Tag Archives: ProCAST

Kem Minda Kreatif (KMK) & Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST)

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Alhamdulillah, baru-baru ini kami di As Syddiq telah pun selesai melaksanakan 2 program mega bagi pelajar tingkatan 1 sehingga 4 iaitu Kem Minda Kreatif (KMK) dan ProCAST (Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji). Selaras dengan falsafah pendidikan di As-Syddiq yang mahukan pelajar yang memiliki pendidikan terancang, kemaskini dan terpimpin, berteraskan tauhid, mentarbiah dan meningkatkan potensi pelajar kearah melahirkan insan cemerlang yang seimbang dari segi rohani, akal, jasmani dan emosi dan seterusnya berkhidmat kepada Islam untuk kemakmuran alam sejagat.

Kali ini kami di pihak sekolah telah bersetuju untuk memilih Kem PLKN, Teluk Sari Mersing sebagai lokasi program. Keterujaan jelas kelihatan, apabila berbondong-bondong pelajar mula membanjiri ruang legar persekolahan seawal jam 7.30 pagi. Petugas-petugas kantin sudah bersiap sedia dengan menu istimewa “Nasi Lemak As Syddiq” khusus untuk santapan peserta program. Program yang berdurasi selama 3 hari ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 216 orang peserta dari kalangan pelajar As Syddiq dan pelajar-pelajar dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Kolaborasi guru-guru As Syddiq dan guru-guru dari Kelab Guru HALUAN  banyak membantu didalam melicinkan perjalanan program. Kami sama-sama bergerak didalam menyampaikan wadah bagi melahirkan insan cemerlang yang diredhai Allah.

Bagi yang baru mengenali As Syddiq KMK adalah program yang dibangunkan khusus untuk pelajar tingkatan 1 sehingga 3, dengan tema “Rabbani Impian Syurga”. Pelbagai pengisian disusun bagi mencapai objektif yang disasarkan. Masa peserta yang menghadiri program ini sentiasa dimanfatkan dengan aktiviti yang membentuk jiwa dan peribadi. Penulis tertarik untuk berkongsi beberapa aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti “Subuh Circle” dan “Explorace”. Ia sangat bertepatan sekali dengan lagu tema program “Hadapilah” oleh Shoutul Harakah. Bait-bait liriknya mendorong peserta untuk kuat menghadapi segala rintangan dan cabaran sebagai seorang pelajar dan jangan pernah berputus asa kerana Allah sentiasa berada bersama orang-orang yang selalu mengingatinya.

Berbeza sedikit dengan ProCAST, ia lebih menjurus kepada pembentukkan kepimpinan pelajar. Bersesuaian dengan tahap pelajar Tingkatan 4 yang baru menginjak ke alam remaja, ProCAST lebih selektif didalam pemilihan modul seperti komunikasi, pengurusan emosi dan 3 persoalan hidup. Bagi memantapkan program yang diatur, penceramah-penceramah yang berpengalaman diundang untuk menyampaikan wadah yang berguna kepada pelajar. Jika KMK memilih “Hadapilah”,  ProCAST memilih lagu “Mujahid Setia” sebagai tema di sepanjang program. Semangat yang dibawa dari lagu tersebut sememangnya memberi inspirasi kepada peserta yang terlibat.

Besarlah harapan kami agar program-program yang telah disertai oleh pelajar-pelajar ini dapat membentuk mereka menjadi insan yang bertakwa dan berketrampilan. Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program KMK dan ProCAST.

Berikut adalah montaj yang dihasilkan dipenghujung program, mari kita ikuti :

Montaj KMK :

Montaj ProCAST :

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Advertisements

Kenangan Di ProCAST 2015

Alhamdulillah, semalam selesai sudah program ProCAST 2015 yang diadakan di Tanjung Piai Resort, Pontian. Program yang berdurasi 4 hari 3 malam itu telah menarik hampir 80 orang peserta dari 18 buah sekolah sekitar daerah Johor.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan barisan kepimpinan yang begitu berdedikasi. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Kem Komanden En Mohd Iskandar Saat dan Timbalan Kem Komanden Cik Nurul Asyikin Bt Saat. Gandingan 2 beradik ini telah berjaya melenyapkan pandangan negatif segelintir peserta yang pada asalnya berdolak-dalik untuk ke program ini. Alhamdulillah dengan izin Allah dan komitmen jitu dari para penceramah, barisan urusetia, barisan fasilitator banyak membantu melancarkan lagi program.

Pendaftaran peserta telah pun bermula sejak jam 3 petang lagi, deruan angin dari Tanjung Piai seolah-olah menarik kehadiran peserta untuk datang. Pada awalnya, kami menyasarkan hanya 60 orang peserta sahaja yang akan hadir, rupanya jangkaan kami meleset, alhamdulillah diakhir sesi pendaftaran seramai 27 orang peserta lelaki dan 50 orang peserta perempuan telah mendaftarkan diri.

Bertemakan “Berupaya Membina Sahsiah Terpuji, Menerapkan Ciri Kepimpinan Rohani”. Setiap slot diisi dengan modul yang bermanfaat seperti Komunikasi Verbal & Non Verbal, Modul Kepimpinan, Pemimpin Merancang, Pengurusan Emosi, Ujian Dass, Kembara Alam dan Program Ziarah Jiran.

Barisan penceramah terdiri daripada Dr Johari B. Surif dari Universiti Teknologi Malaysia, Cik Nurul Asyikin Bt Saat dari Kolej Matrikulasi Melaka, Cikgu Hifzah dari KPM, En Hilmi Razak dari HR Consultan, dan barisan para pendidik dari As-Syddiq mengukuhkan lagi kemantapan modul.

Jom kita saksikan lensa coret-coret ProCAST 2015…

Untuk menonton montaj PROCAST

sila layari https://www.youtube.com/watch?v=-IirWhlBWGc