Tag Archives: pengorbanan

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ SESI 2017

“ Setiap di kalangan kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin. Memetik hadis Nabi s.a.w, pemimpin di sekolah terdiri dari pengawas yang mana mereka merupakan kumpulan pelajar yang dihormati di sekolah. Mereka merupakan pelajar-pelajar pilihan yang mempunyai keterampilan dan kecemerlangan  baik dari aspek akademik, sahsiah mahupun kokurikulum. Mereka merupakan role model kepada pelajar-pelajar lain.

Oleh yang demikian sebagai tanda pengiktirafan , Alhamdulillah satu sesi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah diadakan pada 5 Februari 2017 bertempat di Dataran Plus SMIAS. Majlis ini telah dijalankan semasa perhimpunan rasmi bermula seawal jam 8.00 pagi Objektif majlis ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan dan semangat kepada pengawas supaya melakukan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab. Selain itu semoga dengan pelantikan ini semua pengawas yang telah dilantik dapat menggalas dan menyempurnakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan sekolah tanpa rasa ragu.

Sesi penyerahan watikah pelantikan pengawas telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail dan diiringi oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif. Bacaan ikrar pengawas telah dijalankan selepas kesemua pengawas menerima watikah pelantikan dan ianya telah diketuai oleh Ketua Pengawas  saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi. Setelah itu disampaikan beberapa amanat penting kepada semua pengawas oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif.

Pada keseluruhannya , majlis ini telah sempurna dijalankan dengan kerjasama semua guru dan pihak yang terlibat. Majlis seperti ini dilihat penting bagi menghargai tugas-tugas pengawas dan menyuntik  semangat mereka  dalam menjalankan tugas yang diberi di atas bahu mereka. Semoga pengawas yang dilantik pada tahun ini dapat menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya…

Suasana sekitar majlis :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

Advertisements

IJTIMA’ AM KALI PERTAMA BERSAMA CIKGU ANUAR BIN DAUD

Alhamdulillah…Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya pihak HALUAN Johor telah mengadakan Ijtimak  Am kali pertama bertempat di Sekolah Rendah Islam As Syddiq pada tarikh 14 Januari 2017 bermula jam 9.00 pagi.

Ijtimak dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Naufal bin Ahmad Khusairi dan bacaan al Quran oleh saudara Ahmad Thaqif bin Ahmad Teridi.Seterusnya  pengerusi majlis Tuan Hj Mohd Yusof bin Kaslan  menjemput Prof. Sr. Dr. Abd Hakim  bin Mohammed, Yang Dipertua HALUAN Negeri Johor  menyampaikan sedikit kata-kata aluan.

Prof. Sr. Dr.  Abd Hakim berpesan bahawa Ijitimak Am ini diadakan bertujuan yang pertamanya adalah  untuk mengingatkan kembali perkara-perkara penting dalam kehidupan kita supaya kembali kepada Allah, dan yang keduanya Ijtimak Am ini merupakan satu medan pertemuan antara sahabat dan sahibah HALUAN di Johor. Profesor Dr Abd Hakim juga mengingatkan semua ahli HALUAN Johor untuk melihat kembali keadaan umat Islam pada masa kini dan diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap umat Islam sekarang ini. Seterusnya diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat membina jati diri yang kukuh supaya kita benar-benar hidup dalam suasana Islam yang diredhai Allah s.w.t.

Ijtimak diteruskan dengan penyampaian dari Cikgu Anuar bin Daud yang bertajuk PERJALANAN YANG JAUH. Tajuk ini mengupas tentang bagaimana kita sebagai seorang umat Islam yang telah berbaiah dengan lafaz yang kita lafazkan untuk kita memperhambakan diri kita kepada Allah dan seterusnya mencapai kemenangan bukan sahaja di dunia tetapi kemenangan di akhirat.

Untuk mencapai kemenangan tersebut memerlukan kepada kekuatan iman yang mendalam di samping merasa agong dan mulia dalam mendepani seluruh reality kehidupan yang bertentangan dengan iman. Selain itu ianya memerlukan kepada kesabaran yang utuh untuk melipatgandakan kekuatan tersebut  dan menutup celah – celah kelemahan seorang insan. Diharapkan daripada penyampaian yang disampaikan ini dapat menyedarkan kembali hati-hati insan yang mendengarnya dan memperbaiki diri demi mendapat redha Ilahi.

Alhamdulillah majlis bersurai pada jam 12.00 tengahari dan diteruskan dengan sesi menjamu selera.

Suasana sekitar ijtima’ am :

 

Rakaman Lensa As Syddiq

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

LAPORAN :

MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Kem Minda Kreatif (KMK) & Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST)

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Alhamdulillah, baru-baru ini kami di As Syddiq telah pun selesai melaksanakan 2 program mega bagi pelajar tingkatan 1 sehingga 4 iaitu Kem Minda Kreatif (KMK) dan ProCAST (Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji). Selaras dengan falsafah pendidikan di As-Syddiq yang mahukan pelajar yang memiliki pendidikan terancang, kemaskini dan terpimpin, berteraskan tauhid, mentarbiah dan meningkatkan potensi pelajar kearah melahirkan insan cemerlang yang seimbang dari segi rohani, akal, jasmani dan emosi dan seterusnya berkhidmat kepada Islam untuk kemakmuran alam sejagat.

Kali ini kami di pihak sekolah telah bersetuju untuk memilih Kem PLKN, Teluk Sari Mersing sebagai lokasi program. Keterujaan jelas kelihatan, apabila berbondong-bondong pelajar mula membanjiri ruang legar persekolahan seawal jam 7.30 pagi. Petugas-petugas kantin sudah bersiap sedia dengan menu istimewa “Nasi Lemak As Syddiq” khusus untuk santapan peserta program. Program yang berdurasi selama 3 hari ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 216 orang peserta dari kalangan pelajar As Syddiq dan pelajar-pelajar dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Kolaborasi guru-guru As Syddiq dan guru-guru dari Kelab Guru HALUAN  banyak membantu didalam melicinkan perjalanan program. Kami sama-sama bergerak didalam menyampaikan wadah bagi melahirkan insan cemerlang yang diredhai Allah.

Bagi yang baru mengenali As Syddiq KMK adalah program yang dibangunkan khusus untuk pelajar tingkatan 1 sehingga 3, dengan tema “Rabbani Impian Syurga”. Pelbagai pengisian disusun bagi mencapai objektif yang disasarkan. Masa peserta yang menghadiri program ini sentiasa dimanfatkan dengan aktiviti yang membentuk jiwa dan peribadi. Penulis tertarik untuk berkongsi beberapa aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti “Subuh Circle” dan “Explorace”. Ia sangat bertepatan sekali dengan lagu tema program “Hadapilah” oleh Shoutul Harakah. Bait-bait liriknya mendorong peserta untuk kuat menghadapi segala rintangan dan cabaran sebagai seorang pelajar dan jangan pernah berputus asa kerana Allah sentiasa berada bersama orang-orang yang selalu mengingatinya.

Berbeza sedikit dengan ProCAST, ia lebih menjurus kepada pembentukkan kepimpinan pelajar. Bersesuaian dengan tahap pelajar Tingkatan 4 yang baru menginjak ke alam remaja, ProCAST lebih selektif didalam pemilihan modul seperti komunikasi, pengurusan emosi dan 3 persoalan hidup. Bagi memantapkan program yang diatur, penceramah-penceramah yang berpengalaman diundang untuk menyampaikan wadah yang berguna kepada pelajar. Jika KMK memilih “Hadapilah”,  ProCAST memilih lagu “Mujahid Setia” sebagai tema di sepanjang program. Semangat yang dibawa dari lagu tersebut sememangnya memberi inspirasi kepada peserta yang terlibat.

Besarlah harapan kami agar program-program yang telah disertai oleh pelajar-pelajar ini dapat membentuk mereka menjadi insan yang bertakwa dan berketrampilan. Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program KMK dan ProCAST.

Berikut adalah montaj yang dihasilkan dipenghujung program, mari kita ikuti :

Montaj KMK :

Montaj ProCAST :

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Menghayati makna di sebalik peristiwa korban

Selamat Menyambut Aidiladha . . .

Menghayati makna di sebalik peristiwa korban

Hari Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya.

Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail.

Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata,”mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.”

Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih”. Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.

Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya”.

Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah SWT.

Seharusnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan berulangkali agar ia tidak dilupakan, terutamanya oleh generasi muda. Berapa ramai agaknya anak muda di zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri disembelih oleh ayah sendiri?

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walapun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.

Peristiwa tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat sukar.

Ibadat haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya, apabila seorang suami berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya serta pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak.

Seorang ibu yang sanggup tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit juga telah berkorban. Tidak terkecuali pengorbanan ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.

Dalam aspek kemasyarakatan, individu yang sanggup berkorban bakal mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan tenang di dalam sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu membantu akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain.

Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat dari mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas kerana Allah yakni, bagi mendapat keredhaan Allah semata-mata, bukan dengan tujuan untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.

Harus diingat bahawa setiap dari kita berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Memetik kata-kata seorang cendekiawan, “Isteri jadilah Siti Hajar walau suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita Nabi Ismail”.

Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia

– Ditulis oleh Mastura binti Mohd Zain –

#Aidiladha
#ertipengorbanan
#HariRayaKorban

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/