Tag Archives: Sumbangan

SUMBANGAN BUBUR LAMBUK & SEDEKAH RAMADHAN

Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima,.. syukur alhamdulilah dipanjatkan kepada ilahi dengan rahmat kurniaNya tanggal 12 Jun 2017 bersamaan 17 Ramadhan 1438, jam 3.00 petang telah berlansung satu program ‘’ Sumbangan Bubur Lambuk dan Sedekah Ramadhan’’ anjuran Syarikat Plus Berhad bertempat di dataran Plus SMIAS.

Program ini mengambil masa selama 2 jam lebih dengan melibatkan  semua  pelajar tingkatan 1, 2, 3 dan 4 Sekolah Menengah Islam Assyddiq. Agenda utama program ini adalah untuk memberi sumbangan bubur lambuk kepada para pelajar dan menyampaikan sumbangan sedekah bantuan musibah kebakaran.

Setelah para jemputan memenuhi ruang yang disediakan, majlis pun dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail. Ianya diikuti dengan ucapan perasmian oleh pengurus Syarikat Plus Berhad Machap, dan diakhiri dengan ucapan pengetua Sekolah Menengah Islam As Syddiq, Tuan Hj Shamjuddin bin Romani.

Setelah selesai sesi ucapan, majlis diteruskan dengan sesi  penyerahan bubur lambuk kepada para pelajar dan sumbangan bantu musibah kebakaran kepada murobbi SMIAS.

Alhamdulillah majlis bersurai pada jam 5,00 petang dan ahli plus diberikan sedikit buah tangan dari pihak sekolah. Akhir kalam jazakallah khairan kasiran diucapkan kepada semua yang terlibat dalam sumbangan bubur lambuk dan sedekah ramadhan bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar. Sekian..

Suasana sekitar majlis :

LAPORAN DISEDIAKAN

PUAN NOOR RAHIZAH BT ABDUL RAHMAN

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

 

MAJLIS PENYERAHAN TABUNG MUSIBAH KEBAKARAN SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ.

Firman Allah swt,

‘’ …Dan berikanlah infak di jalan Allah dan janganlah engkau menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat kebaikan ‘’. – Surat Al-Baqarah : 195

Alhamdulilah dipanjatkan syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurniaNya Majlis Penyerahan Tabung Musibah Kebakaran Sekolah Menengah Islam As syddiq dan Bantuan Hari Raya kepada Asnaf bagi kawasan Dun Layang-layang dilaksanakan pada 01 Jun 2017 bertempat di Masjid Jamek Baitul Muttaqim, Kampung Paya Layang-layang, Kluang telah berjalan dengan jayanya.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor merangkap ADUN Layang-Layang bersama Amin BaitulMal Majlis Agama Daerah Kluang menyampaikan bantuan hari raya aidilfitri kepada asnaf-asnaf dalam kawasan Dun Layang-layang. Turut bersama-sama penduduk dan masyarakat setempat dalam satu majlis penyerahan bantuan hari raya dan iftar.

Dalam majlis tersebut juga, sumbangan cek bernilai RM20,000 telah disampaikan oleh YB Tuan Haji Abdul Mutalib bin Abdul Rahim kepada pihak Mudir SMIAS iaitu Tn Hj Shamjuddin bin Romani untuk proses membaik pulih Sekolah Menengah Islam As Syddiq.

Firman Allah SWT, “Katakanlah, Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki pada sesiapa yang dikehendaki-Nya diantara hamba-hamba-Nya, dan Allah menyempitkan rezeki pada orang yang dikehendaki-Nya. Dan apapun yang kamu infakkan atas rezeki yang diberikan Allah, maka Allah menggantinya kembali dan Allah-lah sebaik-baik pemberi rezeki ‘’. – Surat Saba : 39

Majlis tersebut diakhiri dengan tazkirah khas Ramadhan oleh As-Syeikh Tn Hj Taufiq bin Dato’ Kiyai Haji Shamsuddin, Amin BaitulMal Daerah Kluang.

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga amalan sedekah yang telah dilakukan mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki kita. Sesungguhnya, tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima.

Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat sumbangan kepada pihak sekolah, sumabangan boleh dibuat melalui saluran berikut :-

Nama Akaun : SEKOLAH RENDAH AGAMA GHUFRAN (Nama lama bagi SMIAS)

Bank Penerima : MAYBANK

No Akaun : 5511-9110-2792

** Sila hubungi En Qayyim di talian 016-7611 676 untuk pertanyaan dan sumbangan.

 

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

 

Suasana sekitar program :

———————————–

Team Media As Syddiq :

———————————–

 

LAPORAN SUMBANGAN IPS KEPADA AS SYDDIQ – KEJADIAN KEBAKARAN

Tarikh : 23.5.2017

Masa : 10.00 pagi

Tempat : Sek. Men. Islam  As-Asyydiq,

Simpang Renggam, Johor

 

Firman Allah swt,

“….Gembirakanlah orang-orang yang taat, iaitu orang yang apabila disebut nama Allah maka bergetar hatinya dan orang yang bersabar atas apa yang menimpanya serta orang yang mendirikan solat dan orang yang menginfaqkan sebahagian rezekinya yang Kami berikan kepadanya”

Surah Al-Hajj : 34 – 35

 

Alhamdulilah, bersyukur kepada Allah SWT diatas nikmat Iman dan Islam. Selepas itu diberi pula kepada kita nikmat kefahaman dan kesedaran Islam yang sebenar sehingga kita boleh berada bersama-sama sahabat dalam perjuangan Islam.

 

27 April 2017,  hari yang mencatatkan suasana hening untuk seluruh warga As Syddiq. Di kala kita sedang lena dibuai mimpi, bilik guru yang terletak di aras satu bangunan Sekolah Menengah Islam As Syddiq ranap dijilat api. Tiada apa yang dapat diselamatkan hanya yang tinggal bara api yang telah dipadam dan cebisan kertas yang berterbangan meninggalkan kenangan.

 

Bangunan utama yang menempatkan hampir 90 % kelas dan bilik-bilik khas untuk pelajar Sekolah Menengah tergendala operasinya beberapa hari bagi memberi ruang untuk kerja-kerja pembersihan.

 

Sebagai menunjukkan rasa simpati, kebersamaan  dan ukhwah islamiah, pihak Apel  telah mengusulkan cadangan agar semua sekolah IPS dibawah sekolah  Angkat HALUAN untuk membuat kutipan dari  setiap peringkat bermula dari pengurusan dan pentadbiran, guru-guru, staff sehinggalah pelajar.

 

“Barangsiapa yang menyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memelihara). Sesungguhnya Allah menyampaikan urusanNya. Sesungguhnya Allah mengadakan qadar (takdir) bagi setiap sesuatu”

 

Alhamdulillah, cadangan dari pihak Apel telah disambut positif oleh semua IPS, masing-masing bagaikan berlumba-lumba untuk sama – sama menyumbang semampu yang mungkin. Semua yang berlaku adalah atas izinNYa, walaupun tempoh yang diberikan agak singkat, pihak Apel telah menerima sumbangan sebanyak RM 10,000.00 dari tabung HERS dan sumbangan dari warga IPS. Jazakallah kepada semua IPS yang telah berusaha mengutip sumbangan.

 

Firman Allah SWT, “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada serratus biji, dan Allah melipatgandakan bagi siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas kurniaanNya lagi Maha Mengetahui”

Surah Al-Baqarah : 261.

 

Pada 22 Mei 2017, Pengerusi APel Tn Hj Mohd Asri Bin Abd Hamid bersama Bendahari APel Pn Zurin Zurina Atan telah berkesempatan mengunjungi Sekolah Menengah Islam As Syddiq untuk meninjau kesan kebakaran dan seterusnya menghulurkan sumbangan dari IPS dan juga dari pihak APel. Lawatan ziarah ini menemukan kami dengan Mudir SMIAS iaitu Tn Hj Shamjuddin Bin Romani bersama Guru Besar SRIAS Tn Hj Yusof Bin Kaslan, mereka merakamkan jutaan terima kasih kepada semua IPS yang telah sudi menghulurkan sumbangan.

 

Kami turut dibawa  ke lokasi kejadian dan berkongsi usaha-usaha yang sedang giat dilakukan untuk proses baik pulih. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga Allah terus memberikan kekuatan kepada semua warga As Syddiq dan setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Alhamdulillah selesai sudah tugas kami untuk memberikan amanah dari warga IPS yang menyumbang. Semoga amalan sedekah yang telah dilakukan mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki kita.

 

Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat sumbangan kepada pihak sekolah, sumabangan boleh dibuat melalui saluran berikut :-

Nama Akaun : SEKOLAH RENDAH AGAMA GHUFRAN (Nama lama bagi SMIAS)

Bank Penerima : MAYBANK

No Akaun : 5511-9110-2792

** Sila hubungi En Qayyim di talian 016-7611 676 untuk pertanyaan dan sumbangan

 

Jangan menunggu KAYA dulu baru BERSEDEKAH,

Tapi BERSEDEKAHLAH nescaya engkau menjadi KAYA,

Jangan menunggu IKHLAS dulu baru BERSEDEKAH,

Tapi BERSEDEKAHLAH nescaya engkau menjadi IKHLAS,

Jangan menunggu LAPANG dulu baru BERSEDEKAH,

Tapi BERSEDEKAHLAH nescaya hatimu menjadi LAPANG,

Jangan menunggu NIKMAT dulu baru BERSEDEKAH,

Tapi BERSEDEKAHLAH nescaya akan bertambah NIKMAT.

 

Disediakan Oleh,

Zurin Zurina Bt Atan

Bendahari APel

 

Gotong Royong As Syddiq Bersama CSR Etiqa

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah baru-baru ini sekolah Islam As Syddiq telah menerima kunjungan dari sepasukan petugas dari sebuah agensi korporat iaitu Etiqa Insurans & Takaful Berhad, salah sebuah ahli kumpulan Maybank.

Kunjungan mereka adalah untuk melengkapi misi khidmat masyarakat yang diselaraskan di semua peringkat daerah dan negeri bahkan diseluruh dunia menerusi program CSR (Corporate Social Responsbility)

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Zon Selatan Etiqa iaitu En Yunus bin So’od telah mula membanjiri perkarangan As Syddiq seawal jam 8.00 pagi lagi. Hujan renyai yang turun sedikit pun tidak menjadi halangan buat kami meneruskan program. Kami di As Syddiq turut diwakili oleh Ydp Haluan Prof Dr Abdul Hakim@Miswan bin Mohamed.

Seramai 35 orang pelajar dari kalangan pelajar sekolah menengah mengikuti program ini. Terima kasih kepada pihak penaja yang sudi memberikan goodie bag kepada pelajar yang terlibat. Program kerjasama yang julung kali diadakan ini ditaja sepenuhnya oleh Etiqa. Sumbangan yang diberikan telah diagihkan kepada beberapa bahagian dan kawasan. Kami dari pihak As Syddiq telah bersetuju untuk menggunakan sumbangan yang diberi untuk menceriakan kawasan persekitaran sekolah rendah & menengah, kantin dan asrama. Hampir 30 anak pokok buah-buahan ditanam di laluan asrama puteri dan kawasan sekitar padang sekolah. Dinding utama bangunan sekolah rendah dan menengah turut bertukar warna hasil sumbangan Etiqa. Kantin kami yang mula pudar warna catnya juga kini kembali ceria dengan tona warna yang sejuk mata memandang. Tidak ketinggalan asrama puteri dan putera yang turut berubah wajah di beberapa kawasan terpilih.

Wakil -wakil dari Etiqa turut sama -sama berganding bahu menyiapkan kawasan yang dicadangkan. Mereka turut sama dapat melihat budaya di sekolah kami yang makan diatas dulang secara berjemaah bukan secara individu.

Sebaik sahaja jam melangkau ke jam 12 tengahari, peserta -peserta program CSR berkumpul untuk sesi penutup. Bagi memeriahkan majlis, acara kuiz turut diadakan.Program yang dikendalikan oleh Cikgu Muhammad Raman turut menawarkan hadiah yang ditaja oleh Etiqa. 10 soalan berkisar tentang sejarah kemerdekaan menjadi pilihan. Pertandingan ini dibuka untuk semua pelajar, guru, staff dan tetamu yang hadir. Suasana begitu gamat sekali kerana masing-masing ingin mencuba.

Diakhir program, pihak Etiqa telah berbesar hati memberi cenderahati kepada pihak sekolah dan berjanji akan datang lagi ke As Syddiq untuk sama-sama memberikan sumbangan didalam membangunkan prasarana dan kebajikan anak-anak As Syddiq.

Suasana Gotong-Royong As Syddiq bersama Etiqa :

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Etiqa Insurans & Takaful Berhad. Sila layari

http://www.etiqa.com.my/Malay/Pages/default.aspx

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Binti Atan

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/