Tag Archives: kem kepimpinan

Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12

Pada cuti sekolah,penggal pertama tanggal 18 hingga 20 haribulan Mac,Kelab Remaja Haluan (KeARAH) telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12.

Bertemakan “Remaja Berfikrah Penggerak Ummah” yang bertempat di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput (U), Perak yang telah dihadiri seramai 218 orang dari seluruh Malaysia.

Program PeWARIS 12 ini dirasmikan oleh YDP HALUAN Perak. Kemudian program diteruskan dengan taklimat program dan heart setting daripada Kem Komanden iaitu Abang Talhah bin Hazni. Peserta dibahagikan di dalam kumpulan melalui aktiviti ‘Ice Breaking’ yang mana peserta diberi sekeping kertas yang tertulis beberapa nama-nama Allah (Asmaul Husna) kemudian,barisan fasilitator menutup mata para peserta menggunakan sehelai kain dan para peserta perlu mencari ahli kumpulan mereka.Aktiviti ini sangat menguji mental dan fizikal para peserta.

Program diteruskan dengan slot pertama yang bertajuk Bahtera Penyelamat. Slot ini disampaikan oleh Encik Rosdi bin Baharom belian merupakan pendakwah sepenuh masa.Beliau ada mengingatkan peserta bahawa berdakwah ini bukan kerja untuk kita dapat duit. Pada sebelah malam, selepas selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah program diteruskan dengan LDK dan perbentangan bagi slot pertama. Perbentangan pada malam tersebut dibentangkan dalam bentuk lakonan, yang mana pihak program mengasingkan peserta perempuan di Musollah manakala peserta lelaki di Dewan Utama. Selesai sahaja perbentangan peserta perempuan digerakkan ke Dewan Utama untuk mendengar taklimat KeARAH (Kelab Remaja HALUAN) yang disampaikan oleh Encik Muhammad Radhi bin Rahman  Taklimat ini mengenalkan para peserta apa itu KeARAH,sejarah,visi,misi dan motto KeARAH. Seterusnya , sebelum kem komanden melepaskan para peserta untuk berehat , mereka bersama-sama membaca surah Al Mulk dari awal hingga akhir.

An-Nasai meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda, sesiapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka Allah akan mencegahnya dari seksa kubur. (HR An-Nasai)

Pada hari kedua, seawal 4.30 pagi para peserta dikejut. Mereka menunaikan solat subuh secara berjemaah dan mendengar sedikit kuliah subuh. Kemudian,kem komanden mengarahkan para peserta berkumpul di tanah lapang berhampiran dengan Musollah dan mengadakan KULTUM ( Kuliah Tujuh Minit) sementara menunggu sarapan siap. Selepas para peserta bersantap, mereka dikumpulkan kembali di tempat mereka berkumpul tadi untuk sesi fotografi. Selesai sahaja sesi fotografi semua para peserta digerakkan ke Surau Kampung Sungai Durian,Sungai Siput dengan berjalan kaki untuk aktiviti Kembara PeWARIS dan aktiviti kemasyarakatan. Sampai sahaja di perkarangan surau, Allah izin hujan renyai-renyai tetapi program tetap diteruskan dengan sepatah dua kata dari Ketua Kampung. Selepas itu, peserta lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan membersihkan surau bahagian lelaki dan lagi satu kumpulan membersihkan dewan orang ramai Kampung Sungai Durian manakala peserta perempuan membersihkan stor surau dan bahagian solat perempuan.

Selesai sahaja menjalankan aktiviti pembersihan, para peserta dikehendaki untuk makan tengah hari dan mendengar sedikit ucapan penghargaan dari ketua kampung. Kem komanden membenarkan para peserta untuk qailullah dan berehat sebentar sementara menunggu masuk waktu solat zhohor. Setelah menunaikan solat zhohor,para peserta dikehendaki menziarahi beberapa buah rumah mengikut kumpulan dan memberi sedikit buah tangan. Kemudian,para peserta berjalan pulang balik ke kem. Program diteruskan lagi pada sebelah malam,selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah program disambung dengan slot kedua yang berjudul Pembentukan dan Kesedaran Islam. Slot kedua ini disampaikan oleh Setiausaha Haluan Perak, Encik Ahmad Salleh. Disini beliau menerangkan beberapa syarat kepimpinan. Kemudian,program diteruskan dengan LDK untuk slot kedua,seusai para peserta menunaikan solat isyak secara berjemaah.

Pada hari terakhir program, selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah dan sedikit pengisian hati dengan tajuk Ciri-ciri Penghayatan Islam para peserta digerakkan menuju ke sungai yag berhampiran dengan kem tersebut. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki dahulu untuk masuk kedalam sungai dan diikuti dengan peserta perempuan dengan kedinginan di pagi hari di tambah dengan kesejukan air sungai. Sejuknya, MashaAllah. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki untuk berganjak ke tempat jauh sedikit agar ada jurang antara lelaki dan perempuan. Peserta lelaki dikehendaki untuk menyanyikan lagu Asmaul Husna dan sedikit aktiviti (maaf tidak diketahui) manakala peserta perempuan dikehendaki untuk membaca Al Mathurat dan melakukan aktiviti yang dapat mengeratkan ukhwah sesama mereka.

Habis sahaja aktiviti tersebut para peserta dikehendaki untuk memasak sarapan mereka sendiri walaupun dalam keadaan basah aktiviti ini dinamakan Chef de PeWARIS. Selesai sahaja aktiviti tersebut makanan kami diuji oleh para juri yang berkepimpinan. Selesai kami menjamu selera, kami diberi arahan untuk mempersiapkan diri dan mengemas dorm. Tepat jam 11.00 pagi para peserta telah berkumpul di Dewan Utama untuk majlis penutupan.

Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program PeWARIS.

Sekitar Perkhemahan :

 

Syazwani Binti Samsudin

Pelajar Sekolah Islam As Syddiq

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

KEM KEPIMPINAN PENGAWAS SEKOLAH,PENGAWAS PUSAT SUMBER & PENGAWAS SERTA AJK ASRAMA SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ 2017

Hadis Rasulullah s.a.w mafhumnya “Setiap  di kalangan kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin. Memetik hadis Rasulullah s.a.w ,Alhamdulillah pada 20 Januari 2017 pada hari Jumaat yang penuh barakah telah diadakan program Kem Kepimpinan  Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber dan Pengawas serta AJK Asrama Sekolah Menengah Islam As Syddiq bagi sesi 2017.

Tujuan kem kepimpinan ini diadakan adalah bagi memberi kefahaman kepada kepimpinan pelajar dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan di samping menyedarkan mereka bahawa tugas sebagai seorang pemimpin ini adalah satu tugas yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Kem kepimpinan ini telah dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Mudir Sekolah Menengah Islam As Syddiq iaitu Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Kem diteruskan dengan sesi Ice Breaking yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Hazami bin Mohd Taib dan Ustazah Fathymah binti Badruzzaman.

Selepas berehat, kem disambung dengan Slot 1 yang bertajuk Akhlak dan Senario Pelajar Terkini. Slot ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail. Dalam slot tersebut, para pemimpin pelajar dibawa mengenali bagaimana akhlak dan senario pelajar terkini dan bagaimana cara untuk berhadapan dengan cabaran tersebut agar setiap tindakan yang diambil merupakan tindakan yang berhemah dan berhikmah.Selepas selesai slot pertama, kesemua para pimpinan pelajar duduk di dalam kumpulan masing-masing bagi membincangkan tentang projek yang ingin mereka laksanakan bagi tahun 2017. Melalui perbincangan ini ianya dapat mencungkil idea dan pandangan para pimpinan pelajar dalam melaksanakan aktiviti yang sesuai kepada anak-anak buah mereka.

Pada sebelah petang pula GPK HEM iaitu Puan Noor Rahizah binti Abdul Rahman telah menyampaikan slot yang bertajuk Tanggungjawab dan Kepimpinan.Diharapkan melalui slot yang disampaikan ini, semua kepimpinan pelajar Sekolah Menengah Islam As Syddiq  menyedari tentang tugas dan amanah yang telah diberikan dan seterusnya dapat menjadi role model kepada rakan-rakan yang lain.Selesai slot tersebut, pelajar berkumpul mengikut jawatan dan bidang tugas masing-masing untuk sesi penerangan bidang tugas  yang disampaikan oleh guru penasihat setiap pengawas. Kem Kepimpinan ini berakhir dengan Majlis Penutup Kem yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail. Kem bersurai pada jam 6.30 petang. Semoga kem ini dapat memberikan semangat dan dorongan kepada semua kepimpinan pelajar Sekolah Menengah Islam As Syddiq untuk meneruskan  amanah yang dipikul. Ibarat kata pepatah “ Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing”.

Suasana sekitar kem kepimpinan :

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA