As Syddiq turut diwakili oleh Ydp Haluan Prof Dr Abdul Hakim@Miswan bin Mohamed.

Seramai 35 orang pelajar dari kalangan pelajar sekolah menengah mengikuti program ini. Terima kasih kepada pihak penaja yang sudi memberikan goodie bag kepada pelajar yang terlibat. Program kerjasama yang julung kali diadakan ini ditaja sepenuhnya oleh Etiqa. Sumbangan yang diberikan telah diagihkan kepada beberapa bahagian dan kawasan. Kami dari pihak As Syddiq telah bersetuju untuk menggunakan sumbangan yang diberi untuk menceriakan kawasan persekitaran sekolah rendah & menengah, kantin dan asrama. Hampir 30 anak pokok buah-buahan ditanam di laluan asrama puteri dan kawasan sekitar padang sekolah. Dinding utama bangunan sekolah rendah dan menengah turut bertukar warna hasil sumbangan Etiqa. Kantin kami yang mula pudar warna catnya juga kini kembali ceria dengan tona warna yang sejuk mata memandang. Tidak ketinggalan asrama puteri dan putera yang turut berubah wajah di beberapa kawasan terpilih.

Wakil -wakil dari Etiqa turut sama -sama berganding bahu menyiapkan kawasan yang dicadangkan. Mereka turut sama dapat melihat budaya di sekolah kami yang makan diatas dulang secara berjemaah bukan secara individu.

Sebaik sahaja jam melangkau ke jam 12 tengahari, peserta -peserta program CSR berkumpul untuk sesi penutup. Bagi memeriahkan majlis, acara kuiz turut diadakan.Program yang dikendalikan oleh Cikgu Muhammad Raman turut menawarkan hadiah yang ditaja oleh Etiqa. 10 soalan berkisar tentang sejarah kemerdekaan menjadi pilihan. Pertandingan ini dibuka untuk semua pelajar, guru, staff dan tetamu yang hadir. Suasana begitu gamat sekali kerana masing-masing ingin mencuba.

Diakhir program, pihak Etiqa telah berbesar hati memberi cenderahati kepada pihak sekolah dan berjanji akan datang lagi ke As Syddiq untuk sama-sama memberikan sumbangan didalam membangunkan prasarana dan kebajikan anak-anak As Syddiq.

Suasana Gotong-Royong As Syddiq bersama Etiqa :

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Etiqa Insurans & Takaful Berhad. Sila layari

http://www.etiqa.com.my/Malay/Pages/default.aspx

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Binti Atan

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Jasamu Sentiasa Dihati

Jasamu Sentiasa Dihati

Suasana di As-Syddiq begitu hening sekali, kelihatan para pelajar lelaki mahupun perempuan berulang alik masuk ke bilik guru perempuan  Sekolah Islam As-Syddiq. Hujan yang turun sekejap-sekejap seolah-olah memahami kesedihan yang dirasai oleh mutiara-mutiara As-Syddiq. Pada hari Khamis yang lalu, 3 orang pendidik As-Syddiq bakal meninggalkan bumi wakaf As-Syddiq. Mereka pergi bukan kerana kecewa membawa hati tetapi mereka pergi untuk menjalankan amanah yang baru digalas.

Tiga orang guru yang terlibat ialah Cik Nur Asy’adah Bt Sujak, Cik Masdiaton Akma Bt Ariffin dan Nurhidayah Bt Samuri. Mereka bertiga telah pun diterima masuk ke sektor penjawat awam dan akan memulakan karier baru mereka di sekolah masing-masing bermula 15 Ogos 2016.

Seakan-akan tertulis hubungan mereka bertiga amat rapat sekali walaupun masing-masing berbeza usia namun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadikan medan mereka berkongsi cerita, apatah lagi saudari Nur Asy’adah dan saudari Masdiaton adalah junior dan senior ketika berada di Maahad Johor.

Menariknya mengenai guru-guru ini ialah hubungan guru dan murid yang diwujudkan oleh mereka untuk menarik minat anak-anak As-Syddiq ini untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu duniawi dan ukhrawi. Kami di As-Syddiq pasti akan merasai kehilangan saudari Nur Asy’adah atau lebih mesra disapa dengan Cikgu Asy yang begitu luas pengalamannya dan penguasaannya di dalam bahasa Arab. Begitu juga saudari Masdiaton Akma yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mas atau Cikgu Akma yang cukup sinonim dengan ketegasannya didalam mengajar subjek Matematik dan Geografi, disebalik ketegasan beliau itulah, dapat dilihat perubahan minat beberapa orang pelajar yang lemah penguasaannya. Turut tidak terkecuali saudari Nurhidayah yang lebih senang dipanggil Cikgu Dayah. Kelembutannya dan sifat penyayang yang ada didalam dirinya sering disebut-sebut oleh pelajar.

Bagi meraikan majlis perpisahan guru-guru ini, kami di As-Syiddiq telah menganjurkan sedikit jamuan bagi meraikan jasa-jasa guru & staf yang pernah berkhidmat di As-Syddiq sepanjang tahun 2016. Majlis yang diadakan bermula jam 4.30 petang ini telah turut dihadiri oleh wakil HALUAN Johor iaitu Dr Baharuddin Bin Suri, selain dari pihak pengurusan tertinggi Sekolah Islam As-Syddiq.

Didalam majlis ini juga kami turut meraikan salah seorang tenaga kerja yang tidak pernah lelah memberikan sumbangan khususnya di unit tarbiah. Beliau yang dimaksudkan ialah Tn Hj Khalik Bin Anuar. Pengorbanan dan jasa yang beliau taburkan sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas. Tn Hj Shamjuddin selaku orang yang rapat dengan beliau sempat menceritakan detik-detik manis ketika melamar Tn Hj Khalik untuk menyertai organisasi As-Syddiq. Sesungguhnya kami di As-Syddiq amat merasai kehilangan Tn Hj Khalik yang memohon persaraan diatas faktor kesihatan.

Dikesempatan ini juga kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka-mereka yang diraikan iaitu En Mohd Saifulzilizan B. Mohd Noh, Cik Anis Hazirah Bt Norhadi, En Muhammad B. Azis, En Muhammad Aziim Bin Zailani, En Muhammad Fateh Al-Mubaraq Bin Shamjuddin, En Muhammad Fathi Bin Azman,Pn Khairiah Bt Jarkasi, En Mahmud Husaini Bin Ismail  dan En Muhammad Hamdi Bin Abd Hamid diatas khidmat yang telah dicurahkan kepada anak didik dan juga pengurusan Sekolah Islam As-Syddiq.

SELAMAT BERPISAH DAN SELAMAT BERTUGAS DI TEMPAT BARU DARI KAMI WARGA AS-SYDDIQ.

HANYA TITISAN AIR MATA DAN IRINGAN DOA YANG MAMPU KAMI KIRIMKAN MOGA MENJADI NOSTALGIA INDAH KETIKA BERSAMA DI TERATAK KECIL BERNAMA AS-SYDDIQ.. SELAMAT BERTUGAS .

Gambar sekitar majlis :

 

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/