Tag Archives: Melahirkan Pemimpin

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL MENENGAH RENDAH AGAMA & SIJIL MENENGAH AGAMA  SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ 2016

Alhamdulillah…

Penantian guru-guru dan pelajar- pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama dan Sijil Menengah Agama 2016 akhirnya terjawab kerana pada hari Ahad 15 Januari 2017 telah diumumkan keputusan bagi kedua-dua peperiksaan tersebut.

Di kesempatan ini pihak warga Sekolah Menengah Islam As Syddiq mengucapkan tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama ( SMRA) 2016 dan Sijil Menengah Agama ( SMA ) 2016. Berbekalkan usaha, doa dan tawakal selain usaha gigih dari guru-guru, para pelajar akhirnya mendapat keputusan yang membanggakan bagi peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama 2016 dengan peratus kelulusan 100% lulus. Manakala bagi peperiksaan Sijil Menengah Agama 2016 peratus kelulusan agak menurun sedikit dengan peratus kelulusan 50% lulus.

Bagi keputusan peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama 2016 seramai tiga orang pelajar mendapat keputusan Mumtaz iaitu saudara Muhammad Nasif bin Ahmad Khusairi, saudari Nur Shodrina Wadihah binti Abu Bakar dan saudari Nur Maryam binti Hazizan.

Bagi keputusan  peperiksaan Sijil Menengah Agama 2016 seramai 4 orang pelajar mendapat keputusan Jayid Jiddan iaitu saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi mewakili pelajar putera dan bagi pelajar puteri diwakili saudari Siti Balkis binti Amalludin, saudari Siti Maryam binti Mahmad dan saudara Waie Sajidah Saadah binti Zihan. Mabruk penulis ucapkan atas kejayaan anda semua.

Semoga kejayaan anda menjadi inspirasi kepada rakan – rakan yang lain untuk lebih tekun dan fokus dalam pembelajaran. Antara kunci kejayaan pelajar – pelajar ini adalah sentiasa fokus ketika guru mengajar dan saling bertanya sekiranya ada sesuatu yang tidak difahami dalam pembelajaran.

Selain usaha dan tawakal, pergantungan kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan menyedarkan diri kita bahawa kita adalah insan yang sentiasa memerlukan pertolonganNya. Akhir kalam, semoga kecemerlangan dalam bidang akademik ini menjadi pemangkin kepada mereka  untuk turut cemerlang dari segi sahsiah dan rohani. Sekian…

Jom kita saksikan wajah-wajah kejayaan pelajar-pelajar ini…

 

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq

——————————-

https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

Taklimat kepada mas’ul-mas’ul halaqah pelajar Sekolah Islam as Syddiq

Tarbiyah bukan segala-galanya tapi segala-galanya bermula dari tarbiyah.Ungkapan ini sering kedengaran bagi siapa yang duduk di dalam naungan tarbiyah. Alhamdulillah pada hari Isnin bersamaan 9 Januari 2017 , Unit Tarbiyah Sekolah Islam As Syddiq telah mengadakan program taklimat kepada mas’ul-mas’ul halaqah pelajar Sekolah Islam as Syddiq. Diharapkan dengan taklimat yang disampaikan dapat menggerakkan momentum-momentum setiap mas’ul halaqah untuk lebih bersemangat dalam mendidik dan meyampaikan rantai rantai ilmu kehidupan kepada setiap pelajar.

Kecemerlangan akademik seseorang pelajar bukan hanya dilihat dari sudut akademiknya sahaja, tapi meliputi aspek rohani dan sahsiah mereka. Semoga dengan kehadiran murabbi dalam halaqah pelajar ini dapat menyentuh hati insan-insan yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Murabbi ibarat seorang pendidik yang bukan hanya menyampaikan ilmu sahaja tapi dapat mengusik hati dan jiwa mutarrabinya untuk sentiasa mengingati Allah dalam aspek kehidupan mereka. Seperti mana Firman Allah dalam surat az Zariyat ayat 56 : Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadat kepadaKu.

Proses pembelajaran bagi seorang pelajar bukan setakat di dalam kelas sahaja tetapi melalui halaqah yang telah dirancang oleh Unit Tarbiyah sekolah ini, diharapkan pelajar dapat mengutip mutiara-mutiara ilmu untuk diamalkan dalam kehidupan mereka. Akhir kalam diharapkan kepada semua murabbi agar dapat menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk mendidik insan-insan kerdil dalam menempuh onak dan duri dalam kehidupan mereka.

Suasana taklimat :

 

LAPORAN :

MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Rahsia Kecemerlangan 11A Dalam PT3

Permata As Syddiq Terus Bersinar

Setiap kejayaan umpama sebuah pintu dan setiap pintu pasti ada kuncinya. Kunci bagi membuka pintu kejayaan ialah solat, kerana ia merupakan perkara pertama yang akan dihitung di akhirat.

Debaran yang mula dirasakan oleh pelajar hari ini bakal terhenti, kesemua calon PT3 di seluruh Malaysia bakal menyaksikan keputusan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) bagi sesi 2016. Sejak minggu lepas lagi unit Peperiksaan yang diketuai oleh Pn Nusaibah kelihatan sibuk membuat persiapan menjelang pengumuman rasmi hari ini. Pada tahun 2016 seramai 37 orang calon menduduki PT3 dengan nisbah 17 orang pelajar perempuan dan 20 orang pelajar lelaki.

Alhamdulillah dengan izin Allah jua, pada tahun ini  Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah berjaya melakar  kejayaan yang begitu membanggakan. Majlis penyerahan slip keputusan turut disertai Yang Dipertua Ahli Lembaga Pengelola (ALP) Sekolah  Dr Abd Hakim@ Miswan Bin Mohamed yang sudi meluangkan masa meraikan kejayaan anak-anak As Syddiq. Seramai 2 orang calon permata hati As Syddiq memperoleh 11A bagi semua kertas peperiksaan yang diambil. Manakala bagi pelajar yang lain mereka memperoleh sekurang-kurangnya 1A bagi semua subjek yang telah diambil. Syabas dan tahniah diucapkan kepada saudari Siti Radiah Bt Roslan dan Nur Fathiha Arfa Bt Azis.

Menyorot kembali perjalanan pelajar-pelajar ini, sudah pasti guru-guru PT3 adalah kelompok yang paling sibuk. Seawal bulan Januari lagi, Pengetua bersama GPK akademik telah mula menyusun jadual kelas tambahan kepada semua pelajar. Guru-guru yang mengajar subjek PT3 telah diminta untuk menyediakan bahan-bahan untuk membantu perkembangan pelajar selain dari bantuan dan nasihat secara tidak formal dari sahabat-sahabat guru dari Kementerian Pelajaran Malaysia.

Penulis sempat mengambil peluang menemuramah ibubapa bagi 2 calon yang berjaya melonjakkan nama As-Syddiq di kalangan sekolah-sekolah Menengah sekitar Kluang. Menurut kata bapa kepada Siti Radiah, beliau tidak mempunyai resepi tertentu untuk mendidik kejayaan cemerlang anak-anak, apa yang selalu ditekankan ialah perjalanan hidup kita jangan hanya dipandang kepada matlamat yang berada dihadapan tetapi lihatlah kepada cabaran yang harus ditempuh. Penulis tertarik untuk merungkai apa yang cuba disampaikan oleh En Roslan berhubung kata-kata beliau, tambahnya lagi kita selalu melihat matlamat itu sebagai tunjang utama untuk mencapai kejayaan tetapi kita terlupa cabaran yang harus kita lalui kerana menurutnya cabaran itu adalah sesuatu yang harus dipandang dari sudut positif.

Mereka yang berjaya adalah mereka yang sentiasa positif didalam hidup, singkirkan anasir negatif, sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran, jangan mudah berputus asa jika doa kita masih belum dikabulkan. Menurut ibu kepada Siti Radiah, bapanya lebih banyak memainkan peranan didalam memberi nasihat dan dorongan kepada anak sulungnya itu, setiap permasalahan harus dikongsi bersama dan ibubapa berperanan untuk meneutralkan keadaan. Radiah yang bercita-cita untuk membina kerjaya sebagai seorang doktor pakar sakit puan sangat disenangi oleh semua guru kerana akhlak yang ditampilkan disamping menjadi perujuk kepada sahabat-sahabatnya ketika di asrama.

Sebelum mengakhiri sesi temubual bersama salah seorang calon terbaik SMIAS ini, ayahnya sempat mengungkapkan kata-kata yang mungkin boleh dijadikan pedoman kepada pembaca yang lain, menurutnya kita hendaklah menjadi seperti intan dan permata, walau dimana jua kita dicampakkan kita akan terus bersinar, jadilah seseeorang yang mampu menyumbang dan mencipta penyumbang. Sebarkanlah ilmu seluas mungkin kerana ilmu itu wajib disampaikan walau hanya sekadar sepotong ayat.

IMG_3031.JPG

( Cikgu Zurin Zurina bersama keluarga Siti Radiah Bt Roslan )

Seterusnya, mari kita dekati seorang lagi calon cemerlang PT3 SMIAS, saudari Nur Fathiha Arfa Bt Azis yang lebih mesra dipanggil Arfa dikalangan guru-guru dan sahabat-sahabatnya. Penulis antara orang yang terawal mengenali beliau kerana ketika beliau ingin memasuki sekolah ini pada tahun 2015, penulis yang menemubual beliau untuk melihat tahap penguasaan beliau didalam Bahasa Melayu & Inggeris.

Pada pandangan pertama penulis, beliau dilihat sebagai seorang yang sangat berdikari dan matang, kehadirannya disekolah ini adalah rentetan dari pertemuan bapanya dengan sahabatnya yang anaknya turut bersekolah disini. Kepercayaan seorang bapa untuk menghantar anak yang memperoleh keputusan cemerlang didalam UPSR ini sememangnya adalah keputusan yang tepat. Penulis sebenarnya amat kagum dengan usaha yang beliau tonjolkan. Memasuki sekolah aliran agama dengan hanya berbekalkan pengetahuan yang mungkin tiada asas langsung didalam Bahasa Arab, kemudian mencabar dirinya sendiri untuk menduduki peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) pada tahun yang sama sememangnya memerlukan pengorbanan yang besar. Alhamdulillah beliau berjaya melakukannya walaupun tidak memperoleh kejayaan yang cemerlang.

Tetapi beliau tidak mudah berputus asa, berkat usaha beliau dan dengan pertolongan Allah jua, beliau berjaya memperoleh A bagi subjek Bahasa Arab. Sesungguhnya ini adalah pencapaian yang paling manis buat gadis manis yang berasal dari Johor ini. Menurut ibunya, Arfa jika dirumah lebih suka duduk menyendiri atau melayan adik-adiknya bermain, tambahnya lagi Arfa bukan jenis anak yang suka menghabiskan masa 24 dengan membaca, tetapi anak ini menurutnya amat gemar membaca novel melayu dan inggeris sejak dari sekolah rendah lagi, ini dapat dilihat menerusi penguasaan kosa kata dan pengetahuannya didalam aspek bahasa.

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang ini amat komited untuk meneruskan pengajian di As Syddiq dan meneruskan legasi kecemerlangan warga As Syddiq. Beliau dilihat tidak menjadikan kekurangan yang ada di As Syddiq sebagai salah satu faktor kegagalan tetapi beliau sentiasa yakin kebergantungan kita kepada Allah SWT, sentiasa mendengar dan menghormati ibubapa dan guru, mengekalkan silaturrahim antara sahabat dan jangan pernah mengalah dengan usaha yang dilakukan adalah resepi sesebuah kejayaan.

IMG_3079.JPG

( Cikgu Zurin Zurina bersama Nur Fathiha Arfa Bt Azis dan ibunya )

Berikut senarai nama pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan 5A keatas.

Keputusan 11 A

  1. Siti Radiah Bt Roslan
  2. Nurfathiha Arfa Bt Azis

Keputusan 10A

  1. Izzi Hainura Mohd Hailmi

Keputusan 8A

  1. Syazwani Bt Samsudin

Keputusan 6A

  1. Haziq Bin Rahmat
  2. Nur Afiqah Bt Amizan
  3. Nurhanani Bt Abd Razak

Keputusan 5A

  1. Muhammad Ismail Bin Zamri
  2. Muhd Nur Nafis Bin Ramlan
  3. Usamah Bin Khairuddin
  4. Nur Adibah Bt Zulkifli
  5. Nurul Syazwanie Bt Mohd Khalid

Kepada yang tidak berjaya memperoleh kejayaan cemerlang, jangan mudah berputus asa kerana ini adalah permulaan, perjalanan kita masih jauh.

( Pelajar Cemerlang PT3 Tahun 2016 yang mendapat 11A bersama keluarga dan guru-guru )

( Gambar suasana mengambil keputusan PT3 )

 

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Binti Atan

——————————-
 
Team Media As Syddiq
 
——————————-
 

JoM Puasa Hari Arafah

Puasa Arafah merupakan salah satu puasa yang sangat dianjurkan didalam Islam. Hukumnya ialah sunnah muakkad. Sunnah yang sangat dianjurkan.

Puasa Arafah dilaksanakan pada tanggal 9 Dzulhijjah iaitu pada 11 September 2016 | ahad pada tahun ini, sehari sebelum Aidil Adha. Pada saat jemaah haji melakukan wukuf di Arafah, kaum muslimin yang tidak menunaikan haji disunnahkan untuk melakukan puasa Arafah.

Puasa Arafah memiliki keutamaan yang luar biasa, lebih besar berbanding puasa Asyura. Jika puasa asyura dapat menghapus dosa setahun sebelumnya, keutamaan puasa Arafah dapat menghapuskan dosa selama dua tahun; iaitu satu tahun sebelumnya dan satu tahun sesudahnya.

سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ فَقَالَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Rasulullah ditanya tentang puasa hari Arafah, baginda menjawab, “Puasa itu menghapus dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun berikutnya” (HR. Muslim)

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : قَالَ لَهُ رَجُلٌ أَرَأَيْتَ صِيَامَ عَرَفَةَ ؟ قَالَ : أَحْتَسِبُ عِنْدَ اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Dari Abi Qatadah, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, seorang lelaki bertanya kepada baginda, “Bagaimanakah puasa arafah?” Baginda menjawab, “Ia dicatat di sisi Allah dapat menghapus dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya” (HR. Ahmad)

Masya Allah… demikianlah keutamaan besar puasa Arafah. Semoga dengan sedikit penulisan ini dapat memotivasikan untuk mengerjakannya dan diberikan kepada kita kemudahan oleh Allah untuk menunaikannya serta mendapat keredhaNya.

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Dialog Prestasi PT3 dan SPM 2016

3 September 2016,

Bilik Gerakan, Sekolah Menengah Islam As Syddiq

 

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Dato’ Usman Awang,1979

 

Assalamualaikum wbt kepada semua pembaca setia blog Sekolah Islam As Syddiq. Menyelami kata-kata pujangga dari Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang atau nama penanya Tongkat Warrant, peranan guru amat besar maknanya didalam melahirkan generasi bijak pandai di masa hadapan.

Alhamdulillah, hari ini kami di As Syddiq telah dikunjungi oleh mantan Pengetua dari SMK Kulim Kedah iaitu yang berbahagia Tn Hj Asri Bin Abdul Hamid. Beliau dijemput oleh pihak sekolah untuk sama-sama berkongsi pandangan dan pengalaman sepanjang tempoh beliau menjadi pendidik selama hampir lebih 3 dekad.

Program hari ini telah dipengerusikan oleh En Muhammad Raman Bin Md Sharif dengan kehadiran seramai 19 orang guru yang terdiri dari kalangan guru-guru Sekolah Menengah. Penulis begitu tertarik dengan ungkapan yang digunapakai oleh Tn Hj Asri, beliau mengatakan “kualiti guru merupakan penentu utama prestasi pelajar”. Beliau membuat analogi semua pelajar mempunyai potensi yang sama untuk mendapat ilmu tetapi potensi seseorang pelajar boleh berubah jika digabung jalin dengan potensi seseorang itu mengajar. Mengikut kajian yang telah dilakukan, seorang murid yang sederhana jika dididik dengan seorang guru yang berprestasi tinggi, pelajar ini akan lebih cenderung untuk berjaya berbanding pelajar sederhana yang dididik oleh seorang guru berprestasi rendah.

Kualiti seorang guru bukan hanya bersandarkan kepada scroll ijazah atau diploma yang dimiliki tetapi lebih kepada kemahuan seseorang pendidik didalam mendalami ilmu yang ingin diajar. Umum mengetahui guru-guru di As Syddiq bukan datang dari guru –guru yang berlatar belakangkan pendidikan tetapi kami di As Syddiq sentiasa mencari peluang dan ruang untuk meningkatkan tahap kemahiran mengajar melalui kursus-kursus atau bengkel yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah, selain dari kursus-kursus dalaman yang dianjurkan oleh Kelab Guru Haluan (KGH).

Bagaimana untuk melahirkan seorang guru yang berkualiti? Tn Hj Asri menjelaskan guru yang hebat adalah guru yang mampu mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada pelajarnya. Ini dapat dilihat dari respon yang diberi oleh pelajar ketika sesi soal jawab, buku latihannya dan adab mereka ketika guru sedang mengajar. Kami guru-guru di As Syddiq sememangnya ingin melahirkan kualiti murid yang mempunyai modal insan yang seimbang dan holistik. Oleh yang demikian pelajar yang mempunyai pengetahuan berasaskan keperluan dapat dijana.

Beliau turut menambah, terdapat beberapa kriteria yang perlu ada bagi seorang guru. Pertama dari sudut akidah dan akhlak, sebagai pendidik, kita telah diamanahkan untuk mengajar, bukan hanya setakat mengajar semata tetapi bagaimana kita mampu untuk membawa masej Islam didalam proses PnP dan merasakan pengawasan Allah didalam segala tindak tanduk kita sama ada secara individu atau berjemaah. Selain itu guru yang baik adalah guru yang belajar dan mengajar Al-Quran sekaligus merasakan ‘izzah’ didalam mendalami ilmu yang diajar.

Kedua kita harus bersikap professional didalam menjalankan tugas dan amanah. Guru harus bijak menyeimbangkan antara waktu kerja dan waktu peribadi. Faktor seterusnya ialah fizikal. Bagaimana badan yang sihat dapat melahirkan otak yang cerdas.

Seterusnya kami mengadakan sesi diskusi berkenaan jangkaan dan prestasi pelajar yang bakal menduduki SPM dan PT3, perbincangan lebih terarah kepada bagaimana sasaran yang ingin dicapai mestilah melebihi atau sama dengan sasaran terbaik yang pernah dicapai.Guru setiap mata pelajaran sewajarnya sudah maklum akan prestasi pelajar dan langkah pecutan harus diambil bagi mencapai sasaran yang diinginkan.

Berikut penulis kongsikan teknik-teknik yang boleh digunapakai untuk memastikan kejayaan pelajar boleh diperoleh.

  1. Peranan guru
  • Apa pelan tindakan guru? Senaraikan mengikut keutamaan
  • Wujudkan “demam peperiksaan” didalam kelas, ini bagi melatih pelajar untuk lebih serius ketika menjawab
  • Cuba ubah aktiviti khususnya ketika PnP, cari apa yang pelajar suka lakukan
  • Pegang “hati” pelajar, setiap pelajar ada hak untuk menerima pengajaran yang sama dari guru, jangan wujudkan ‘pilih kasih’. Guru yang baik adalah guru yang dapat dirasakan perhatiannya oleh pelajar
  • Jangan pernah berputus asa

 

  1. Peranan pelajar
  • Pelajar harus ada sasaran yang ingin dicapai
  • Berusaha untuk merebut peluang yang ada
  • Perbezaan potensi jangan dijadikan alasan
  • Never give up dan terus mengekalkan hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia.

 

  1. Bahan yang digunakan
  • Lakukan latih tubi melalui dapatan soalan percubaan peringkat negeri, melalui cara ini analisis dapat dilakukan berhubung soalan sebenar yang bakal keluar.
  • Kuasai bahagian-bahagian yang boleh membantu pelajar untuk mendapatkan markah dan mengurangkan kesalahan yang tidak sepatutnya.
  • Beri pelajar contoh – contoh jawapan yang baik.

 

Sebagai penutup, Tn Hj Asri telah berkongsi kaedah PILL (Perancangan Intervensi Lima Langkah)

  • Mengenal pasti kelas / murid sasaran
  • Memahami punca masalah
  • Menyenaraikan cadangan intervensi
  • Melakukan prioriti intervensi
  • Menyediakan plan tindakan

 

Semoga apa yang telah dikongsikan memberi manfaat kepada semua guru, sekalung terima kasih diucapkan kepada Tn Hj Asri kerana sudi meluangkan masa  dan tenaga bersama kami di As Syddiq. Sebelum berpisah terimalah serangkap pantun dari kami.

Bersarang lebah dipohon palas

burung kelicap di pohon selasih

Pengetahuan bertambah penerangan jelas

kami mengucapkan terima kasih.

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Bt Atan

Gambar sekitar bengkel :

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Salam Kemerdekaan Ke-59

Kemerdekaan adalah merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat manusia di atas muka bumi-Nya ini. Namun begitu, nikmat kemerdekaan ini bukanlah dapat dirasai sepenuhnya oleh semua golongan manusia. Justeru kita dapat melihat bagaimana sesetengah negara dijajah oleh kuasa asing seperti mana yang berlaku di negara Palestin.

Kita juga dapat melihat bagaimana sesetengah kelompok manusia dihalau dan diusir daripada tanahair mereka sendiri seperti mana yang berlaku kepada umat Islam Rohingya. Bahkan kita juga dapat melihat bagaimana sesetengah manusia pada hari ini dijadikan sebagai hamba dan diperdagangkan oleh orang lain demi mengaut keuntungan duniawi.

Kesemua perkara ini menzahirkan tentang sesetengah umat manusia yang tidak dapat merasai nikmat kemerdekaan seperti mana yang kita semua rasai di tanahair tercinta ini.

Kemerdekaan sebagaimana yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah kebebasan daripada penjajahan kuasa asing. Kerana itulah kita dapati saban tahun seluruh rakyat di negara ini meraikan sambutan hari kemerdekaan setiap kali menjelangnya tarikh 31 Ogos.

Persoalannya adakah memadai sekadar itu kemerdekaan yang dimaksudkan di dalam Islam? Jelasnya, Islam sebagai agama yang berasaskan ketauhidan, telah datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT. Justeru, kemerdekaan yang hakiki adalah apabila manusia hanya mengikut petunjuk dan menyerahkan jiwa sepenuhnya kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 108 :

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Inilah jalanku, aku dan orang yang megikutku menyeru (manusia umumnya) kepada agama Allah dengan keterangan yang nyata. Maha Suci Allah (daripada sebarang sekutu) dan aku bukanlah daripada golongan yang musyrik (yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain)”.

MERDEKA !
MERDEKA !
MERDEKA !

Semoga kita dapat mencapai kemerdekaan yang sebenar dalam diri kita sebagai seorang hambaNya..insyaAllah..

#selamatHariKemerdekaan59
#sehatisejiwa
#tarbiyahMelahirkanPemimpin
#SIAS

 

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Gotong Royong As Syddiq Bersama CSR Etiqa

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah baru-baru ini sekolah Islam As Syddiq telah menerima kunjungan dari sepasukan petugas dari sebuah agensi korporat iaitu Etiqa Insurans & Takaful Berhad, salah sebuah ahli kumpulan Maybank.

Kunjungan mereka adalah untuk melengkapi misi khidmat masyarakat yang diselaraskan di semua peringkat daerah dan negeri bahkan diseluruh dunia menerusi program CSR (Corporate Social Responsbility)

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Zon Selatan Etiqa iaitu En Yunus bin So’od telah mula membanjiri perkarangan As Syddiq seawal jam 8.00 pagi lagi. Hujan renyai yang turun sedikit pun tidak menjadi halangan buat kami meneruskan program. Kami di As Syddiq turut diwakili oleh Ydp Haluan Prof Dr Abdul Hakim@Miswan bin Mohamed.

Seramai 35 orang pelajar dari kalangan pelajar sekolah menengah mengikuti program ini. Terima kasih kepada pihak penaja yang sudi memberikan goodie bag kepada pelajar yang terlibat. Program kerjasama yang julung kali diadakan ini ditaja sepenuhnya oleh Etiqa. Sumbangan yang diberikan telah diagihkan kepada beberapa bahagian dan kawasan. Kami dari pihak As Syddiq telah bersetuju untuk menggunakan sumbangan yang diberi untuk menceriakan kawasan persekitaran sekolah rendah & menengah, kantin dan asrama. Hampir 30 anak pokok buah-buahan ditanam di laluan asrama puteri dan kawasan sekitar padang sekolah. Dinding utama bangunan sekolah rendah dan menengah turut bertukar warna hasil sumbangan Etiqa. Kantin kami yang mula pudar warna catnya juga kini kembali ceria dengan tona warna yang sejuk mata memandang. Tidak ketinggalan asrama puteri dan putera yang turut berubah wajah di beberapa kawasan terpilih.

Wakil -wakil dari Etiqa turut sama -sama berganding bahu menyiapkan kawasan yang dicadangkan. Mereka turut sama dapat melihat budaya di sekolah kami yang makan diatas dulang secara berjemaah bukan secara individu.

Sebaik sahaja jam melangkau ke jam 12 tengahari, peserta -peserta program CSR berkumpul untuk sesi penutup. Bagi memeriahkan majlis, acara kuiz turut diadakan.Program yang dikendalikan oleh Cikgu Muhammad Raman turut menawarkan hadiah yang ditaja oleh Etiqa. 10 soalan berkisar tentang sejarah kemerdekaan menjadi pilihan. Pertandingan ini dibuka untuk semua pelajar, guru, staff dan tetamu yang hadir. Suasana begitu gamat sekali kerana masing-masing ingin mencuba.

Diakhir program, pihak Etiqa telah berbesar hati memberi cenderahati kepada pihak sekolah dan berjanji akan datang lagi ke As Syddiq untuk sama-sama memberikan sumbangan didalam membangunkan prasarana dan kebajikan anak-anak As Syddiq.

Suasana Gotong-Royong As Syddiq bersama Etiqa :

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Etiqa Insurans & Takaful Berhad. Sila layari

http://www.etiqa.com.my/Malay/Pages/default.aspx

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Binti Atan

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Jasamu Sentiasa Dihati

Jasamu Sentiasa Dihati

Suasana di As-Syddiq begitu hening sekali, kelihatan para pelajar lelaki mahupun perempuan berulang alik masuk ke bilik guru perempuan  Sekolah Islam As-Syddiq. Hujan yang turun sekejap-sekejap seolah-olah memahami kesedihan yang dirasai oleh mutiara-mutiara As-Syddiq. Pada hari Khamis yang lalu, 3 orang pendidik As-Syddiq bakal meninggalkan bumi wakaf As-Syddiq. Mereka pergi bukan kerana kecewa membawa hati tetapi mereka pergi untuk menjalankan amanah yang baru digalas.

Tiga orang guru yang terlibat ialah Cik Nur Asy’adah Bt Sujak, Cik Masdiaton Akma Bt Ariffin dan Nurhidayah Bt Samuri. Mereka bertiga telah pun diterima masuk ke sektor penjawat awam dan akan memulakan karier baru mereka di sekolah masing-masing bermula 15 Ogos 2016.

Seakan-akan tertulis hubungan mereka bertiga amat rapat sekali walaupun masing-masing berbeza usia namun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadikan medan mereka berkongsi cerita, apatah lagi saudari Nur Asy’adah dan saudari Masdiaton adalah junior dan senior ketika berada di Maahad Johor.

Menariknya mengenai guru-guru ini ialah hubungan guru dan murid yang diwujudkan oleh mereka untuk menarik minat anak-anak As-Syddiq ini untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu duniawi dan ukhrawi. Kami di As-Syddiq pasti akan merasai kehilangan saudari Nur Asy’adah atau lebih mesra disapa dengan Cikgu Asy yang begitu luas pengalamannya dan penguasaannya di dalam bahasa Arab. Begitu juga saudari Masdiaton Akma yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mas atau Cikgu Akma yang cukup sinonim dengan ketegasannya didalam mengajar subjek Matematik dan Geografi, disebalik ketegasan beliau itulah, dapat dilihat perubahan minat beberapa orang pelajar yang lemah penguasaannya. Turut tidak terkecuali saudari Nurhidayah yang lebih senang dipanggil Cikgu Dayah. Kelembutannya dan sifat penyayang yang ada didalam dirinya sering disebut-sebut oleh pelajar.

Bagi meraikan majlis perpisahan guru-guru ini, kami di As-Syiddiq telah menganjurkan sedikit jamuan bagi meraikan jasa-jasa guru & staf yang pernah berkhidmat di As-Syddiq sepanjang tahun 2016. Majlis yang diadakan bermula jam 4.30 petang ini telah turut dihadiri oleh wakil HALUAN Johor iaitu Dr Baharuddin Bin Suri, selain dari pihak pengurusan tertinggi Sekolah Islam As-Syddiq.

Didalam majlis ini juga kami turut meraikan salah seorang tenaga kerja yang tidak pernah lelah memberikan sumbangan khususnya di unit tarbiah. Beliau yang dimaksudkan ialah Tn Hj Khalik Bin Anuar. Pengorbanan dan jasa yang beliau taburkan sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas. Tn Hj Shamjuddin selaku orang yang rapat dengan beliau sempat menceritakan detik-detik manis ketika melamar Tn Hj Khalik untuk menyertai organisasi As-Syddiq. Sesungguhnya kami di As-Syddiq amat merasai kehilangan Tn Hj Khalik yang memohon persaraan diatas faktor kesihatan.

Dikesempatan ini juga kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka-mereka yang diraikan iaitu En Mohd Saifulzilizan B. Mohd Noh, Cik Anis Hazirah Bt Norhadi, En Muhammad B. Azis, En Muhammad Aziim Bin Zailani, En Muhammad Fateh Al-Mubaraq Bin Shamjuddin, En Muhammad Fathi Bin Azman,Pn Khairiah Bt Jarkasi, En Mahmud Husaini Bin Ismail  dan En Muhammad Hamdi Bin Abd Hamid diatas khidmat yang telah dicurahkan kepada anak didik dan juga pengurusan Sekolah Islam As-Syddiq.

SELAMAT BERPISAH DAN SELAMAT BERTUGAS DI TEMPAT BARU DARI KAMI WARGA AS-SYDDIQ.

HANYA TITISAN AIR MATA DAN IRINGAN DOA YANG MAMPU KAMI KIRIMKAN MOGA MENJADI NOSTALGIA INDAH KETIKA BERSAMA DI TERATAK KECIL BERNAMA AS-SYDDIQ.. SELAMAT BERTUGAS .

Gambar sekitar majlis :

 

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Sambutan Hari Raya Peringkat HALUAN Negeri Johor

Sambutan Hari Raya Peringkat HALUAN Negeri Johor

Baru-baru ini bertempat di Asrama Baru Puteri Sekolah Islam As-Syddiq telah selamat berlangsungnya Sambutan Hari Raya Peringkat HALUAN Negeri Johor. Program kerjasama antara HALUAN dan sekolah ini telah menarik kehadiran hampir 300 tetamu merangkumi ahli HALUAN, para ibubapa, guru-guru, staf dan tidak ketinggalan para pelajar As-Syddiq.

Program yang diadakan pada 10 Syawal 1437H  ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) iaitu Dr Arbai’e Bin Syawal. Para tetamu telah mula membanjiri persekitaran sekolah seawal jam 8.00 pagi lagi, para petugas yang terdiri daripada para guru dan pelajar telah lengkap berpakaian bertemakan hari raya bersiap sedia menyambut kehadiran para teramu yang hadir.

Program dimulakan dengan penyempurnaan solat dhuha dan solat hajat yang dilakukan secara berjemaah di ruang legar asrama. Majlis kemudian disusuli pula dengan ucapan dari Dr Abai’e yang mewakili YDP HALUAN Johor iaitu Dr Abd Hakim@Miswan yang tidak dapat menghadirkan diri atas urusan kerja.

Kemeriahan sambutan diteruskan lagi dengan taklimat isu-isu semasa dunia Islam yang disampaikan oleh Dr Arbai’e. Beliau banyak berkongsi dengan tetamu yang hadir akan keadaan Islam pada hari ini, apa yang berlaku kepada penduduk Islam yang semakin diancam oleh kuasa-kuasa besar dan apa yang kita boleh lakukan untuk sama-sama membangunkan Islam.

Seterusnya, perkongsian pengalaman wakil-wakil relawan HALUAN yang pernah berkhidmat di As-Syddiq seperti saudari Nurul Izza Bt Baharudin dan saudari Mariam Nazifah Bt Anuar dan  yang paling mencuri perhatian ialah perkongsian dari saudara Sir Erwan Effendi Bin Mohd Naim. Pengalaman beliau yang berada di As-Syddiq  sekitar 4 tahun lepas banyak memberi inspirasi kepada beliau hari ini. Menurut beliau disinilah lahirnya benih-benih penggerak tarbiah yang mampu untuk menjadi tunggak generasi masa hadapan. Beliau amat merindukan suasana di As-Syddiq yang masih segar di memorinya kebisingan anak-anak muda yang mula bangkit dari tidurnya seawal jam 4 pagi untuk memulakan hari yang baru. Walaupun singgahnya hanya sementara di As-Syddiq tetapi ia menjadi momen indah untuk dikenang.

Usai ucapan dari wakil-wakil relawan, pihak HALUAN dan sekolah berbesar hati menyampaikan sedikit cenderahati kepada tetamu-tetamu yang hadir dan majlis diakhiri dengan jamuan makan tengahari yang turut bertemakan hari raya. Pelbagai jenis juadah disediakan bagi membangkitkan suasana Syawal yang baru memasuki fasa pertama.

Akhir kata sekalung terima kasih diucapkan kepada seluruh tenaga kerja yang terlibat secara langsung mahupun tidak bagi menjayakan Sambutan Hari Raya Peringkat HALUAN negeri Johor. Tidak ketinggalan semua tetamu yang sudi hadir bagi meraikan sambutan yang diadakan. Sebelum berpisah kami dari pasukan media As-Syddiq ingin berkongsi mutiara kata buat semua.

Yang jauh itu WAKTU, yang dekat itu MATI, yang besar itu NAFSU, yang berat itu AMANAH, yang mudah itu BERBUAT DOSA, yang panjang itu AMAL SOLEH, yang indah itu SALING MEMAAFKAN. Salam Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.

Gambar sekitar majlis :


 ——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Minggu Sains dan Matematik

Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Minggu Sains dan Matematik

Alhamdulillah syukur kepada Ilahi, atas rahmat dan limpah kurniaNya sekali lagi Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah berjaya mengadakan satu program kecemerlangan buat pelajar-pelajar di As Syddiq.

Program minggu sains dan matematik ini telah diadakan pada 19 Mei yang lalu yang mana melibatkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Islam As Syddiq. Penyertaan melibatkan pelajar-pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5.

Program yang berlansung selama satu hari ini mengandungi aktiviti yang berkaitan dengan sains dan matematik.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti kuiz sains dan matematik, glider challenge dan egg drop challenge. Penyertaan dalam kalangan pelajar amat memberansangkan. Ini seterusnya membuktikan bahawa pelajar-pelajar sekolah agama juga mampu untuk menceburi dalam bidang sains dan matematik.

Majlis ditutup dengan majlis penyampaian hadiah pada perhimpuanan sekolah 19 Jun yang lalu. Majlis turut diserikan dengan tazkirah oleh Ustaz Nizam, ucapan dari guru sains dan matematik Cikgu Iskandar dan disempurnakan oleh tuan pengetua Tuan Haji Shamjuddin.

Berikut adalah gambar para pemenang :