Tag Archives: Program Motivasi

Ceramah Kerjaya 2017

Hari selasa tanggal 28 Februari 2017, jam 11.15 pagi  berlangsung satu ceramah kerjaya bertempat di Bangunan Asrama Baru Sekolah Menengah Islam Assyddiq. Penceramah dijemput khas dari Unit Bimbingan Dan Kaunseling Dan Kerjaya Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kluang, Encik Hafidz Bin Nasiri.

Program ini mengambil masa selama 3 jam lebih dengan melibatkan  semua  pelajar tingkatan 4 dan 5 Sek Men Islam Assyddiq. Agenda utama program adalah untuk memberi penerangan dan maklumat-maklumat masa kini yang sangat penting dalam pemilihan subjek yang diambil dalam peperiksaan utama iaitu SPM.

Program dimulakan dengan kisah hidup seorang individu yang sangat biasa keputusannya, tetapi telah membuat langkah-langkah untuk berjaya dalam hidupnya, dengan menulis 100 target yang perlu dicapai dalam jangkamasa dua tahun. Ini menunjukkan bahawa dalam kehidupan seharian kita perlu mempunyai target dan berusaha untuk mencapai impian tersebut supaya tidak menjadi angan-angan kosong semata.

Kerjaya yang selaras dengan minat, kebolehan, personaliti serta pencapaian berupaya membantu pelajar memilih bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan diri. Di samping itu pendedahan maklumat mengenai kebolehpasaran kerja dapat membantu pelajar memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kehendak pasaran.

Penceramah juga membuat kombinasi subjek contohnya pengambilan subjek Prinsip Akaun perlu mengambil subjek Matematik Tambahan supaya boleh meneruskan untuk menjadi seorang akauntan dan lain-lain lagi.

Sebelum sesi soal jawap bermula, En. Hafidz menerangkan  pengiraan merit mengikut aliran sains dan sastera supaya para pelajar tahu akan kedudukan masing-masing dan seterusnya memperbaiki keputusan untuk membuat penambahbaikan markah merit.

Pada sesi soal jawab pelajar banyak menanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan kerjaya dan krusus  serta aliran apa yang perlu diambil.Akhirnya, penceramah membuat kesimpulan bahawa tidak kira apa impian atau  cita-cita pelajar, yang penting perlu mendapat keputusan yang cemerlang barulah pelajar boleh memilih bidang mengikut minat dan kecenderungan pelajar seterusnya negara boleh mencapai negara maju kerana melahirkan pekerja yang proaktif dan berinovasi tinggi dalam semua bidang.

Suasana sekitar program :

——————————-
Team Media As Syddiq

——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

PROGRAM KAHFI 2017

Alhamdulillah… Dipanjatkan syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia dan inayahNya Program KAHFI 2017 Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah dapat dilaksanakan pada 9 hingga 10 Februari 2017. KAHFI merupakan  singkatan kepada program Kem Asah Fakulti Insan dan program ini telah dilaksanakan setiap tahun. Program ini telah dianjurkan oleh pihak HALUANITA negeri Johor dengan kerjasama Sekolah Menengah Islam As Syddiq. Sasaran  utama program ini dijalankan melibatkan para pelajar Tingkatan 1 dan 2 Sekolah Menengah Islam As Syddiq.

Antara objektif program ini dijalankan adalah untuk membina ukhuwah yang erat di kalangan peserta di samping membina kefahaman dan kesedaran  Islam dalam jiwa setiap peserta. Bukan itu sahaja program ini juga bertujuan untuk membentuk jati diri peserta ke arah pengurusan yang lebih baik.

Program  telah dimulakan dengan sesi taklimat dan “ team building”pada 9 Februari 2017 pada jam 5.00 petang dan berakhir pada jam 6.00 petang. Bagi pelajar putera, program telah diadakan di Dataran Plus SMIAS dan bagi pelajar puteri program telah  diadakan di Asrama Imtiyaz. Setelah semua peserta makan malam dan solat Maghrib berjemaah, program diteruskan lagi dengan slot pertama iaitu sesi Kuliah Maghrib yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Izra’I bin Kanang pada pukul 8.00 hingga 9.00 malam. Selepas para peserta solat Isyak berjemaah, slot tayangan dan refleksi telah diadakan.

Seterusnya pada 10 Februari 2017, program diteruskan lagi dengan slot yang kedua iaitu sesi Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Puan Nooraini binti Selamat,selepas kesemua peserta solat Subuh berjemaah dan membaca al Mathurat.Sedikit aktiviti riadah telah diadakan bagi membangkitkan semangat  para peserta.Tepat jam 10.30 pagi sesi “ Sharing Moment” bersama dengan En Mohd Hilmi bin Abdul Razak bagi pelajar putera dan sesi “Sharing Moment” bersama dengan Puan Salmah binti Salleh, Puan Sarah Hamizah dan Cik Maryam Jameelah binti Hassan bagi pelajar puteri telah disampaikan. Semoga dengan sesi Sharing Moment ini, para peserta dapat mengambil sedikit pengalaman yang disampaikan oleh tokoh yang hebat ini.

Selepas para pelajar makan tengahari dan solat Zuhur berjemaah, sesi latihan dalam kumpulan iaitu sesi LDK bagi setiap slot telah dijalankan. Ianya bagi menilai sejauh mana kefahaman peserta terhadap setiap slot yang disampaikan dalam program ini dan para peserta diminta untuk membentangkan hasil perbincangan mereka. Program berakhir dengan Kalimah Akhirah yang telah disampaikan oleh Puan Supini binti Sardan yang mana beliau banyak memberi nasihat kepada para peserta dalam menempuhi segala onak dan ranjau dalam kehidupan ini terutama di sekolah dan asrama.

Terima kasih diucapkan kepada semua guru dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga dengan adanya program ini ianya dapat mencapai matlamat dan objektif yang digariskan di samping mendapat redha Ilahi…”Kalau ada keinginan yang kuat, niat ikhlas disertai usaha dan doa, Insyallah berhasil”.

Suasana sekitar program :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

Kem Minda Kreatif (KMK) & Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST)

Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah.

Alhamdulillah, baru-baru ini kami di As Syddiq telah pun selesai melaksanakan 2 program mega bagi pelajar tingkatan 1 sehingga 4 iaitu Kem Minda Kreatif (KMK) dan ProCAST (Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji). Selaras dengan falsafah pendidikan di As-Syddiq yang mahukan pelajar yang memiliki pendidikan terancang, kemaskini dan terpimpin, berteraskan tauhid, mentarbiah dan meningkatkan potensi pelajar kearah melahirkan insan cemerlang yang seimbang dari segi rohani, akal, jasmani dan emosi dan seterusnya berkhidmat kepada Islam untuk kemakmuran alam sejagat.

Kali ini kami di pihak sekolah telah bersetuju untuk memilih Kem PLKN, Teluk Sari Mersing sebagai lokasi program. Keterujaan jelas kelihatan, apabila berbondong-bondong pelajar mula membanjiri ruang legar persekolahan seawal jam 7.30 pagi. Petugas-petugas kantin sudah bersiap sedia dengan menu istimewa “Nasi Lemak As Syddiq” khusus untuk santapan peserta program. Program yang berdurasi selama 3 hari ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 216 orang peserta dari kalangan pelajar As Syddiq dan pelajar-pelajar dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Kolaborasi guru-guru As Syddiq dan guru-guru dari Kelab Guru HALUAN  banyak membantu didalam melicinkan perjalanan program. Kami sama-sama bergerak didalam menyampaikan wadah bagi melahirkan insan cemerlang yang diredhai Allah.

Bagi yang baru mengenali As Syddiq KMK adalah program yang dibangunkan khusus untuk pelajar tingkatan 1 sehingga 3, dengan tema “Rabbani Impian Syurga”. Pelbagai pengisian disusun bagi mencapai objektif yang disasarkan. Masa peserta yang menghadiri program ini sentiasa dimanfatkan dengan aktiviti yang membentuk jiwa dan peribadi. Penulis tertarik untuk berkongsi beberapa aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan seperti “Subuh Circle” dan “Explorace”. Ia sangat bertepatan sekali dengan lagu tema program “Hadapilah” oleh Shoutul Harakah. Bait-bait liriknya mendorong peserta untuk kuat menghadapi segala rintangan dan cabaran sebagai seorang pelajar dan jangan pernah berputus asa kerana Allah sentiasa berada bersama orang-orang yang selalu mengingatinya.

Berbeza sedikit dengan ProCAST, ia lebih menjurus kepada pembentukkan kepimpinan pelajar. Bersesuaian dengan tahap pelajar Tingkatan 4 yang baru menginjak ke alam remaja, ProCAST lebih selektif didalam pemilihan modul seperti komunikasi, pengurusan emosi dan 3 persoalan hidup. Bagi memantapkan program yang diatur, penceramah-penceramah yang berpengalaman diundang untuk menyampaikan wadah yang berguna kepada pelajar. Jika KMK memilih “Hadapilah”,  ProCAST memilih lagu “Mujahid Setia” sebagai tema di sepanjang program. Semangat yang dibawa dari lagu tersebut sememangnya memberi inspirasi kepada peserta yang terlibat.

Besarlah harapan kami agar program-program yang telah disertai oleh pelajar-pelajar ini dapat membentuk mereka menjadi insan yang bertakwa dan berketrampilan. Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program KMK dan ProCAST.

Berikut adalah montaj yang dihasilkan dipenghujung program, mari kita ikuti :

Montaj KMK :

Montaj ProCAST :

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Jati Diri Kesukarelawanan 2016

Alhamdulillah, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal melabuhkan tirainya secara rasmi pada 06 Disember 2016. Bagi pelajar-pelajar di As Syddiq, mereka telah pun menghabiskan kertas terakhir mereka secara rasmi pada 24 Disember 2016 yang lalu.

Sebagai institusi yang sentiasa berpegang kepada prinsip memperbaiki kualiti diri kerana Allah dan mendidik kerana Allah, program kemuncak bagi pelajar yang bakal meninggalkan alam persekolahan sudah lama diaturkan oleh pihak HALUAN. Selaku generasi kedua pelapis As Syddiq, mereka telah lama didedahkan dengan program-program yang telah diaturkan oleh HALUAN pusat. Program Jati Diri Kesukarelawanan  (JDK) merupakan program yang sangat ditunggu-tunggu.

Apa itu JDK? Bagi yang baru mengenali As-Syddiq dan HALUAN, JDK mungkin kedengaran asing di halwa telinga, tetapi sebenarnya JDK adalah program yang sudah hampir 7 tahun bertapak. Kali pertama ia diadakan di Terengganu selama hampir 2 bulan. Saban tahun JDK tidak pernah culas memperbaiki mutu program  dengan menyediakan program-program yang memberikan penekanan kepada aspek pembentukan jati diri dan kesukarelawanan kepada pelajar lepasan SPM.

Mengapa pelajar-pelajar ini wajib menyertai JDK? Program ini dibangunkan untuk mendedahkan pelajar kepada kemahiran berorganisasi, pengurusan dan komunikasi.  Selain dari itu JDK membina kemahiran pengurusan diri dan  melahirkan individu yang sayang dan sanggup berbakti kepada masyarakat serta melahirkan kepimpinan pelajar berwibawa dan berketerampilan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang JDK, mari kita sama-sama layari laman web dibawah untuk maklumat lanjut.

http://www.jdk.haluan.org.my

photo_2016-11-29_12-35-06.jpg

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

Bengkel Penulisan Cerpen

“Hawa menarik nafas lega, degupan jantung yang berdegup kencang sejak seminggu lalu kini berakhir, slip keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) yang diterima dari Ustazah Yaqin sudah semakin renyuk di tangan. Alhamdulillah, gelodak dihati kian terlerai, segala usahanya membuahkan hasil, titisan demi titisan air mata rebah ke bumi tanda syukur”

Berikut merupakan contoh penulisan cerpen dari salah seorang peserta bengkel Penulisan Kreatif kelolaan penulis Noraini binti Eslah atau lebih dikenali sebagai Ummu Anas.

Ummu Anas merupakan kolumnis tetap bagi majalah HALUAN semenjak tahun 1995. Walaupun sibuk dengan aktiviti harian dan menjadi ibu kepada tujuh orang anak  ia sedikit pun tidak menjadi halangan untuk beliau menceburkan diri dalam menghasilkan karya kreatif, khasnya cerpen dan novel. Kejayaan beliau memenangi tempat ketiga sayembara novel remaja DBP 2009/10 telah menambahkan lagi keyakinan beliau untuk terus bergiat dalam penulisan kreatif.

Sehubungan dengan itu pihak sekolah telah berbesar hati untuk menjemput Ummu Anas untuk berkongsi sedikit sebanyak berkenaan penulisan kreatif, bengkel selama sehari khusus untuk pelajar tingkatan 4 ini banyak didedahkan dengan teknik-teknik penulisan. Diakhir program pelajar dapat menghasilkan cerpen mereka sendiri melalui teknik yang diajar.

Suasana sekitar bengkel penulisan cerpen :

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Seminar Mahligai Impian – Bahagian Terakhir

Tajuk                     : Mencari Cinta Lestari

Moderator          :  Dr Johari Bin Surif

Panel 1                 : Dr Razali Bin Maarof

Panel 2                 : Pn Hjh Ezura Nashuha Binti Omar @ Abd Hadi

 

Assalamualaikum wbt, Alhamdulillah kita telah pun sampai ke bahagian terakhir dapatan dari Seminar Mahligai Impian kali ke-8, kali ini penulis akan berkongsi tips-tips yang telah dikongsi didalam perbincangan forum yang telah diadakan.

Terdapat pelbagai faktor dan kaedah untuk membina cinta lestari, berikut penulis kongsikan untuk tatapan pembaca-pembaca sekalian.

  • Jadilah pasangan yang setia mendengar (good listener). Proses ini sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi dan ia amat memerlukan masa
  • Memahami kelemahan dan kelebihan pasangan masing-masing
  • Hidupkan hati dengan iman kerana kukuhnya iman akan terbangunlah keyakinan.
  • Puji kebaikan pasangan dan sentiasalah menghargai pasangan. Jadikanlah rumahtangga sebagai sekolah kehidupan
  • Tambah ilmu dengan menghadiri majlis ilmu dan dapatkan seberapa banyak ilmu.
  • Latih diri untuk belajar mengambil tanggungjawab dan sentiasa ikhlaskan diri
  • Bukakan hati  dan sedarilah bahawa pengetahuan tentang agama, kekuatan iman dapat melahirkan generasi pewaris yang dapat membawa kita ke syurga.

 

Untuk memperoleh sesuatu yang kekal abadi ia bukanlah suatu jalan yang mudah, terdapat pelbagai cabaran yang harus ditempoh. Mari kita hayati bersama apakah cabaran yang harus ditempuh dan bagaimana untuk mengatasinya :-

 

  • Faktor ekonomi, bila mana kita mula menyalahkan akan tanggungjawab dan hak yang harus dipikul. Wahai para suami, janganlah kamu anggap memberikan nafkah kepada isteri sebagai satu bebanan tetapi anggaplah ia sebagai satu keistimewaan yang kamu miliki. Jangan malas bekerja dan biarkan isterimu yang menanggung segala-galanya.
  • Faktor komunikasi , ikutlah apa yang Al-Quran dan Sunnah perintahkan kepada kita, jangan hanya mahu satu pihak sahaja yang menang, setiap pasangan jangan selalu memendam rasa, luahkanlah apa yang terbuku dihati dan carilah jalan penyelesaian dengan cara yang paling berhemah.
  • Kurang penghayatan agama, janganlah setiap pasangan mencetuskan masalah dengan mencari orang ketiga, kuatkanlah iman dari terpengaruh dari pengaruh media sosial, kerana jika ianya berlaku tiada lagi barakah dan rahmah didalam rumahtangga.
  • Sentiasa ingati diri sendiri supaya jangan meletak harapan pada manusia tapi letakkan harapan dan keyakinan kita kepada Allah SWT. Banyakkan berdoa dan berserah kepada Allah SWT, sentiasalah bersama suka dan duka kerana bukan selamanya kita akan berada di puncak.

 

Teringat pada kata-kata seorang pujangga :-

Sungguh ajaib manusia muslim bila dia bersabar apabila ditimpa musibah dan dia bersyukur apabila diberikan nikmat

Sebelum berpisah marilah sama-sama kita membina visi keluarga muslim, tanyalah diri kemana mahu kita bawa rumahtangga yang bakal / telah dibina, fahamilah dengan jelas konsep baitul muslim. Koreksi diri untuk apa kita bernikah dan apa yang akan kamu harapkan didalam sebuah perkahwinan. Hayati makna dari surah Al-Tahrim ayat ke-6 yang bermaksud : Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjanganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

 

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

 

 

 

 

PROGRAM MOTIVASI : SEPETANG BERSAMA DR RAZALI BIN MAAROF

PROGRAM MOTIVASI : SEPETANG BERSAMA DR RAZALI BIN MAAROF
Baru-baru ini bertempat di Dewan Utama Asrama Puteri telah berlangsungnya satu program Motivasi bersama penceramah jemputan Dr Mohd Razali Maarof.
Program ini disasarkan khusus untuk pelajar tingkatan 3 dan 5 yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program yang berdurasi hampir 8 jam ini begitu padat dengan pengisian yang mampu menaikkan semangat pelajar yang amat mendahagakan tiupan semangat.
Program dimulakan dengan memperkenalkan formula F.C.I (Focus.Commited.Invigorated). Dr Razali banyak menekankan kepada peserta tentang konsep “membangau” yang harus dihindarkan dalam diri setiap insan. Apa itu “membangau”? “Membangau” membawa maksud memberikan alasan dalam apa jua tugasan atau arahan yang diberikan. Sebagai remaja yang kian meningkat usia, mereka sentiasa berkehendakkan sesuatu yang mencabar dan ingin mencuba sesuatu yang baru.
Selain dari itu beliau turut menyarankan para peserta agar sentiasa memohon doa dan hendaklah sentiasa bersyukur diatas segala nikmat yang diberikan. Terlalu banyak limpahan rezeki dan kurniaan yang telah diberikan oleh Allah SWT dan bagaimana kita menghargai setiap apa yang dianugerahkan. Jangan mudah lalai dan leka dengan kehidupan duniawi dan jangan ambil mudah dalam setiap perkara yang dilakukan.
Dr Razali bijak dalam mempelbagaikan setiap slot yang diberi. Semua peserta tidak akan dibiarkan hanya duduk mendengar ceramah, ada sahaja aktiviti dan klip-klip video dipaparkan untuk memastikan momentum peserta berada di tahap paling maksimum.
Pembelajaran yang boleh diambil dari program ini antaranya seperti berikut:-
• kita hendaklah sentiasa bersyukur diatas segala nikmat yang diberi
• memberi banyak alasan tidak akan memberikan kejayaan
• fokus adalah perkara penting untuk berjaya
• jangan ambil mudah dengan sesuatu perkara
• jika ingin berubah, cepatlah bertindak
• jangan hanya duduk di zon selesa
Semoga program ini memberi manfaat dan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar-pelajar ini untuk menjadi yang terbaik dari yang terbaik. Insyallah.
Suasana program motivasi :

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/