Tag Archives: perjalanan hidup

Karnival Pendidikan Islam (MTQ) Peringkat Daerah Antara Sekolah Menengah Daerah Kluang tahun 2017.

IMG-20170807-WA0001IMG-20170807-WA0002

Tanggal 28 Mac 2017 bersamaan hari Selasa, telah berlangsungnya Karnival Pendidikan Islam (MTQ) Peringkat Daerah Antara Sekolah Menengah Daerah Kluang anjuran PPD Kluang bagi tahun 2017 yang bertempat di SMK Datuk Abdul Rahman Andak (SEDARA) dan SMK Datuk Ibrahim Majid Simpang Renggam, Kluang Johor. Karnival ini telah mempertandingkan sebanyak 13 acara yang disertai oleh 28 buah sekolah di daerah Kluang. SM Islam As-Syddiq mengambil bahagian dan mewakili sekolah untuk 6 acara sahaja.

Pihak SM Islam As-Syddiq ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Muhamad Naufal bin Ahmad Khushairi kerana telah berjaya merangkul Naib Johan dalam acara Kalimatus Sobah manakala peserta lain hanya membawa pulang hadiah saguhati dan sijil penyertaan. Pihak karnival juga mengucapkan sekalung penghargaan kepada Puan Noor Rahizah Abd Rahman selaku AJK Hadiah dan Cenderamata dan Ustaz Mujahid Khamis sebagai Hakim Acara Hafazan Al-Quran (L) atas kerjasama yang diberikan dalam melancarkan perjalanan majlis.

Banyak perkara dan hikmah di sebalik penganjuran Karnival MTQ ini. Selepas ditemu bual, rata-rata peserta SMI As-Syddiq dapat memperoleh pengalaman dan pengetahuan baru selain aktiviti dalam bilik darjah. Selain itu juga mereka dapat menambah kenalan baru dari sekolah-sekolah Daerah Kluang. Sebagai contoh, peserta taranum Muhammad Ting 5, rasa berbangga dapat belajar tentang taranum Al-Quran dan cuba untuk bertanding ke peringkat lebih tinggi kerana sebelum ini beliau pun tiada pengalaman bertaranum bidang Qiraat.

Berbeza dengan Muhamad Naufal Ting 5, beliau rasa sangat bersyukur walaupun Naib Juara yang diperoleh berjaya dikekalkan seperti tahun lepas, namun pertandingan tahun ini dirasakan mencabar kerana jumlah peserta lain yang ramai dan saingan yang lebih sengit. Begitu juga dengan Thaqif dan Syuraih Ting 5, walaupun dapat menjangkakan tidak mendapat sebarang mata, namun mereka masih berpuas hati dapat mencuba nasib dan berbangga kerana dapat mewakili sekolah untuk memperoleh mata merit dalam Sijil Ko-kurikulum.

Akhir kata, diharapkan Karnival Pendidikan Islam MTQ dapat dianjurkan lagi pada tahun-tahun yang akan datang dan SMIAS dapat menghantar lebih ramai pelajar dalam setiap acara yang dipertandingkan. Hal ini kerana berasaskan kelebihan-kelebihan dan hikmah yang diperoleh oleh para pelajar sangat bernilai untuk masa akan datang.

Suasana sekitar program :

——————————-
Team Media As Syddiq

——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

 

 

IJTIMA’ AM KALI PERTAMA BERSAMA CIKGU ANUAR BIN DAUD

Alhamdulillah…Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya pihak HALUAN Johor telah mengadakan Ijtimak  Am kali pertama bertempat di Sekolah Rendah Islam As Syddiq pada tarikh 14 Januari 2017 bermula jam 9.00 pagi.

Ijtimak dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Naufal bin Ahmad Khusairi dan bacaan al Quran oleh saudara Ahmad Thaqif bin Ahmad Teridi.Seterusnya  pengerusi majlis Tuan Hj Mohd Yusof bin Kaslan  menjemput Prof. Sr. Dr. Abd Hakim  bin Mohammed, Yang Dipertua HALUAN Negeri Johor  menyampaikan sedikit kata-kata aluan.

Prof. Sr. Dr.  Abd Hakim berpesan bahawa Ijitimak Am ini diadakan bertujuan yang pertamanya adalah  untuk mengingatkan kembali perkara-perkara penting dalam kehidupan kita supaya kembali kepada Allah, dan yang keduanya Ijtimak Am ini merupakan satu medan pertemuan antara sahabat dan sahibah HALUAN di Johor. Profesor Dr Abd Hakim juga mengingatkan semua ahli HALUAN Johor untuk melihat kembali keadaan umat Islam pada masa kini dan diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap umat Islam sekarang ini. Seterusnya diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat membina jati diri yang kukuh supaya kita benar-benar hidup dalam suasana Islam yang diredhai Allah s.w.t.

Ijtimak diteruskan dengan penyampaian dari Cikgu Anuar bin Daud yang bertajuk PERJALANAN YANG JAUH. Tajuk ini mengupas tentang bagaimana kita sebagai seorang umat Islam yang telah berbaiah dengan lafaz yang kita lafazkan untuk kita memperhambakan diri kita kepada Allah dan seterusnya mencapai kemenangan bukan sahaja di dunia tetapi kemenangan di akhirat.

Untuk mencapai kemenangan tersebut memerlukan kepada kekuatan iman yang mendalam di samping merasa agong dan mulia dalam mendepani seluruh reality kehidupan yang bertentangan dengan iman. Selain itu ianya memerlukan kepada kesabaran yang utuh untuk melipatgandakan kekuatan tersebut  dan menutup celah – celah kelemahan seorang insan. Diharapkan daripada penyampaian yang disampaikan ini dapat menyedarkan kembali hati-hati insan yang mendengarnya dan memperbaiki diri demi mendapat redha Ilahi.

Alhamdulillah majlis bersurai pada jam 12.00 tengahari dan diteruskan dengan sesi menjamu selera.

Suasana sekitar ijtima’ am :

 

Rakaman Lensa As Syddiq

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

LAPORAN :

MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/