Tag Archives: Majlis Graduasi

Temubual Santai Pelajar Cemerlang SPM

Assalamualaikum pembuka bicara kalimah. . .

Alhamdulillah tanda syukur kami kepadaNya. Berakhirlah sudah Majlis Graduasi dan Hari Anugerah Cemerlang untuk sesi 2016. Tahniah buat semua anak-anak as Syddiq. Kalian semua telah BERJAYA melepasi satu fasa yang mana kami para guru, abang & kakak bahkan ibubapa kamu pernah melaluinya.

Apabila cikgu Zurin diminta untuk menulis ruangan di alam maya ini ia bagaikan sireh pulang ke gagang. Mengenali mereka dari status guru sementara menggantikan Madam Wan yang cuti bersalin kemudian bertukar kepada guru tetap mengajar Bahasa Inggeris sehinggalah dilantik menjadi guru tingkatan pada tahun berikutnya.

Mengenali mereka ibarat seorang pelukis yang setia dengan berus dan warnanya. Sebagai pelukis kita yang melakar apa yang diinginkan. Kadangkala menjadi kadangkala sebaliknya. Tetapi kami tetap setia bersama.

Cikgu Zurin tertarik untuk berkongsi sebaris kata yang diterima dari medium whatsapp.

Tahniah pelajar-pelajarku..anda semua telah berjaya walaupun ada yang memandang sinis akan kelemahanmu. Di sisi Allah, banyak kejayaan yg telah kamu sama-sama raih.

Dalam 50 yg dibuat mungkin hanya 1 saja salahnya. Masih ada lagi 49 lagi yg berjaya.
Dalam 100 yang kita buat mungkin ada 10 yg gagal. Masih ada 90 lagi yang dah berjaya.

1 Rahmat Allah dikurniakan semasa di dunia.
99 tersimpan di akhirat.
Jangan putus asa dengan Rahmat Allah.
*Allah bersama mu.*

Di kesempatan yang singkat ini Cikgu Zurin sempat menemubual calon terbaik SPM 2016 dari As Syddiq iaitu Muhammad Taqiuddin Bin Shamjuddin. Kejayaannya memperoleh 9A diharapkan menjadi pengerak semangat kepada calon SPM 2017.

Cikgu Zurin sudah lama mengenali pelajar yang lebih mesra dipanggil Taqi ini. Seingat cikgu ketika dia masih di sekolah rendah lagi. Remaja yang amat murah dengan senyuman.

Bila ditanya apa perasaan pertama kali melihat keputusan SPM. Jawabnya perlahan dan penuh rendah diri. Saya sangat terkejut dan teruja .. Saya tidak menjangkakan akan memperoleh keputusan sebegitu rupa.. Hanya syukur kehadrat illahi saya panjatkan..

Perbualan kami dipanjangkan lagi dengan persoalan apakah persiapan yang dilakukan untuk menghadapi SPM. Menurut Taqiuddin semestinya ialah dengan banyak membaca buku ilmiah disamping membaca al-quran dan berdoa. Tidak lupa juga memperbanyakkan latihan kpd subjek-subjek yang lemah. Selain dari penting juga untuk kita mengulangkaji pelajaran dengan kawan untuk menguatkan pemahaman.

Anak muda ini turut berkongsi tip yang sesuai digunapakai dalam konsep pembelajaran dan pengajaran.

* Kalau yakin subjek tu boleh mengulangkaji seorang teruskan . kalau tidak, perlulah mencari kawan untuk mengulangkaji bersama-sama

* Fokuskan kepada subjek yang lemah dan tidak lupa kepada yang dah ok.. (perbanyakkan latihan)

* Kalau boleh. usahakan untuk mengajar kawan-kawan kerana output lagi berkesan berbanding input.

Tip – tip tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja, Taqiuddin turut menasihatkan kepada bakal calon-calon spm yang akan datang agar Berusahalah dan yakinlah kepada pertolongan Allah .. Jangan jadikan kegagalan itu satu batu penghalang kepada usaha kamu. Tapi jadikan lah kegagalan yang kamu alami itu sebagai satu batu loncatan kepada semangat untuk berjaya.Bukan hanya untuk SPM tapi untuk ujian yang akan datang juga .

Menerusi sesi temubual yang separa formal dan singkat ini Cikgu Zurin dapat merumuskan beberapa perkara.

* setinggi mana kita menuntut ilmu jangan pernah lupa akan Al -Quran.

* sentiasa bantu membantu dan kukuhkan ukhwah & mahabbah.
*Redha dan tawakkal serta yakinlah dengan janji Allah.

Semoga kejayaan saudara Muhammad Taqiuddin menjadi inspirasi kepada semua.

Kepada yang lain-lain, tahniah juga diucapkan. Perjalanmu masih panjang. Jika iman masih terpahat dan ilmu masih dicari.InsyaAllah akan ada jalan penerusannya.

 

Zurin Zurina Binti Atan

Mantan Penulis As Syddiq

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Advertisements

Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan SIAS

Bismillahirahmanirahim. . .

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana pada tahun ini,pihak sekolah telah berjaya menganjurkan Majlis Graduasi dan Hari Anugerah Kecemerlangan bagi meraikan kejayaan anak-anak di Sekolah Islam As Syddiq dan kejayaan pelajar-pelajar lepasan SPM generasi pertama sekolah ini disepanjang tahun 2015.

Seawal jam 7.30 pagi lagi, ibubapa mula membanjiri persekitaran sekolah untuk meraikan kejayaan anak masing-masing. Majlis Graduasi dan Hari Anugerah Kecemerlangan ini melibatkan hampir 145 orang pelajar yang terdiri daripada 62 orang pelajar sekolah rendah dan 83 orang pelajar sekolah menengah. Seramai 14 dari 20 orang pelajar lepasan SPM generasi pertama hadir untuk sesi bergraduasi pada hari berbahagia ini. Tidak dilupakan juga buat pelajar-pelajar yang memperolehi anugerah kecemerlangan disepanjang tahun 2015 sama ada diperingkat rendah mahupun menengah. Seramai 4 orang pelajar telah mendapat  Anugerah Cemerlang UPSR diperingkat rendah, manakala di peringkat menengah pula seramai 10 orang pelajar telah mendapat Anugerah Cemerlang PT3 dan 7 orang pelajar telah mendapat Anugerah Cemerlang SPM.

Antara anugerah-anugerah lain yang telah disampaikan pada hari tersebut diperingkat rendah ialah Kedatangan Penuh tahun 1 hingga 5, Terbaik Kelas tahun 1 hingga 5, Peningkatan Akedemik tahun 1 hingga 5, Sahsiah Terpuji tahun 1 hingga 5 dan Hafazan Terbaik tahun 1 hingga 5.

Anugerah lain yang turut disampaikan pada hari tersebut di peringkat menengah pula ialah Anugerah Cemerlang SMRA, Anugerah Cemerlang SMA, Anugerah Penerusan Pengajian Di As Syddiq (Dari SRIAS – SMIAS), Anugerah Pencapaian Terbaik PBS tingkatan 1 hingga 2, Anugerah Pencapaian Terbaik Akademik tingkatan 4, Anugerah Cemerlang Deeniyah tingkatan 1 hingga, Anugerah Hafazan Terbaik Lelaki, Anugerah Hafazan Terbaik Perempuan, Anugerah Peningkatan Akademik tingkatan 1 hingga 4, Anugerah Pelajar Harapan tingkatan 1 hingga 4 dan Anugerah Sahsiah Terpuji tingkatan 1 hingga 4.

Anugerah khas kepada pelajar lepasan SPM generasi pertama juga turut disampaikan sewaktu majlis tersebut, Anugerah Haluanita disandang oleh saudari Maryam Jameelah Binti Hassan, Anugerah Sahsiah Terpuji disandang oleh saudara Ahmad Usamah Bin Mohd Izra’ai dan Anugerah Terbaik Akedemik disandang oleh saudara Muhammad Fatih Al-Mubaraq Bin Shamjuddin.

Majlis yang berbahagia turut diserikan dengan kehadiran Dr. Abdullah Sudin bin Ab Rahman selaku Presiden HALUAN Malaysia dan isteri Dr Zurina Bt Muda serta  Prof. Dr. Abdul Hakim@Miswan Bin Mohammed selaku Pengelola Sekolah Islam As Syddiq dan Dekan Fakulti Geoinformasi Dan Harta Tanah UTM. Majlis ini telah disempurnakan oleh Dr. Abdullah Sudin bin Ab Rahman diiringi oleh Tuan Haji Shamjuddin bin Romani selaku pengetua Sekolah Menengah Islam As Syddiq dan Tn Hj Mohd Yusof bin Kaslan selaku Guru Besar Sekolah Rendah Islam As Syddiq.

Di samping itu juga, para ibu bapa dan hadirin telah dihidangkan dengan persembahan nasyid yang istimewa oleh pelajar-pelajar Sekolah Islam As Syddiq. Nanyian dan alunan muzik nasyid berkumpulan ini telah membawa tiga buah lagu nasyid yang sangat mengasyikkan.

Semoga dengan kelangsungan majlis-majlis seperti ini di Sekolah Islam As Syddiq ia dapat menambahkan semangat dan minat anak-anak didik untuk terus mencipta kejayaan dan kecemerlangan pada masa yang akan datang. Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang hadir memeriahkan suasana majlis dan pihak yang bertungkus lumus dalam menjayakan majlis yang diadakan saban tahun di Sekolah Islam As Syddiq. Penghargaan yang tidak terhingga juga buat pihak-pihak yang telah sudi memberi sumbangan dan bantuan dari segala aspek dalam menjayakan majlis ini.

———————–

Team Media As Syddiq

———————–

IMG_0128.JPG

Para Graduasi bersama Ustaz Nizam, Syeikh Maher, Pengetua sekolah, Encik Khalid dan Cikgu Raman ( dari kiri )

IMG_0149.JPG

Para Graduasi lelaki bersama Cikgu Nusaibah, Cikgu Supini, Isteri Cikgu Izraie, Cikgu Izraie dan Doktor Ahmad Azhar ( dari kiri )

Suasana di Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan