Tag Archives: pepustakawan

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ SESI 2017

“ Setiap di kalangan kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin. Memetik hadis Nabi s.a.w, pemimpin di sekolah terdiri dari pengawas yang mana mereka merupakan kumpulan pelajar yang dihormati di sekolah. Mereka merupakan pelajar-pelajar pilihan yang mempunyai keterampilan dan kecemerlangan  baik dari aspek akademik, sahsiah mahupun kokurikulum. Mereka merupakan role model kepada pelajar-pelajar lain.

Oleh yang demikian sebagai tanda pengiktirafan , Alhamdulillah satu sesi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah diadakan pada 5 Februari 2017 bertempat di Dataran Plus SMIAS. Majlis ini telah dijalankan semasa perhimpunan rasmi bermula seawal jam 8.00 pagi Objektif majlis ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan dan semangat kepada pengawas supaya melakukan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab. Selain itu semoga dengan pelantikan ini semua pengawas yang telah dilantik dapat menggalas dan menyempurnakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan sekolah tanpa rasa ragu.

Sesi penyerahan watikah pelantikan pengawas telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail dan diiringi oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif. Bacaan ikrar pengawas telah dijalankan selepas kesemua pengawas menerima watikah pelantikan dan ianya telah diketuai oleh Ketua Pengawas  saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi. Setelah itu disampaikan beberapa amanat penting kepada semua pengawas oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif.

Pada keseluruhannya , majlis ini telah sempurna dijalankan dengan kerjasama semua guru dan pihak yang terlibat. Majlis seperti ini dilihat penting bagi menghargai tugas-tugas pengawas dan menyuntik  semangat mereka  dalam menjalankan tugas yang diberi di atas bahu mereka. Semoga pengawas yang dilantik pada tahun ini dapat menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya…

Suasana sekitar majlis :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

KEM KEPIMPINAN PENGAWAS SEKOLAH,PENGAWAS PUSAT SUMBER & PENGAWAS SERTA AJK ASRAMA SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ 2017

Hadis Rasulullah s.a.w mafhumnya “Setiap  di kalangan kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin. Memetik hadis Rasulullah s.a.w ,Alhamdulillah pada 20 Januari 2017 pada hari Jumaat yang penuh barakah telah diadakan program Kem Kepimpinan  Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber dan Pengawas serta AJK Asrama Sekolah Menengah Islam As Syddiq bagi sesi 2017.

Tujuan kem kepimpinan ini diadakan adalah bagi memberi kefahaman kepada kepimpinan pelajar dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan di samping menyedarkan mereka bahawa tugas sebagai seorang pemimpin ini adalah satu tugas yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Kem kepimpinan ini telah dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Mudir Sekolah Menengah Islam As Syddiq iaitu Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Kem diteruskan dengan sesi Ice Breaking yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Hazami bin Mohd Taib dan Ustazah Fathymah binti Badruzzaman.

Selepas berehat, kem disambung dengan Slot 1 yang bertajuk Akhlak dan Senario Pelajar Terkini. Slot ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail. Dalam slot tersebut, para pemimpin pelajar dibawa mengenali bagaimana akhlak dan senario pelajar terkini dan bagaimana cara untuk berhadapan dengan cabaran tersebut agar setiap tindakan yang diambil merupakan tindakan yang berhemah dan berhikmah.Selepas selesai slot pertama, kesemua para pimpinan pelajar duduk di dalam kumpulan masing-masing bagi membincangkan tentang projek yang ingin mereka laksanakan bagi tahun 2017. Melalui perbincangan ini ianya dapat mencungkil idea dan pandangan para pimpinan pelajar dalam melaksanakan aktiviti yang sesuai kepada anak-anak buah mereka.

Pada sebelah petang pula GPK HEM iaitu Puan Noor Rahizah binti Abdul Rahman telah menyampaikan slot yang bertajuk Tanggungjawab dan Kepimpinan.Diharapkan melalui slot yang disampaikan ini, semua kepimpinan pelajar Sekolah Menengah Islam As Syddiq  menyedari tentang tugas dan amanah yang telah diberikan dan seterusnya dapat menjadi role model kepada rakan-rakan yang lain.Selesai slot tersebut, pelajar berkumpul mengikut jawatan dan bidang tugas masing-masing untuk sesi penerangan bidang tugas  yang disampaikan oleh guru penasihat setiap pengawas. Kem Kepimpinan ini berakhir dengan Majlis Penutup Kem yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail. Kem bersurai pada jam 6.30 petang. Semoga kem ini dapat memberikan semangat dan dorongan kepada semua kepimpinan pelajar Sekolah Menengah Islam As Syddiq untuk meneruskan  amanah yang dipikul. Ibarat kata pepatah “ Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing”.

Suasana sekitar kem kepimpinan :

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA