Tag Archives: Muwasafat Tarbiyah

Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12

Pada cuti sekolah,penggal pertama tanggal 18 hingga 20 haribulan Mac,Kelab Remaja Haluan (KeARAH) telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12.

Bertemakan “Remaja Berfikrah Penggerak Ummah” yang bertempat di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput (U), Perak yang telah dihadiri seramai 218 orang dari seluruh Malaysia.

Program PeWARIS 12 ini dirasmikan oleh YDP HALUAN Perak. Kemudian program diteruskan dengan taklimat program dan heart setting daripada Kem Komanden iaitu Abang Talhah bin Hazni. Peserta dibahagikan di dalam kumpulan melalui aktiviti ‘Ice Breaking’ yang mana peserta diberi sekeping kertas yang tertulis beberapa nama-nama Allah (Asmaul Husna) kemudian,barisan fasilitator menutup mata para peserta menggunakan sehelai kain dan para peserta perlu mencari ahli kumpulan mereka.Aktiviti ini sangat menguji mental dan fizikal para peserta.

Program diteruskan dengan slot pertama yang bertajuk Bahtera Penyelamat. Slot ini disampaikan oleh Encik Rosdi bin Baharom belian merupakan pendakwah sepenuh masa.Beliau ada mengingatkan peserta bahawa berdakwah ini bukan kerja untuk kita dapat duit. Pada sebelah malam, selepas selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah program diteruskan dengan LDK dan perbentangan bagi slot pertama. Perbentangan pada malam tersebut dibentangkan dalam bentuk lakonan, yang mana pihak program mengasingkan peserta perempuan di Musollah manakala peserta lelaki di Dewan Utama. Selesai sahaja perbentangan peserta perempuan digerakkan ke Dewan Utama untuk mendengar taklimat KeARAH (Kelab Remaja HALUAN) yang disampaikan oleh Encik Muhammad Radhi bin Rahman  Taklimat ini mengenalkan para peserta apa itu KeARAH,sejarah,visi,misi dan motto KeARAH. Seterusnya , sebelum kem komanden melepaskan para peserta untuk berehat , mereka bersama-sama membaca surah Al Mulk dari awal hingga akhir.

An-Nasai meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda, sesiapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka Allah akan mencegahnya dari seksa kubur. (HR An-Nasai)

Pada hari kedua, seawal 4.30 pagi para peserta dikejut. Mereka menunaikan solat subuh secara berjemaah dan mendengar sedikit kuliah subuh. Kemudian,kem komanden mengarahkan para peserta berkumpul di tanah lapang berhampiran dengan Musollah dan mengadakan KULTUM ( Kuliah Tujuh Minit) sementara menunggu sarapan siap. Selepas para peserta bersantap, mereka dikumpulkan kembali di tempat mereka berkumpul tadi untuk sesi fotografi. Selesai sahaja sesi fotografi semua para peserta digerakkan ke Surau Kampung Sungai Durian,Sungai Siput dengan berjalan kaki untuk aktiviti Kembara PeWARIS dan aktiviti kemasyarakatan. Sampai sahaja di perkarangan surau, Allah izin hujan renyai-renyai tetapi program tetap diteruskan dengan sepatah dua kata dari Ketua Kampung. Selepas itu, peserta lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan membersihkan surau bahagian lelaki dan lagi satu kumpulan membersihkan dewan orang ramai Kampung Sungai Durian manakala peserta perempuan membersihkan stor surau dan bahagian solat perempuan.

Selesai sahaja menjalankan aktiviti pembersihan, para peserta dikehendaki untuk makan tengah hari dan mendengar sedikit ucapan penghargaan dari ketua kampung. Kem komanden membenarkan para peserta untuk qailullah dan berehat sebentar sementara menunggu masuk waktu solat zhohor. Setelah menunaikan solat zhohor,para peserta dikehendaki menziarahi beberapa buah rumah mengikut kumpulan dan memberi sedikit buah tangan. Kemudian,para peserta berjalan pulang balik ke kem. Program diteruskan lagi pada sebelah malam,selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah program disambung dengan slot kedua yang berjudul Pembentukan dan Kesedaran Islam. Slot kedua ini disampaikan oleh Setiausaha Haluan Perak, Encik Ahmad Salleh. Disini beliau menerangkan beberapa syarat kepimpinan. Kemudian,program diteruskan dengan LDK untuk slot kedua,seusai para peserta menunaikan solat isyak secara berjemaah.

Pada hari terakhir program, selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah dan sedikit pengisian hati dengan tajuk Ciri-ciri Penghayatan Islam para peserta digerakkan menuju ke sungai yag berhampiran dengan kem tersebut. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki dahulu untuk masuk kedalam sungai dan diikuti dengan peserta perempuan dengan kedinginan di pagi hari di tambah dengan kesejukan air sungai. Sejuknya, MashaAllah. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki untuk berganjak ke tempat jauh sedikit agar ada jurang antara lelaki dan perempuan. Peserta lelaki dikehendaki untuk menyanyikan lagu Asmaul Husna dan sedikit aktiviti (maaf tidak diketahui) manakala peserta perempuan dikehendaki untuk membaca Al Mathurat dan melakukan aktiviti yang dapat mengeratkan ukhwah sesama mereka.

Habis sahaja aktiviti tersebut para peserta dikehendaki untuk memasak sarapan mereka sendiri walaupun dalam keadaan basah aktiviti ini dinamakan Chef de PeWARIS. Selesai sahaja aktiviti tersebut makanan kami diuji oleh para juri yang berkepimpinan. Selesai kami menjamu selera, kami diberi arahan untuk mempersiapkan diri dan mengemas dorm. Tepat jam 11.00 pagi para peserta telah berkumpul di Dewan Utama untuk majlis penutupan.

Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program PeWARIS.

Sekitar Perkhemahan :

 

Syazwani Binti Samsudin

Pelajar Sekolah Islam As Syddiq

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Advertisements

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ SESI 2017

“ Setiap di kalangan kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin. Memetik hadis Nabi s.a.w, pemimpin di sekolah terdiri dari pengawas yang mana mereka merupakan kumpulan pelajar yang dihormati di sekolah. Mereka merupakan pelajar-pelajar pilihan yang mempunyai keterampilan dan kecemerlangan  baik dari aspek akademik, sahsiah mahupun kokurikulum. Mereka merupakan role model kepada pelajar-pelajar lain.

Oleh yang demikian sebagai tanda pengiktirafan , Alhamdulillah satu sesi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah diadakan pada 5 Februari 2017 bertempat di Dataran Plus SMIAS. Majlis ini telah dijalankan semasa perhimpunan rasmi bermula seawal jam 8.00 pagi Objektif majlis ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan dan semangat kepada pengawas supaya melakukan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab. Selain itu semoga dengan pelantikan ini semua pengawas yang telah dilantik dapat menggalas dan menyempurnakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan sekolah tanpa rasa ragu.

Sesi penyerahan watikah pelantikan pengawas telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail dan diiringi oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif. Bacaan ikrar pengawas telah dijalankan selepas kesemua pengawas menerima watikah pelantikan dan ianya telah diketuai oleh Ketua Pengawas  saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi. Setelah itu disampaikan beberapa amanat penting kepada semua pengawas oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif.

Pada keseluruhannya , majlis ini telah sempurna dijalankan dengan kerjasama semua guru dan pihak yang terlibat. Majlis seperti ini dilihat penting bagi menghargai tugas-tugas pengawas dan menyuntik  semangat mereka  dalam menjalankan tugas yang diberi di atas bahu mereka. Semoga pengawas yang dilantik pada tahun ini dapat menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya…

Suasana sekitar majlis :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL MENENGAH RENDAH AGAMA & SIJIL MENENGAH AGAMA  SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ 2016

Alhamdulillah…

Penantian guru-guru dan pelajar- pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama dan Sijil Menengah Agama 2016 akhirnya terjawab kerana pada hari Ahad 15 Januari 2017 telah diumumkan keputusan bagi kedua-dua peperiksaan tersebut.

Di kesempatan ini pihak warga Sekolah Menengah Islam As Syddiq mengucapkan tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama ( SMRA) 2016 dan Sijil Menengah Agama ( SMA ) 2016. Berbekalkan usaha, doa dan tawakal selain usaha gigih dari guru-guru, para pelajar akhirnya mendapat keputusan yang membanggakan bagi peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama 2016 dengan peratus kelulusan 100% lulus. Manakala bagi peperiksaan Sijil Menengah Agama 2016 peratus kelulusan agak menurun sedikit dengan peratus kelulusan 50% lulus.

Bagi keputusan peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama 2016 seramai tiga orang pelajar mendapat keputusan Mumtaz iaitu saudara Muhammad Nasif bin Ahmad Khusairi, saudari Nur Shodrina Wadihah binti Abu Bakar dan saudari Nur Maryam binti Hazizan.

Bagi keputusan  peperiksaan Sijil Menengah Agama 2016 seramai 4 orang pelajar mendapat keputusan Jayid Jiddan iaitu saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi mewakili pelajar putera dan bagi pelajar puteri diwakili saudari Siti Balkis binti Amalludin, saudari Siti Maryam binti Mahmad dan saudara Waie Sajidah Saadah binti Zihan. Mabruk penulis ucapkan atas kejayaan anda semua.

Semoga kejayaan anda menjadi inspirasi kepada rakan – rakan yang lain untuk lebih tekun dan fokus dalam pembelajaran. Antara kunci kejayaan pelajar – pelajar ini adalah sentiasa fokus ketika guru mengajar dan saling bertanya sekiranya ada sesuatu yang tidak difahami dalam pembelajaran.

Selain usaha dan tawakal, pergantungan kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan menyedarkan diri kita bahawa kita adalah insan yang sentiasa memerlukan pertolonganNya. Akhir kalam, semoga kecemerlangan dalam bidang akademik ini menjadi pemangkin kepada mereka  untuk turut cemerlang dari segi sahsiah dan rohani. Sekian…

Jom kita saksikan wajah-wajah kejayaan pelajar-pelajar ini…

 

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq

——————————-

https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

IJTIMA’ AM KALI PERTAMA BERSAMA CIKGU ANUAR BIN DAUD

Alhamdulillah…Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya pihak HALUAN Johor telah mengadakan Ijtimak  Am kali pertama bertempat di Sekolah Rendah Islam As Syddiq pada tarikh 14 Januari 2017 bermula jam 9.00 pagi.

Ijtimak dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Naufal bin Ahmad Khusairi dan bacaan al Quran oleh saudara Ahmad Thaqif bin Ahmad Teridi.Seterusnya  pengerusi majlis Tuan Hj Mohd Yusof bin Kaslan  menjemput Prof. Sr. Dr. Abd Hakim  bin Mohammed, Yang Dipertua HALUAN Negeri Johor  menyampaikan sedikit kata-kata aluan.

Prof. Sr. Dr.  Abd Hakim berpesan bahawa Ijitimak Am ini diadakan bertujuan yang pertamanya adalah  untuk mengingatkan kembali perkara-perkara penting dalam kehidupan kita supaya kembali kepada Allah, dan yang keduanya Ijtimak Am ini merupakan satu medan pertemuan antara sahabat dan sahibah HALUAN di Johor. Profesor Dr Abd Hakim juga mengingatkan semua ahli HALUAN Johor untuk melihat kembali keadaan umat Islam pada masa kini dan diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap umat Islam sekarang ini. Seterusnya diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat membina jati diri yang kukuh supaya kita benar-benar hidup dalam suasana Islam yang diredhai Allah s.w.t.

Ijtimak diteruskan dengan penyampaian dari Cikgu Anuar bin Daud yang bertajuk PERJALANAN YANG JAUH. Tajuk ini mengupas tentang bagaimana kita sebagai seorang umat Islam yang telah berbaiah dengan lafaz yang kita lafazkan untuk kita memperhambakan diri kita kepada Allah dan seterusnya mencapai kemenangan bukan sahaja di dunia tetapi kemenangan di akhirat.

Untuk mencapai kemenangan tersebut memerlukan kepada kekuatan iman yang mendalam di samping merasa agong dan mulia dalam mendepani seluruh reality kehidupan yang bertentangan dengan iman. Selain itu ianya memerlukan kepada kesabaran yang utuh untuk melipatgandakan kekuatan tersebut  dan menutup celah – celah kelemahan seorang insan. Diharapkan daripada penyampaian yang disampaikan ini dapat menyedarkan kembali hati-hati insan yang mendengarnya dan memperbaiki diri demi mendapat redha Ilahi.

Alhamdulillah majlis bersurai pada jam 12.00 tengahari dan diteruskan dengan sesi menjamu selera.

Suasana sekitar ijtima’ am :

 

Rakaman Lensa As Syddiq

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

LAPORAN :

MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Taklimat kepada mas’ul-mas’ul halaqah pelajar Sekolah Islam as Syddiq

Tarbiyah bukan segala-galanya tapi segala-galanya bermula dari tarbiyah.Ungkapan ini sering kedengaran bagi siapa yang duduk di dalam naungan tarbiyah. Alhamdulillah pada hari Isnin bersamaan 9 Januari 2017 , Unit Tarbiyah Sekolah Islam As Syddiq telah mengadakan program taklimat kepada mas’ul-mas’ul halaqah pelajar Sekolah Islam as Syddiq. Diharapkan dengan taklimat yang disampaikan dapat menggerakkan momentum-momentum setiap mas’ul halaqah untuk lebih bersemangat dalam mendidik dan meyampaikan rantai rantai ilmu kehidupan kepada setiap pelajar.

Kecemerlangan akademik seseorang pelajar bukan hanya dilihat dari sudut akademiknya sahaja, tapi meliputi aspek rohani dan sahsiah mereka. Semoga dengan kehadiran murabbi dalam halaqah pelajar ini dapat menyentuh hati insan-insan yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Murabbi ibarat seorang pendidik yang bukan hanya menyampaikan ilmu sahaja tapi dapat mengusik hati dan jiwa mutarrabinya untuk sentiasa mengingati Allah dalam aspek kehidupan mereka. Seperti mana Firman Allah dalam surat az Zariyat ayat 56 : Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadat kepadaKu.

Proses pembelajaran bagi seorang pelajar bukan setakat di dalam kelas sahaja tetapi melalui halaqah yang telah dirancang oleh Unit Tarbiyah sekolah ini, diharapkan pelajar dapat mengutip mutiara-mutiara ilmu untuk diamalkan dalam kehidupan mereka. Akhir kalam diharapkan kepada semua murabbi agar dapat menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk mendidik insan-insan kerdil dalam menempuh onak dan duri dalam kehidupan mereka.

Suasana taklimat :

 

LAPORAN :

MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Ahlan Wasahlan Pelajar Tingkatan 1 & 4 Bagi Sesi 2017

Minggu persekolahan telah masuk minggu kedua, hari ini pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 4 yang telah mendaftar di SMIAS semalam akan mula mengorak langkah mencari tapak ketahanan diri di bumi As Syddiq.

Wajah-wajah suci pelajar tingkatan 1 yang baru mengenali As Syddiq menjadi tanggungjawab  semua warga As Syddiq untuk mencoraknya. Terima kasih kepada semua ibubapa yang memberi sepenuh kepercayaan kepada kami untuk mendidik dan mentarbiah anak-anak ini.

Mengikut data yang diterima, pelajar-pelajar yang mendaftar pada tahun ini mendapat maklumat tentang sekolah melalui sebaran dari rakan-rakan yang telah menghantar anak-anak mereka di As Syddiq dan melalui hebahan media.

Pada tahun ini, As Syddiq mula menawarkan program Tahfiz yang menggunakan konsep Ulul Albab yang menekankan akademik, deeniah,  al-Quran dan Bahasa Arab. Ia terbuka kepada pelajar lelaki dan perempuan dan pemilihan akan dibuat oleh panel yang telah dilantik oleh pihak sekolah yang diwakili oleh Ust Muhammad Nizam Bin Ismail, Ust Muhammad Fadlee Bin Abu Bakar dan Ustazah Fathymah Bt Badruzzaman.

Manakala bagi pelajar tingkatan 4, pelajar-pelajar akan dibahagikan mengikut 2 aliran yang telah ditetapkan iaitu aliran sains tulen dan aliran sains sosial. Seramai 41 orang telah mendaftarkan diri dengan nisbah 20 orang pelajar lelaki dan 21 orang pelajar perempuan. Peningkatan hampir 10% dari jumlah pelajar tahun lalu.

Akhir kalam, kami warga As Syddiq amat berbesar hati diatas kepercayaan yang telah diberikan kepada ibubapa untuk kami warga As Syddiq. Semoga hasrat kami untuk melahirkan generasi kepimpinan yang bakal memulakan langkah dalam agenda perubahan dengan melaksanakan proses pembinaan (tarbiah) di tahap diri, keluarga dan masyarakat secara serentak dapat dicapai. Bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud :-

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra’d:11)

Gambar sekitar suasana taklimat pelajar tingkatan 1 :

Gambar sekitar suasana taklimat pelajar tingkatan 4 :

 

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Bt Atan

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

Jati Diri Kesukarelawanan 2016

Alhamdulillah, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal melabuhkan tirainya secara rasmi pada 06 Disember 2016. Bagi pelajar-pelajar di As Syddiq, mereka telah pun menghabiskan kertas terakhir mereka secara rasmi pada 24 Disember 2016 yang lalu.

Sebagai institusi yang sentiasa berpegang kepada prinsip memperbaiki kualiti diri kerana Allah dan mendidik kerana Allah, program kemuncak bagi pelajar yang bakal meninggalkan alam persekolahan sudah lama diaturkan oleh pihak HALUAN. Selaku generasi kedua pelapis As Syddiq, mereka telah lama didedahkan dengan program-program yang telah diaturkan oleh HALUAN pusat. Program Jati Diri Kesukarelawanan  (JDK) merupakan program yang sangat ditunggu-tunggu.

Apa itu JDK? Bagi yang baru mengenali As-Syddiq dan HALUAN, JDK mungkin kedengaran asing di halwa telinga, tetapi sebenarnya JDK adalah program yang sudah hampir 7 tahun bertapak. Kali pertama ia diadakan di Terengganu selama hampir 2 bulan. Saban tahun JDK tidak pernah culas memperbaiki mutu program  dengan menyediakan program-program yang memberikan penekanan kepada aspek pembentukan jati diri dan kesukarelawanan kepada pelajar lepasan SPM.

Mengapa pelajar-pelajar ini wajib menyertai JDK? Program ini dibangunkan untuk mendedahkan pelajar kepada kemahiran berorganisasi, pengurusan dan komunikasi.  Selain dari itu JDK membina kemahiran pengurusan diri dan  melahirkan individu yang sayang dan sanggup berbakti kepada masyarakat serta melahirkan kepimpinan pelajar berwibawa dan berketerampilan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang JDK, mari kita sama-sama layari laman web dibawah untuk maklumat lanjut.

http://www.jdk.haluan.org.my

photo_2016-11-29_12-35-06.jpg

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

Selamat Berjuang Anak-Anak As Syddiq

“Jangan direnung letihnya usaha

Tetapi renunglah manisnya sebuah kejayaan”

Insya Allah hari ini akan bermula perjuangan 23 orang pelajar As-Syddiq untuk menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Demam peperiksaan yang telah pun bermula sejak percubaan lalu sedikit sebanyak membakar semangat pelajar untuk memperbaiki seberapa banyak kesilapan yang telah dilakukan.

Di minggu-minggu terakhir menjelang peperiksaan, guru-guru As-Syddiq dan guru-guru sahabat HALUAN dan KPM tidak putus-putus menyumbang segala ilmu yang ada untuk dikongsikan kepada pelajar-pelajar ini. Syukran Jazilan diucapkan kerana ada diantara mereka yang sanggup datang berhari-hari tanpa menuntut sebarang bayaran kerana saham akhirat yang lebih dikejar. Sekali lagi kami  dari pihak pengurusan mengucapkan terima kasih.

Pada tahun ini calon-calon dari As-Syddiq akan menduduki peperiksaan dari 07 November 2016 dengan kertas pada hari pertama Bahasa Melayu 1&2 dan Pendidikan Seni Visual Kertas 1. Insya Allah bakal berakhir pada 24 November 2016 dengan kertas bagi subjek Perdagangan.

Doa kami dari pihak ALP,PIBG, sekolah dan mereka-mereka yang terlibat didalam membangunkan generasi pewaris As-Syddiq ini agar momentum mereka selama 3 minggu peperiksaan berada di tahap paling optimum.

Memetik dari ucapan terakhir pengetua kepada ibubapa pelajar tingkatan 5 Al-Kindi, beliau sempat menitipkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT dan selawat dan salam keatas Nabi Junjungan SAW, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru yang masih membimbing pelajar disaat akhir SPM 2016. Tidak dilupakan para ibubapa yang tidak putus-putus memberikan bantuan dan komitmen secara langsung atau tidak dan kerjasama yang telah diberikan. Marilah kita memperbanyakkan berisgtigfar, bertasbih serta memohon taubat kepada Allah dan seterusnya memohon kemenenangan kepada Allah kerana Allah yang akan menganugerahkan kemenangan kepada kita.

Kepada ibubapa yang anak-anak mereka sedang menduduki peperiksaan, mari kita amalkan untuk keringatan anak-anak kita.

  1. Berpuasa sunat pada hari anak-anak menduduki peperiksaan.

 

Antara doa yang paling dimakbulkan oleh Allah ialah doa ibubapa. Doa orang yang berpuasa juga amat mudah dimakbulkan oleh Allah. Jadi jika ibubapa yang berpuasa dan mendoakan kejayaan untuk anak-anaknya pastilah lebih makbul.

 

  1. Lakukan solat taubat dan solat hajat.

 

Lakukan solat sunat taubat dan solat hajat memohon agar anak tenang serta dapat jawab semua soalan peperiksaan dengan cemerlang.

Allah amat suka hambaNya yang seringkali bertaubat. Jadi pastinya doa yang tulus ikhlas daripada orang yang bertaubat akan mudah diperkenankan Allah.

 

  1. Baca Quran dan hadiahkan pahala kepada anak.

 

Baca Quran dan pahalanya diniatkan untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan agar terang hati dan tenang fikiran.

 

  1. Lakukan solat Dhuha

 

Lakukan solat dhuha di pejabat, di rumah ataupun di surau sekolah sewaktu menunggu anak-anak yang sedang berjuang di dewan peperiksaan. Doalah untuk kejayaan anak di dalam solat dan selesai solat.

 

  1. Sedekah di masjid, rumah anak yatim dan hadiahkan pahala untuk anak.

 

Semoga amalan ini akan memudahkan doa ibubapa untuk kejayaan anak-anak dalam peperiksaan akan mudah termakbul. Ini adalah kerana amalan sedeqah amat disukai Allah. Orang yang menerima sedeqah ini juga mungkin akan mendoakan kejayaan dan kesejahteraan pemberi sedeqah.

 

  1. Berterusan berzikir dan berdoa.

 

Samada anda berada di pejabat, di rumah ataupun di sekolah menunggu anak-anak yang sedang berada di dewan peperiksaan, jangan putus-putus berzikir dan berdoa kepada Allah untuk kejayaan anak-anak di dewan peperiksaan.

Allah akan mengingati kepada hambaNya yang mengingati lebih daripada hambaNya mengingatiNya. Moga amalan berzikir dan berdoa dengan berterusan ini akan memudahkan Allah memakbulkan doa kita supaya anak-anak berjaya dalam peperiksaan.

 

  1. Hantar gelombang positif kepada anak.

 

Ini adalah law of attraction dan law of vibration. Kita yakin dan bayangkan yang positif. Bayangkan wajah anak dan yakin dia dapat jawab semua soalan dengan tepat. InsyaAllah mereka berjaya di dewan peperiksaan.

Hadith Qudsi, Allah berfirman:

“Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari”.
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)

  1. Benar-benar bertawakkal kepada Allah dan redha dengan segala ketentuanNya.

 

Setelah segala usaha kita dan anak kita buat sepanjang tahun sebagai usaha untuk menghadapi peperiksaan ini, inilah masanya kita bertawakkal kepada Allah Yang Maha Mengetahui.

 

Moga amalan oleh ibubapa semasa anak di dalam dewan peperiksaan ini ataupun peperiksaan-peperiksaan lain akan memberi kejayaan yang didambakan. Ia juga akan dapat memberi ketenangan kepada anak yang sedang berjuang di dalam dewan peperiksaan dan juga kepada ibubapa yang menunggu di luar.

 

Segala hasilnya nanti kita serahkan kepada Allah jua. Moga Allah jayakan semua anak-anak yang sedang meduduki peperiksaan. Aameen.

 

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

 

Seminar Mahligai Impian – Bahagian Terakhir

Tajuk                     : Mencari Cinta Lestari

Moderator          :  Dr Johari Bin Surif

Panel 1                 : Dr Razali Bin Maarof

Panel 2                 : Pn Hjh Ezura Nashuha Binti Omar @ Abd Hadi

 

Assalamualaikum wbt, Alhamdulillah kita telah pun sampai ke bahagian terakhir dapatan dari Seminar Mahligai Impian kali ke-8, kali ini penulis akan berkongsi tips-tips yang telah dikongsi didalam perbincangan forum yang telah diadakan.

Terdapat pelbagai faktor dan kaedah untuk membina cinta lestari, berikut penulis kongsikan untuk tatapan pembaca-pembaca sekalian.

  • Jadilah pasangan yang setia mendengar (good listener). Proses ini sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi dan ia amat memerlukan masa
  • Memahami kelemahan dan kelebihan pasangan masing-masing
  • Hidupkan hati dengan iman kerana kukuhnya iman akan terbangunlah keyakinan.
  • Puji kebaikan pasangan dan sentiasalah menghargai pasangan. Jadikanlah rumahtangga sebagai sekolah kehidupan
  • Tambah ilmu dengan menghadiri majlis ilmu dan dapatkan seberapa banyak ilmu.
  • Latih diri untuk belajar mengambil tanggungjawab dan sentiasa ikhlaskan diri
  • Bukakan hati  dan sedarilah bahawa pengetahuan tentang agama, kekuatan iman dapat melahirkan generasi pewaris yang dapat membawa kita ke syurga.

 

Untuk memperoleh sesuatu yang kekal abadi ia bukanlah suatu jalan yang mudah, terdapat pelbagai cabaran yang harus ditempoh. Mari kita hayati bersama apakah cabaran yang harus ditempuh dan bagaimana untuk mengatasinya :-

 

  • Faktor ekonomi, bila mana kita mula menyalahkan akan tanggungjawab dan hak yang harus dipikul. Wahai para suami, janganlah kamu anggap memberikan nafkah kepada isteri sebagai satu bebanan tetapi anggaplah ia sebagai satu keistimewaan yang kamu miliki. Jangan malas bekerja dan biarkan isterimu yang menanggung segala-galanya.
  • Faktor komunikasi , ikutlah apa yang Al-Quran dan Sunnah perintahkan kepada kita, jangan hanya mahu satu pihak sahaja yang menang, setiap pasangan jangan selalu memendam rasa, luahkanlah apa yang terbuku dihati dan carilah jalan penyelesaian dengan cara yang paling berhemah.
  • Kurang penghayatan agama, janganlah setiap pasangan mencetuskan masalah dengan mencari orang ketiga, kuatkanlah iman dari terpengaruh dari pengaruh media sosial, kerana jika ianya berlaku tiada lagi barakah dan rahmah didalam rumahtangga.
  • Sentiasa ingati diri sendiri supaya jangan meletak harapan pada manusia tapi letakkan harapan dan keyakinan kita kepada Allah SWT. Banyakkan berdoa dan berserah kepada Allah SWT, sentiasalah bersama suka dan duka kerana bukan selamanya kita akan berada di puncak.

 

Teringat pada kata-kata seorang pujangga :-

Sungguh ajaib manusia muslim bila dia bersabar apabila ditimpa musibah dan dia bersyukur apabila diberikan nikmat

Sebelum berpisah marilah sama-sama kita membina visi keluarga muslim, tanyalah diri kemana mahu kita bawa rumahtangga yang bakal / telah dibina, fahamilah dengan jelas konsep baitul muslim. Koreksi diri untuk apa kita bernikah dan apa yang akan kamu harapkan didalam sebuah perkahwinan. Hayati makna dari surah Al-Tahrim ayat ke-6 yang bermaksud : Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjanganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

 

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

 

 

 

 

Seminar Mahligai Impian – Bahagian 2

Tajuk                     : Cinta Lestari

Penyampai         :  Dr Razali Bin Maarof

Bertemu kembali untuk bahagian kedua, dapatan dari Seminar Mahligai Impian kali ke-8. Penulis ingin menyambung kembali catatan yang ditimba dari slot seterusnya dari Dr Razali Bin Maarof, seorang motivator  dan penulis yang menyumbang artikelnya di laman sesawang familimithali.com. Beliau menggunakan perkataan lestari sebagai medium untuk mencapai mahligai yang diimpikan.

Apakah yang dimaksudkan dengan lestari? Lestari boleh diterjemahkan sebagai kekal, bagaimana untuk mengekalkan rasa cinta? Dewasa kini keruntuhan rumah tangga kian ketara, apakah penyebabnya? Ternyata faktor kurangnya nilai agama menjadi pelopor kepada permasalahan yang berlaku. Selain faktor tersebut, kemampuan berkomunikasi dengan baik juga turut menyumbang kepada kegagalan rumah tangga.

Kesedaran diri akan makna sebuah perkahwinan mampu untuk mengekalkan kesejahteraan rumahtangga. Setiap pasangan harus fokus akan tanggungjawab, melengkapkan diri dengan persediaan sebelum dan selepas berkahwin dan yang paling utama menanamkan iman dalam perkahwinan yang dibina. Elakkanlah dari memikirkan perkara-perkara yang negatif yang mampu merosakkan rumahtangga yang dibina. Adakalanya sesetengah  pasangan memiliki rasa ego yang tinggi tidak mahu menerima kelemahan dan kekurangan diri, sedangkan jika dilihat dari cermin diri, dia juga tidak sempurna. Wajah sebenar pasangan hanya akan jelas terlihat apabila perkahwinan itu telah berlangsung.

Penceramah turut menambah cinta harus ditumbuhkan dengan ketaqwaan dan ihsan. Sumber kebaikan bagi seorang muslim di dalam semua aspek kehidupan akan membantu mengikat utuhnya jalinan cinta berpasangan. Cinta sewajarnya didasari oleh kecintaan kepada Allah, mencintai kerana Allah dan hanya bertujuan mengharap keredhaan Allah serta saling mencintai antara satu sama lain sesuai dengan yang kehendak dan yang diredhai oleh Allah.

Teringat penulis pada catatan seorang sahabat berkenaan asas keluarga Islam iaitu taqwa. Taqwa itulah yang menjinakkan hati-hati suami isteri. Taqwalah melembutkan tingkah laku, membersihkan jiwa, menyedarkan tanggungjawab kepada Allah Subhanahuwata’ala, memudahkan pengurusan, mencegah kejahatan dan mendorong kepada kebaikan. Kata-kata seorang pujangga yang lahir dari ruh Al Qur’an dan AsSunnah:

“Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dalam semua hal. Janganlah kamu menolak taqwa kerana mengutamakan keturunan semata-mata. Sesungguhnya Islam telah mengangkat darjat Salman Al Farisi, dan kekufuran telah menjatuhkan martabat Abu Lahab”.

Kata yang lain pula:

“Hendaklah kamu bekalkan diri kamu dengan taqwa. Sesungguhnya kamu tidak mengetahui, apabila datang waktu malam apakah kamu akan hidup sampai waktu fajar. Berapa banyak orang yang sihat tetapi menemui maut tanpa sebab. Berapa banyak orang yang sakit tetapi telah hidup dalam jangka waktu yang panjang. Berapa banyak pemuda, samada petang atau pagi, ketawa riang sedangkan kain kapannya sedang ditenun tanpa diketahuinya”.

Mustafa Al Masyhur dalam buku Tariqudda’wah membawa rangkap pujangga Arab Islam yang bermaksud:

“Aku tidak nampak kebahagiaan itu terletak pada kerja-kerja meng­himpunkan harta tetapi orang yang bertaqwa itulah yang merasai kebahagiaan sebenar”.

Jika terdapat taqwa pada kedua-dua pasangan hidup lelaki dan perempuan, maka itu faktor terbesar untuk melahirkan suasana mesra, kasih dan kerukunan yang sebenarnya. Allah-lah yang mem­berikan kasih sayang dan menjinakkan hati-hati mereka.

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/