Tag Archives: motivasi

PROGRAM SANTAI BERSAMA PELAJAR KTD 2017.

Alhamdulillah. Dipanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya program santai bersama pelajar KTD dapat dilaksanakan pada 9 Februari 2017 bertempat di Sekolah Menengah Islam As Syddiq. Program Santai bersama pelajar Kolej Teknologi Darul Naim ini adalah bersempena program Jelajah Pendidikan Kolej Teknologi Darul Naim. Seramai 23 orang dari Kolej Teknologi Darul Naim  telah turun bagi menjayakan program ini yang mana  mereka terdiri dari 12 orang mahasiswa lelaki dan 11 orang mahasiswi perempuan bersama 2 orang staf. Manakala seramai 72 orang pelajar lelaki dan perempuan Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Islam As Syddiq turut  terlibat dalam program ini.

Program Santai bersama pelajar KTD bermula pada jam 3.00 petang. Ianya dimulakan dengan sesi taaruf  melalui permainan Sejadah Beracun dan sesi “ Ice Breaking “. Setelah selesai sesi taaruf sedikit pengisian berkaitan tentang tujuan manusia diciptakan oleh Allah s.w.t telah disampaikan. Kira-kira jam 5.00 petang pihak Kolej Teknologi Darul Naim menyampaikan sedikit cenderahati kepada wakil Sekolah Menengah Islam As Syddiq dan sesi bergambar bersama pelajar KTD dan pelajar SMIAS.

Pada sebelah malamnya pula, aktiviti “barbeque” antara pelajar KTD dan pelajar SMIAS telah dijalankan. Selain ayam bakar, menu yang turut disajikan adalah bubur dan ubi rebus. Bagi pelajar lelaki aktivitinya telah diadakan di Musollah Sek Ren Islam As Syddiq dan pelajar perempuan di Dataran PLUS Sekolah Menengah Islam As Syddiq. Sambil mereka berbarque, aktiviti permainan juga turut dijalankan. Semoga dengan Program Santai ini dapat mengeratkan silaturrahim antara pemuda pemudi KTD dengan para pelajar. Diharapkan juga kepada pelajar yang terlibat dalam program ini dapat mengambil sedikit perkongsian yang telah disampaikan sepanjang program dan menjadi azimat yang bermakna dalam kehidupan mereka.

Suasana sekitar program :

Gambar kenang-kenangan :

LAPORAN DISEDIAKAN

MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

 

 

PROGRAM KAHFI 2017

Alhamdulillah… Dipanjatkan syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia dan inayahNya Program KAHFI 2017 Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah dapat dilaksanakan pada 9 hingga 10 Februari 2017. KAHFI merupakan  singkatan kepada program Kem Asah Fakulti Insan dan program ini telah dilaksanakan setiap tahun. Program ini telah dianjurkan oleh pihak HALUANITA negeri Johor dengan kerjasama Sekolah Menengah Islam As Syddiq. Sasaran  utama program ini dijalankan melibatkan para pelajar Tingkatan 1 dan 2 Sekolah Menengah Islam As Syddiq.

Antara objektif program ini dijalankan adalah untuk membina ukhuwah yang erat di kalangan peserta di samping membina kefahaman dan kesedaran  Islam dalam jiwa setiap peserta. Bukan itu sahaja program ini juga bertujuan untuk membentuk jati diri peserta ke arah pengurusan yang lebih baik.

Program  telah dimulakan dengan sesi taklimat dan “ team building”pada 9 Februari 2017 pada jam 5.00 petang dan berakhir pada jam 6.00 petang. Bagi pelajar putera, program telah diadakan di Dataran Plus SMIAS dan bagi pelajar puteri program telah  diadakan di Asrama Imtiyaz. Setelah semua peserta makan malam dan solat Maghrib berjemaah, program diteruskan lagi dengan slot pertama iaitu sesi Kuliah Maghrib yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Izra’I bin Kanang pada pukul 8.00 hingga 9.00 malam. Selepas para peserta solat Isyak berjemaah, slot tayangan dan refleksi telah diadakan.

Seterusnya pada 10 Februari 2017, program diteruskan lagi dengan slot yang kedua iaitu sesi Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Puan Nooraini binti Selamat,selepas kesemua peserta solat Subuh berjemaah dan membaca al Mathurat.Sedikit aktiviti riadah telah diadakan bagi membangkitkan semangat  para peserta.Tepat jam 10.30 pagi sesi “ Sharing Moment” bersama dengan En Mohd Hilmi bin Abdul Razak bagi pelajar putera dan sesi “Sharing Moment” bersama dengan Puan Salmah binti Salleh, Puan Sarah Hamizah dan Cik Maryam Jameelah binti Hassan bagi pelajar puteri telah disampaikan. Semoga dengan sesi Sharing Moment ini, para peserta dapat mengambil sedikit pengalaman yang disampaikan oleh tokoh yang hebat ini.

Selepas para pelajar makan tengahari dan solat Zuhur berjemaah, sesi latihan dalam kumpulan iaitu sesi LDK bagi setiap slot telah dijalankan. Ianya bagi menilai sejauh mana kefahaman peserta terhadap setiap slot yang disampaikan dalam program ini dan para peserta diminta untuk membentangkan hasil perbincangan mereka. Program berakhir dengan Kalimah Akhirah yang telah disampaikan oleh Puan Supini binti Sardan yang mana beliau banyak memberi nasihat kepada para peserta dalam menempuhi segala onak dan ranjau dalam kehidupan ini terutama di sekolah dan asrama.

Terima kasih diucapkan kepada semua guru dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga dengan adanya program ini ianya dapat mencapai matlamat dan objektif yang digariskan di samping mendapat redha Ilahi…”Kalau ada keinginan yang kuat, niat ikhlas disertai usaha dan doa, Insyallah berhasil”.

Suasana sekitar program :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ SESI 2017

“ Setiap di kalangan kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin. Memetik hadis Nabi s.a.w, pemimpin di sekolah terdiri dari pengawas yang mana mereka merupakan kumpulan pelajar yang dihormati di sekolah. Mereka merupakan pelajar-pelajar pilihan yang mempunyai keterampilan dan kecemerlangan  baik dari aspek akademik, sahsiah mahupun kokurikulum. Mereka merupakan role model kepada pelajar-pelajar lain.

Oleh yang demikian sebagai tanda pengiktirafan , Alhamdulillah satu sesi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah diadakan pada 5 Februari 2017 bertempat di Dataran Plus SMIAS. Majlis ini telah dijalankan semasa perhimpunan rasmi bermula seawal jam 8.00 pagi Objektif majlis ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan dan semangat kepada pengawas supaya melakukan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab. Selain itu semoga dengan pelantikan ini semua pengawas yang telah dilantik dapat menggalas dan menyempurnakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan sekolah tanpa rasa ragu.

Sesi penyerahan watikah pelantikan pengawas telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail dan diiringi oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif. Bacaan ikrar pengawas telah dijalankan selepas kesemua pengawas menerima watikah pelantikan dan ianya telah diketuai oleh Ketua Pengawas  saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi. Setelah itu disampaikan beberapa amanat penting kepada semua pengawas oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif.

Pada keseluruhannya , majlis ini telah sempurna dijalankan dengan kerjasama semua guru dan pihak yang terlibat. Majlis seperti ini dilihat penting bagi menghargai tugas-tugas pengawas dan menyuntik  semangat mereka  dalam menjalankan tugas yang diberi di atas bahu mereka. Semoga pengawas yang dilantik pada tahun ini dapat menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya…

Suasana sekitar majlis :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

IJTIMA’ AM KALI PERTAMA BERSAMA CIKGU ANUAR BIN DAUD

Alhamdulillah…Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya pihak HALUAN Johor telah mengadakan Ijtimak  Am kali pertama bertempat di Sekolah Rendah Islam As Syddiq pada tarikh 14 Januari 2017 bermula jam 9.00 pagi.

Ijtimak dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Naufal bin Ahmad Khusairi dan bacaan al Quran oleh saudara Ahmad Thaqif bin Ahmad Teridi.Seterusnya  pengerusi majlis Tuan Hj Mohd Yusof bin Kaslan  menjemput Prof. Sr. Dr. Abd Hakim  bin Mohammed, Yang Dipertua HALUAN Negeri Johor  menyampaikan sedikit kata-kata aluan.

Prof. Sr. Dr.  Abd Hakim berpesan bahawa Ijitimak Am ini diadakan bertujuan yang pertamanya adalah  untuk mengingatkan kembali perkara-perkara penting dalam kehidupan kita supaya kembali kepada Allah, dan yang keduanya Ijtimak Am ini merupakan satu medan pertemuan antara sahabat dan sahibah HALUAN di Johor. Profesor Dr Abd Hakim juga mengingatkan semua ahli HALUAN Johor untuk melihat kembali keadaan umat Islam pada masa kini dan diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap umat Islam sekarang ini. Seterusnya diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat membina jati diri yang kukuh supaya kita benar-benar hidup dalam suasana Islam yang diredhai Allah s.w.t.

Ijtimak diteruskan dengan penyampaian dari Cikgu Anuar bin Daud yang bertajuk PERJALANAN YANG JAUH. Tajuk ini mengupas tentang bagaimana kita sebagai seorang umat Islam yang telah berbaiah dengan lafaz yang kita lafazkan untuk kita memperhambakan diri kita kepada Allah dan seterusnya mencapai kemenangan bukan sahaja di dunia tetapi kemenangan di akhirat.

Untuk mencapai kemenangan tersebut memerlukan kepada kekuatan iman yang mendalam di samping merasa agong dan mulia dalam mendepani seluruh reality kehidupan yang bertentangan dengan iman. Selain itu ianya memerlukan kepada kesabaran yang utuh untuk melipatgandakan kekuatan tersebut  dan menutup celah – celah kelemahan seorang insan. Diharapkan daripada penyampaian yang disampaikan ini dapat menyedarkan kembali hati-hati insan yang mendengarnya dan memperbaiki diri demi mendapat redha Ilahi.

Alhamdulillah majlis bersurai pada jam 12.00 tengahari dan diteruskan dengan sesi menjamu selera.

Suasana sekitar ijtima’ am :

 

Rakaman Lensa As Syddiq

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

LAPORAN :

MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

ORIENTASI PELAJAR TINGKATAN 1 & TINGKATAN 4 SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ 2017

Alhamdulillah,

Dimulakan dengan Bismilah,

Disudahi dengan Alhamdulillah,

Begitulah sehari dalam hidup kita

Mudah-mudahan dirahmati Allah…

Alhamdulillah selesai sudah minggu orientasi untuk pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Sekolah Menengah Islam As Syddiq bagi sesi 2017. Pelbagai ragam dan keletah anak – anak didik yang baru menempuhi alam persekolahan peringkat menengah terutamanya bagi pelajar Tingkatan 1. Ahlan Wasahlan sekali lagi penulis ucapkan kepada semua pelajar Tingkatan 1 dan 4 tahun 2017. Semoga minggu orientasi ini menjadi memori terindah dalam kehidupan mereka dan memberikan pengalaman yang berharga dan boleh diceritakan kepada generasi seterusnya.

Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi pelajar Tingkatan 1 di bawah pimpinan Ustaz Mohd Hazami bin Taib dan pelajar Tingkatan 4 di bawah pimpinan Ustaz Mohd Khairullah bin Khairudin. Pada hari pertama kesemua pelajar Tingkatan 1 & 4  telah dibawa menyelusuri Sejarah As Syddiq serta Harapan Sekolah Menengah Islam As Syddiq yang telah disampaikan oleh Tuan Pengetua Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Selain itu pelajar  juga diperingatkan tentang peraturan dan undang-undang sekolah dan asrama sepanjang mereka berada di sekolah di bawah seliaan GPK HEM, Puan Noor Rahizah binti Abd Rahman dan Penyelia Asrama, Puan Rose Zaharianton binti Zahari. Diharapkan dengan peringatan – peringatan  ini dapat menjadikan seorang pelajar lebih berdisiplin dalam kehidupan mereka.

Bagi membangkitkan suasana ceria di kalangan pelajar mereka juga telah diperkenalkan dengan Lagu Sekolah dan Lagu Bingkai Kehidupan.Tidak ketinggalan Unit Akademik juga turut terlibat dalam minggu orientasi ini dalam menyampaikan taklimat berkenaan dengan subjek dan peperiksaan akademik dan deeniah yang diajar di Sekolah Menengah Islam  As Syddiq.Taklimat tersebut telah disampaikan oleh GPK AKADEMIK, Puan Nusaibah binti Md Yamin bagi subjek akademik dan SUPD DEENIYAH Ustazah Nabilah binti Ibrahim. Selain itu sesi taklimat PAJSK & Kokurikulum juga telah disampaikan oleh GPK KOKO, En Muhamat Raman bin Sarif.

Seterusnya pada hari ketiga, Ustaz Muhamad Nizam bin Ismail dari Unit Tarbiyah Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah menyampaikan slot yang bertajuk Jati Diri Pelajar Muslim & 10 ciri pelajar Muslim kepada pelajar Tingkatan 1 & 4. Diharapkan daripada slot yang disampaikan dapat menjadikan pelajar seorang yang berwibawa dan berketrampilan. Seterusnya aktiviti diteruskan dengan Taklimat SPBT oleh Madam Wan Rohimah binti Hairani dan Taklimat Kaunseling oleh Puan Hairunnisa binti Busro bagi pelajar Tingkatan 1. Manakala bagi pelajar Tingkatan 4, mereka terlibat dengan Slot Indahnya Bersama Tuhan dan sesi Latihan dalam kumpulan.

Minggu orientasi pelajar Tingkatan 1 & 4 telah berakhir dengan Majlis Penutup Program Orientasi 2017 yang telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua Sekolah Menengah Islam As Syddiq Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Akhir kalam diharapkan dengan program orientasi yang dijalankan oleh pihak sekolah dapat memecahkan ais-ais di kalangan para pelajar dan mereka dapat meneruskan kehidupan di As Syddiq dalam suasana yang diredhai Allah. Sekian….

Suasana orentasi Pelajar Tingkatan 1 :

Suasana orentasi Pelajar Tingkatan 4 :

Sekitar Majlis Penutup oleh Pengetua dan Ustaz Nizam :

 

LAPORAN DISEDIAKAN:

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Taklimat kepada mas’ul-mas’ul halaqah pelajar Sekolah Islam as Syddiq

Tarbiyah bukan segala-galanya tapi segala-galanya bermula dari tarbiyah.Ungkapan ini sering kedengaran bagi siapa yang duduk di dalam naungan tarbiyah. Alhamdulillah pada hari Isnin bersamaan 9 Januari 2017 , Unit Tarbiyah Sekolah Islam As Syddiq telah mengadakan program taklimat kepada mas’ul-mas’ul halaqah pelajar Sekolah Islam as Syddiq. Diharapkan dengan taklimat yang disampaikan dapat menggerakkan momentum-momentum setiap mas’ul halaqah untuk lebih bersemangat dalam mendidik dan meyampaikan rantai rantai ilmu kehidupan kepada setiap pelajar.

Kecemerlangan akademik seseorang pelajar bukan hanya dilihat dari sudut akademiknya sahaja, tapi meliputi aspek rohani dan sahsiah mereka. Semoga dengan kehadiran murabbi dalam halaqah pelajar ini dapat menyentuh hati insan-insan yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Murabbi ibarat seorang pendidik yang bukan hanya menyampaikan ilmu sahaja tapi dapat mengusik hati dan jiwa mutarrabinya untuk sentiasa mengingati Allah dalam aspek kehidupan mereka. Seperti mana Firman Allah dalam surat az Zariyat ayat 56 : Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadat kepadaKu.

Proses pembelajaran bagi seorang pelajar bukan setakat di dalam kelas sahaja tetapi melalui halaqah yang telah dirancang oleh Unit Tarbiyah sekolah ini, diharapkan pelajar dapat mengutip mutiara-mutiara ilmu untuk diamalkan dalam kehidupan mereka. Akhir kalam diharapkan kepada semua murabbi agar dapat menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk mendidik insan-insan kerdil dalam menempuh onak dan duri dalam kehidupan mereka.

Suasana taklimat :

 

LAPORAN :

MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Kem Minda Kreatif (KMK) & Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST)

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Alhamdulillah, baru-baru ini kami di As Syddiq telah pun selesai melaksanakan 2 program mega bagi pelajar tingkatan 1 sehingga 4 iaitu Kem Minda Kreatif (KMK) dan ProCAST (Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji). Selaras dengan falsafah pendidikan di As-Syddiq yang mahukan pelajar yang memiliki pendidikan terancang, kemaskini dan terpimpin, berteraskan tauhid, mentarbiah dan meningkatkan potensi pelajar kearah melahirkan insan cemerlang yang seimbang dari segi rohani, akal, jasmani dan emosi dan seterusnya berkhidmat kepada Islam untuk kemakmuran alam sejagat.

Kali ini kami di pihak sekolah telah bersetuju untuk memilih Kem PLKN, Teluk Sari Mersing sebagai lokasi program. Keterujaan jelas kelihatan, apabila berbondong-bondong pelajar mula membanjiri ruang legar persekolahan seawal jam 7.30 pagi. Petugas-petugas kantin sudah bersiap sedia dengan menu istimewa “Nasi Lemak As Syddiq” khusus untuk santapan peserta program. Program yang berdurasi selama 3 hari ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 216 orang peserta dari kalangan pelajar As Syddiq dan pelajar-pelajar dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Kolaborasi guru-guru As Syddiq dan guru-guru dari Kelab Guru HALUAN  banyak membantu didalam melicinkan perjalanan program. Kami sama-sama bergerak didalam menyampaikan wadah bagi melahirkan insan cemerlang yang diredhai Allah.

Bagi yang baru mengenali As Syddiq KMK adalah program yang dibangunkan khusus untuk pelajar tingkatan 1 sehingga 3, dengan tema “Rabbani Impian Syurga”. Pelbagai pengisian disusun bagi mencapai objektif yang disasarkan. Masa peserta yang menghadiri program ini sentiasa dimanfatkan dengan aktiviti yang membentuk jiwa dan peribadi. Penulis tertarik untuk berkongsi beberapa aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti “Subuh Circle” dan “Explorace”. Ia sangat bertepatan sekali dengan lagu tema program “Hadapilah” oleh Shoutul Harakah. Bait-bait liriknya mendorong peserta untuk kuat menghadapi segala rintangan dan cabaran sebagai seorang pelajar dan jangan pernah berputus asa kerana Allah sentiasa berada bersama orang-orang yang selalu mengingatinya.

Berbeza sedikit dengan ProCAST, ia lebih menjurus kepada pembentukkan kepimpinan pelajar. Bersesuaian dengan tahap pelajar Tingkatan 4 yang baru menginjak ke alam remaja, ProCAST lebih selektif didalam pemilihan modul seperti komunikasi, pengurusan emosi dan 3 persoalan hidup. Bagi memantapkan program yang diatur, penceramah-penceramah yang berpengalaman diundang untuk menyampaikan wadah yang berguna kepada pelajar. Jika KMK memilih “Hadapilah”,  ProCAST memilih lagu “Mujahid Setia” sebagai tema di sepanjang program. Semangat yang dibawa dari lagu tersebut sememangnya memberi inspirasi kepada peserta yang terlibat.

Besarlah harapan kami agar program-program yang telah disertai oleh pelajar-pelajar ini dapat membentuk mereka menjadi insan yang bertakwa dan berketrampilan. Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program KMK dan ProCAST.

Berikut adalah montaj yang dihasilkan dipenghujung program, mari kita ikuti :

Montaj KMK :

Montaj ProCAST :

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Bengkel Penulisan Cerpen

“Hawa menarik nafas lega, degupan jantung yang berdegup kencang sejak seminggu lalu kini berakhir, slip keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) yang diterima dari Ustazah Yaqin sudah semakin renyuk di tangan. Alhamdulillah, gelodak dihati kian terlerai, segala usahanya membuahkan hasil, titisan demi titisan air mata rebah ke bumi tanda syukur”

Berikut merupakan contoh penulisan cerpen dari salah seorang peserta bengkel Penulisan Kreatif kelolaan penulis Noraini binti Eslah atau lebih dikenali sebagai Ummu Anas.

Ummu Anas merupakan kolumnis tetap bagi majalah HALUAN semenjak tahun 1995. Walaupun sibuk dengan aktiviti harian dan menjadi ibu kepada tujuh orang anak  ia sedikit pun tidak menjadi halangan untuk beliau menceburkan diri dalam menghasilkan karya kreatif, khasnya cerpen dan novel. Kejayaan beliau memenangi tempat ketiga sayembara novel remaja DBP 2009/10 telah menambahkan lagi keyakinan beliau untuk terus bergiat dalam penulisan kreatif.

Sehubungan dengan itu pihak sekolah telah berbesar hati untuk menjemput Ummu Anas untuk berkongsi sedikit sebanyak berkenaan penulisan kreatif, bengkel selama sehari khusus untuk pelajar tingkatan 4 ini banyak didedahkan dengan teknik-teknik penulisan. Diakhir program pelajar dapat menghasilkan cerpen mereka sendiri melalui teknik yang diajar.

Suasana sekitar bengkel penulisan cerpen :

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Seminar Mahligai Impian – Bahagian Terakhir

Tajuk                     : Mencari Cinta Lestari

Moderator          :  Dr Johari Bin Surif

Panel 1                 : Dr Razali Bin Maarof

Panel 2                 : Pn Hjh Ezura Nashuha Binti Omar @ Abd Hadi

 

Assalamualaikum wbt, Alhamdulillah kita telah pun sampai ke bahagian terakhir dapatan dari Seminar Mahligai Impian kali ke-8, kali ini penulis akan berkongsi tips-tips yang telah dikongsi didalam perbincangan forum yang telah diadakan.

Terdapat pelbagai faktor dan kaedah untuk membina cinta lestari, berikut penulis kongsikan untuk tatapan pembaca-pembaca sekalian.

  • Jadilah pasangan yang setia mendengar (good listener). Proses ini sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi dan ia amat memerlukan masa
  • Memahami kelemahan dan kelebihan pasangan masing-masing
  • Hidupkan hati dengan iman kerana kukuhnya iman akan terbangunlah keyakinan.
  • Puji kebaikan pasangan dan sentiasalah menghargai pasangan. Jadikanlah rumahtangga sebagai sekolah kehidupan
  • Tambah ilmu dengan menghadiri majlis ilmu dan dapatkan seberapa banyak ilmu.
  • Latih diri untuk belajar mengambil tanggungjawab dan sentiasa ikhlaskan diri
  • Bukakan hati  dan sedarilah bahawa pengetahuan tentang agama, kekuatan iman dapat melahirkan generasi pewaris yang dapat membawa kita ke syurga.

 

Untuk memperoleh sesuatu yang kekal abadi ia bukanlah suatu jalan yang mudah, terdapat pelbagai cabaran yang harus ditempoh. Mari kita hayati bersama apakah cabaran yang harus ditempuh dan bagaimana untuk mengatasinya :-

 

  • Faktor ekonomi, bila mana kita mula menyalahkan akan tanggungjawab dan hak yang harus dipikul. Wahai para suami, janganlah kamu anggap memberikan nafkah kepada isteri sebagai satu bebanan tetapi anggaplah ia sebagai satu keistimewaan yang kamu miliki. Jangan malas bekerja dan biarkan isterimu yang menanggung segala-galanya.
  • Faktor komunikasi , ikutlah apa yang Al-Quran dan Sunnah perintahkan kepada kita, jangan hanya mahu satu pihak sahaja yang menang, setiap pasangan jangan selalu memendam rasa, luahkanlah apa yang terbuku dihati dan carilah jalan penyelesaian dengan cara yang paling berhemah.
  • Kurang penghayatan agama, janganlah setiap pasangan mencetuskan masalah dengan mencari orang ketiga, kuatkanlah iman dari terpengaruh dari pengaruh media sosial, kerana jika ianya berlaku tiada lagi barakah dan rahmah didalam rumahtangga.
  • Sentiasa ingati diri sendiri supaya jangan meletak harapan pada manusia tapi letakkan harapan dan keyakinan kita kepada Allah SWT. Banyakkan berdoa dan berserah kepada Allah SWT, sentiasalah bersama suka dan duka kerana bukan selamanya kita akan berada di puncak.

 

Teringat pada kata-kata seorang pujangga :-

Sungguh ajaib manusia muslim bila dia bersabar apabila ditimpa musibah dan dia bersyukur apabila diberikan nikmat

Sebelum berpisah marilah sama-sama kita membina visi keluarga muslim, tanyalah diri kemana mahu kita bawa rumahtangga yang bakal / telah dibina, fahamilah dengan jelas konsep baitul muslim. Koreksi diri untuk apa kita bernikah dan apa yang akan kamu harapkan didalam sebuah perkahwinan. Hayati makna dari surah Al-Tahrim ayat ke-6 yang bermaksud : Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjanganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

 

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

 

 

 

 

PROGRAM MOTIVASI : SEPETANG BERSAMA DR RAZALI BIN MAAROF

PROGRAM MOTIVASI : SEPETANG BERSAMA DR RAZALI BIN MAAROF
Baru-baru ini bertempat di Dewan Utama Asrama Puteri telah berlangsungnya satu program Motivasi bersama penceramah jemputan Dr Mohd Razali Maarof.
Program ini disasarkan khusus untuk pelajar tingkatan 3 dan 5 yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program yang berdurasi hampir 8 jam ini begitu padat dengan pengisian yang mampu menaikkan semangat pelajar yang amat mendahagakan tiupan semangat.
Program dimulakan dengan memperkenalkan formula F.C.I (Focus.Commited.Invigorated). Dr Razali banyak menekankan kepada peserta tentang konsep “membangau” yang harus dihindarkan dalam diri setiap insan. Apa itu “membangau”? “Membangau” membawa maksud memberikan alasan dalam apa jua tugasan atau arahan yang diberikan. Sebagai remaja yang kian meningkat usia, mereka sentiasa berkehendakkan sesuatu yang mencabar dan ingin mencuba sesuatu yang baru.
Selain dari itu beliau turut menyarankan para peserta agar sentiasa memohon doa dan hendaklah sentiasa bersyukur diatas segala nikmat yang diberikan. Terlalu banyak limpahan rezeki dan kurniaan yang telah diberikan oleh Allah SWT dan bagaimana kita menghargai setiap apa yang dianugerahkan. Jangan mudah lalai dan leka dengan kehidupan duniawi dan jangan ambil mudah dalam setiap perkara yang dilakukan.
Dr Razali bijak dalam mempelbagaikan setiap slot yang diberi. Semua peserta tidak akan dibiarkan hanya duduk mendengar ceramah, ada sahaja aktiviti dan klip-klip video dipaparkan untuk memastikan momentum peserta berada di tahap paling maksimum.
Pembelajaran yang boleh diambil dari program ini antaranya seperti berikut:-
• kita hendaklah sentiasa bersyukur diatas segala nikmat yang diberi
• memberi banyak alasan tidak akan memberikan kejayaan
• fokus adalah perkara penting untuk berjaya
• jangan ambil mudah dengan sesuatu perkara
• jika ingin berubah, cepatlah bertindak
• jangan hanya duduk di zon selesa
Semoga program ini memberi manfaat dan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar-pelajar ini untuk menjadi yang terbaik dari yang terbaik. Insyallah.
Suasana program motivasi :

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/