Tag Archives: tarbiyah melahirkan pemimpin

LAPORAN PERKHEMAHAN PERDANA TAHUNAN KOKURIKULUM 2017

Pada 13 Julai hingga 14 Julai 2017 yang lalu, satu Perkhemahan Perdana Tahunan Kokurikulum 2017 anjuran unit kokurikulum dan unit tarbiyah Sekolah Menengah Islam As Syddiq  telah diadakan di kawasan Padang Sekolah Islam As Syddiq  bagi pelajar perempuan dan Tapak Komersial Pertanian Sawit bagi pelajar lelaki. Perkhemahan tersebut melibatkan semua pelajar tingkatan 1 hingga 5. Perkhemahan ini diadakan selama 2 hari 1 malam dan seramai 210 orang pelajar telah terlibat. Matlamat program ini diadakan bertujuan untuk melahirkan generasi pelajar yang berwawasan, mempunyai imej kendiri positif, berakhlak mulia serta berfikiran matang sehingga mampu menangani masalah dan pancaroba hidup seterusnya.

Sebelum aktiviti ini berlangsung, para pelajar diberi taklimat mengenai keselamatan diri serta hal yang berkaitan dengan perkhemahan yang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail. Para pelajar melaungkan kata-kata semangat sebelum bergerak ke tapak perkhemahan masing-masing. Para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Alhamdulilah, semua pelajar berjaya mengikuti tentatif program yang telah disediakan oleh pihak penganjur

Butiran aktiviti           :

KHAMIS (13 JULAI 2017)

Masa Aktiviti
7.30 – 8.00 pagi Mengaji Al-Quran
8.00 – 8.30 pagi ·         Pendaftaran

·         Berkumpul di dataran SMIAS

·         Taklimat perkhemahan

Masa Aktiviti
8.30 – 10.30 pagi SLOT 1

·         Pengagihan peralatan/khemah

·         Bergerak ke tapak perkhemahan

·         Pembersihan kawasan/ Mendirikan khemah

10.30 – 11.00 pagi Sarapan pagi
11.00 – 1.00 petang Ice Breaking

·         Nama kumpulan

·         Logo/bendera kumpulan

·         Bentang

1.00 – 2.00 petang ·         Makan tengahari

·         Solat zohor

2.00 – 4.00 petang Pertandingan Mereka Cipta Replika/ Membina Gajet
4.00 – 5.00 petang ·         Solat asar

·         Al-Mathurat

5.00 – 6.00 petang Ikhtiar Hidup

·         Kembara tarbawi

·         Kentang bakar/telur

6.00 – 7.00 petang ·         Makan malam

·         Mandi

7.00 – 9.00 malam ·         Solat Maghrib

·         Kuliah / tazkirah

·         Solat Isyak

9.00 – 11.00 malam ·         Malam Kebudayaan

·         BBQ

11.00 – 12.00 malam Katibah

JUMAAT (14 JULAI 2017)

 

Masa Aktiviti
12.01 – 5.00 pagi Katibah / Qiamullail
5.00 – 7.00 pagi ·         Mandi

·         Solat subuh

·         Kuliah Subuh

·         Al-Mathurat

7.00 – 10.00pagi Riadah & Sukaneka

Pertandingan Memasak

·         Sarapan pagi

 

10.00 – 11.00 pagi Gotong – royong

·         Kemas khemah

 

11.00 – 12.00

tengahari

·         Majlis Penutup

·         Penyampaian hadiah

Secara keseluruhannya, Perkhemahan Tahunan Kokurikulum 2017 pada kali ini memberikan 1001 kenangan manis kepada pelajar-pelajar dan semua guru. Banyak pengalaman yang telah diperolehi oleh semua guru untuk menjadi seorang pendidik yang berguna untuk masyarakat dan negara. Segala aktiviti dalam program ini telah dilaksanakan dengan sebaiknya serta semua pelajar telah memberikan komitmen yang menyeluruh terhadap semua aktiviti yang dijalankan.

Suasana sekitar program :

——————————-
Team Media As Syddiq

——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12

Pada cuti sekolah,penggal pertama tanggal 18 hingga 20 haribulan Mac,Kelab Remaja Haluan (KeARAH) telah berjaya menganjurkan Perkhemahan Remaja PeWARIS HALUAN Kebangsaan kali ke-12.

Bertemakan “Remaja Berfikrah Penggerak Ummah” yang bertempat di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput (U), Perak yang telah dihadiri seramai 218 orang dari seluruh Malaysia.

Program PeWARIS 12 ini dirasmikan oleh YDP HALUAN Perak. Kemudian program diteruskan dengan taklimat program dan heart setting daripada Kem Komanden iaitu Abang Talhah bin Hazni. Peserta dibahagikan di dalam kumpulan melalui aktiviti ‘Ice Breaking’ yang mana peserta diberi sekeping kertas yang tertulis beberapa nama-nama Allah (Asmaul Husna) kemudian,barisan fasilitator menutup mata para peserta menggunakan sehelai kain dan para peserta perlu mencari ahli kumpulan mereka.Aktiviti ini sangat menguji mental dan fizikal para peserta.

Program diteruskan dengan slot pertama yang bertajuk Bahtera Penyelamat. Slot ini disampaikan oleh Encik Rosdi bin Baharom belian merupakan pendakwah sepenuh masa.Beliau ada mengingatkan peserta bahawa berdakwah ini bukan kerja untuk kita dapat duit. Pada sebelah malam, selepas selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah program diteruskan dengan LDK dan perbentangan bagi slot pertama. Perbentangan pada malam tersebut dibentangkan dalam bentuk lakonan, yang mana pihak program mengasingkan peserta perempuan di Musollah manakala peserta lelaki di Dewan Utama. Selesai sahaja perbentangan peserta perempuan digerakkan ke Dewan Utama untuk mendengar taklimat KeARAH (Kelab Remaja HALUAN) yang disampaikan oleh Encik Muhammad Radhi bin Rahman  Taklimat ini mengenalkan para peserta apa itu KeARAH,sejarah,visi,misi dan motto KeARAH. Seterusnya , sebelum kem komanden melepaskan para peserta untuk berehat , mereka bersama-sama membaca surah Al Mulk dari awal hingga akhir.

An-Nasai meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda, sesiapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka Allah akan mencegahnya dari seksa kubur. (HR An-Nasai)

Pada hari kedua, seawal 4.30 pagi para peserta dikejut. Mereka menunaikan solat subuh secara berjemaah dan mendengar sedikit kuliah subuh. Kemudian,kem komanden mengarahkan para peserta berkumpul di tanah lapang berhampiran dengan Musollah dan mengadakan KULTUM ( Kuliah Tujuh Minit) sementara menunggu sarapan siap. Selepas para peserta bersantap, mereka dikumpulkan kembali di tempat mereka berkumpul tadi untuk sesi fotografi. Selesai sahaja sesi fotografi semua para peserta digerakkan ke Surau Kampung Sungai Durian,Sungai Siput dengan berjalan kaki untuk aktiviti Kembara PeWARIS dan aktiviti kemasyarakatan. Sampai sahaja di perkarangan surau, Allah izin hujan renyai-renyai tetapi program tetap diteruskan dengan sepatah dua kata dari Ketua Kampung. Selepas itu, peserta lelaki dibahagikan kepada dua kumpulan di mana satu kumpulan membersihkan surau bahagian lelaki dan lagi satu kumpulan membersihkan dewan orang ramai Kampung Sungai Durian manakala peserta perempuan membersihkan stor surau dan bahagian solat perempuan.

Selesai sahaja menjalankan aktiviti pembersihan, para peserta dikehendaki untuk makan tengah hari dan mendengar sedikit ucapan penghargaan dari ketua kampung. Kem komanden membenarkan para peserta untuk qailullah dan berehat sebentar sementara menunggu masuk waktu solat zhohor. Setelah menunaikan solat zhohor,para peserta dikehendaki menziarahi beberapa buah rumah mengikut kumpulan dan memberi sedikit buah tangan. Kemudian,para peserta berjalan pulang balik ke kem. Program diteruskan lagi pada sebelah malam,selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah program disambung dengan slot kedua yang berjudul Pembentukan dan Kesedaran Islam. Slot kedua ini disampaikan oleh Setiausaha Haluan Perak, Encik Ahmad Salleh. Disini beliau menerangkan beberapa syarat kepimpinan. Kemudian,program diteruskan dengan LDK untuk slot kedua,seusai para peserta menunaikan solat isyak secara berjemaah.

Pada hari terakhir program, selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah dan sedikit pengisian hati dengan tajuk Ciri-ciri Penghayatan Islam para peserta digerakkan menuju ke sungai yag berhampiran dengan kem tersebut. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki dahulu untuk masuk kedalam sungai dan diikuti dengan peserta perempuan dengan kedinginan di pagi hari di tambah dengan kesejukan air sungai. Sejuknya, MashaAllah. Kem komanden mengarahkan peserta lelaki untuk berganjak ke tempat jauh sedikit agar ada jurang antara lelaki dan perempuan. Peserta lelaki dikehendaki untuk menyanyikan lagu Asmaul Husna dan sedikit aktiviti (maaf tidak diketahui) manakala peserta perempuan dikehendaki untuk membaca Al Mathurat dan melakukan aktiviti yang dapat mengeratkan ukhwah sesama mereka.

Habis sahaja aktiviti tersebut para peserta dikehendaki untuk memasak sarapan mereka sendiri walaupun dalam keadaan basah aktiviti ini dinamakan Chef de PeWARIS. Selesai sahaja aktiviti tersebut makanan kami diuji oleh para juri yang berkepimpinan. Selesai kami menjamu selera, kami diberi arahan untuk mempersiapkan diri dan mengemas dorm. Tepat jam 11.00 pagi para peserta telah berkumpul di Dewan Utama untuk majlis penutupan.

Sekalung budi dan jutaan terima kasih kepada semua urusetia, guru pengiring, fasilitator, dan tidak ketinggalan individu –individu yang terlibat bagi menjayakan program PeWARIS.

Sekitar Perkhemahan :

 

Syazwani Binti Samsudin

Pelajar Sekolah Islam As Syddiq

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Temubual Santai Pelajar Cemerlang SPM

Assalamualaikum pembuka bicara kalimah. . .

Alhamdulillah tanda syukur kami kepadaNya. Berakhirlah sudah Majlis Graduasi dan Hari Anugerah Cemerlang untuk sesi 2016. Tahniah buat semua anak-anak as Syddiq. Kalian semua telah BERJAYA melepasi satu fasa yang mana kami para guru, abang & kakak bahkan ibubapa kamu pernah melaluinya.

Apabila cikgu Zurin diminta untuk menulis ruangan di alam maya ini ia bagaikan sireh pulang ke gagang. Mengenali mereka dari status guru sementara menggantikan Madam Wan yang cuti bersalin kemudian bertukar kepada guru tetap mengajar Bahasa Inggeris sehinggalah dilantik menjadi guru tingkatan pada tahun berikutnya.

Mengenali mereka ibarat seorang pelukis yang setia dengan berus dan warnanya. Sebagai pelukis kita yang melakar apa yang diinginkan. Kadangkala menjadi kadangkala sebaliknya. Tetapi kami tetap setia bersama.

Cikgu Zurin tertarik untuk berkongsi sebaris kata yang diterima dari medium whatsapp.

Tahniah pelajar-pelajarku..anda semua telah berjaya walaupun ada yang memandang sinis akan kelemahanmu. Di sisi Allah, banyak kejayaan yg telah kamu sama-sama raih.

Dalam 50 yg dibuat mungkin hanya 1 saja salahnya. Masih ada lagi 49 lagi yg berjaya.
Dalam 100 yang kita buat mungkin ada 10 yg gagal. Masih ada 90 lagi yang dah berjaya.

1 Rahmat Allah dikurniakan semasa di dunia.
99 tersimpan di akhirat.
Jangan putus asa dengan Rahmat Allah.
*Allah bersama mu.*

Di kesempatan yang singkat ini Cikgu Zurin sempat menemubual calon terbaik SPM 2016 dari As Syddiq iaitu Muhammad Taqiuddin Bin Shamjuddin. Kejayaannya memperoleh 9A diharapkan menjadi pengerak semangat kepada calon SPM 2017.

Cikgu Zurin sudah lama mengenali pelajar yang lebih mesra dipanggil Taqi ini. Seingat cikgu ketika dia masih di sekolah rendah lagi. Remaja yang amat murah dengan senyuman.

Bila ditanya apa perasaan pertama kali melihat keputusan SPM. Jawabnya perlahan dan penuh rendah diri. Saya sangat terkejut dan teruja .. Saya tidak menjangkakan akan memperoleh keputusan sebegitu rupa.. Hanya syukur kehadrat illahi saya panjatkan..

Perbualan kami dipanjangkan lagi dengan persoalan apakah persiapan yang dilakukan untuk menghadapi SPM. Menurut Taqiuddin semestinya ialah dengan banyak membaca buku ilmiah disamping membaca al-quran dan berdoa. Tidak lupa juga memperbanyakkan latihan kpd subjek-subjek yang lemah. Selain dari penting juga untuk kita mengulangkaji pelajaran dengan kawan untuk menguatkan pemahaman.

Anak muda ini turut berkongsi tip yang sesuai digunapakai dalam konsep pembelajaran dan pengajaran.

* Kalau yakin subjek tu boleh mengulangkaji seorang teruskan . kalau tidak, perlulah mencari kawan untuk mengulangkaji bersama-sama

* Fokuskan kepada subjek yang lemah dan tidak lupa kepada yang dah ok.. (perbanyakkan latihan)

* Kalau boleh. usahakan untuk mengajar kawan-kawan kerana output lagi berkesan berbanding input.

Tip – tip tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja, Taqiuddin turut menasihatkan kepada bakal calon-calon spm yang akan datang agar Berusahalah dan yakinlah kepada pertolongan Allah .. Jangan jadikan kegagalan itu satu batu penghalang kepada usaha kamu. Tapi jadikan lah kegagalan yang kamu alami itu sebagai satu batu loncatan kepada semangat untuk berjaya.Bukan hanya untuk SPM tapi untuk ujian yang akan datang juga .

Menerusi sesi temubual yang separa formal dan singkat ini Cikgu Zurin dapat merumuskan beberapa perkara.

* setinggi mana kita menuntut ilmu jangan pernah lupa akan Al -Quran.

* sentiasa bantu membantu dan kukuhkan ukhwah & mahabbah.
*Redha dan tawakkal serta yakinlah dengan janji Allah.

Semoga kejayaan saudara Muhammad Taqiuddin menjadi inspirasi kepada semua.

Kepada yang lain-lain, tahniah juga diucapkan. Perjalanmu masih panjang. Jika iman masih terpahat dan ilmu masih dicari.InsyaAllah akan ada jalan penerusannya.

 

Zurin Zurina Binti Atan

Mantan Penulis As Syddiq

 

——————————-

Team Media As Syddiq

——————————-

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ SESI 2017

“ Setiap di kalangan kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab atas apa yang dipimpin. Memetik hadis Nabi s.a.w, pemimpin di sekolah terdiri dari pengawas yang mana mereka merupakan kumpulan pelajar yang dihormati di sekolah. Mereka merupakan pelajar-pelajar pilihan yang mempunyai keterampilan dan kecemerlangan  baik dari aspek akademik, sahsiah mahupun kokurikulum. Mereka merupakan role model kepada pelajar-pelajar lain.

Oleh yang demikian sebagai tanda pengiktirafan , Alhamdulillah satu sesi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah diadakan pada 5 Februari 2017 bertempat di Dataran Plus SMIAS. Majlis ini telah dijalankan semasa perhimpunan rasmi bermula seawal jam 8.00 pagi Objektif majlis ini diadakan adalah untuk memberi pengiktirafan dan semangat kepada pengawas supaya melakukan tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab. Selain itu semoga dengan pelantikan ini semua pengawas yang telah dilantik dapat menggalas dan menyempurnakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan peraturan sekolah tanpa rasa ragu.

Sesi penyerahan watikah pelantikan pengawas telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nizam bin Ismail dan diiringi oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif. Bacaan ikrar pengawas telah dijalankan selepas kesemua pengawas menerima watikah pelantikan dan ianya telah diketuai oleh Ketua Pengawas  saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi. Setelah itu disampaikan beberapa amanat penting kepada semua pengawas oleh Cikgu Muhamat Raman bin Sarif.

Pada keseluruhannya , majlis ini telah sempurna dijalankan dengan kerjasama semua guru dan pihak yang terlibat. Majlis seperti ini dilihat penting bagi menghargai tugas-tugas pengawas dan menyuntik  semangat mereka  dalam menjalankan tugas yang diberi di atas bahu mereka. Semoga pengawas yang dilantik pada tahun ini dapat menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya…

Suasana sekitar majlis :

LAPORAN DISEDIAKAN

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL MENENGAH RENDAH AGAMA & SIJIL MENENGAH AGAMA  SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ 2016

Alhamdulillah…

Penantian guru-guru dan pelajar- pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama dan Sijil Menengah Agama 2016 akhirnya terjawab kerana pada hari Ahad 15 Januari 2017 telah diumumkan keputusan bagi kedua-dua peperiksaan tersebut.

Di kesempatan ini pihak warga Sekolah Menengah Islam As Syddiq mengucapkan tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama ( SMRA) 2016 dan Sijil Menengah Agama ( SMA ) 2016. Berbekalkan usaha, doa dan tawakal selain usaha gigih dari guru-guru, para pelajar akhirnya mendapat keputusan yang membanggakan bagi peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama 2016 dengan peratus kelulusan 100% lulus. Manakala bagi peperiksaan Sijil Menengah Agama 2016 peratus kelulusan agak menurun sedikit dengan peratus kelulusan 50% lulus.

Bagi keputusan peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama 2016 seramai tiga orang pelajar mendapat keputusan Mumtaz iaitu saudara Muhammad Nasif bin Ahmad Khusairi, saudari Nur Shodrina Wadihah binti Abu Bakar dan saudari Nur Maryam binti Hazizan.

Bagi keputusan  peperiksaan Sijil Menengah Agama 2016 seramai 4 orang pelajar mendapat keputusan Jayid Jiddan iaitu saudara Muhammad Naufal bin Ahmad Khusairi mewakili pelajar putera dan bagi pelajar puteri diwakili saudari Siti Balkis binti Amalludin, saudari Siti Maryam binti Mahmad dan saudara Waie Sajidah Saadah binti Zihan. Mabruk penulis ucapkan atas kejayaan anda semua.

Semoga kejayaan anda menjadi inspirasi kepada rakan – rakan yang lain untuk lebih tekun dan fokus dalam pembelajaran. Antara kunci kejayaan pelajar – pelajar ini adalah sentiasa fokus ketika guru mengajar dan saling bertanya sekiranya ada sesuatu yang tidak difahami dalam pembelajaran.

Selain usaha dan tawakal, pergantungan kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan menyedarkan diri kita bahawa kita adalah insan yang sentiasa memerlukan pertolonganNya. Akhir kalam, semoga kecemerlangan dalam bidang akademik ini menjadi pemangkin kepada mereka  untuk turut cemerlang dari segi sahsiah dan rohani. Sekian…

Jom kita saksikan wajah-wajah kejayaan pelajar-pelajar ini…

 

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

——————————-
Team Media As Syddiq

——————————-

https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

WALIMATUL URUS CIKGU ZURIN ZURINA BINTI ATAN & PASANGANNYA TUAN HJ MOHD ASRI BIN ABD HAMID

Firman Allah dalam surah Ar –Rum ayat 21 yang bermaksud “ Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri,agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya,dan Dia menjadikan di  antaramu rasa kasih dan sayang.Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang berfikir….

Alhamdulillah tanggal 14 Januari 2017 menjadi tarikh keramat bagi Madam Zurin Zurina bt Atan dan pasangannya Tuan Hj Mohd Asri bin Abd Hamid  yang telah selamat diijabkabulkan pada jam 11.00 pagi bertempat di rumah pengantin perempuan di Parit Bakar, Muar Johor.

Madam Zurin Zurina bt Atan merupakan bekas guru Sekolah Menengah Islam As Syddiq yang telah banyak menabur bakti dan jasa dalam mendidik anak-anak As Syddiq manakala pasangannya Tuan Hj Mohd Asri bin Abd Hamid merupakan Pengerusi Amanah Pelajaran ( APEL ) HALUAN.

Tahniah kami ucapkan dari warga Sekolah Islam As Syddiq dan didoakan mahligai yang dibina berkekalan hingga ke jannah. Amiin…

بارك الله لكما وبارك عليكما

وجمع بينكما في خير

بارك الله لكما وبارك عليكما

وجمع بينكما في خير

Baraka Allahu Lakuma wa Baraka alikuma

Wa jamaah baina kuma fee khair

Baraka Allahu Lakuma wa Baraka alikuma

Wa jamaah baina kuma fee khair

Jom kita saksikan momen –momen terindah bersama pasangan ini…

Video kenang-kenangan yang telah dihasilkan Team Media As Syddiq :

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

LAPORAN :

MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

IJTIMA’ AM KALI PERTAMA BERSAMA CIKGU ANUAR BIN DAUD

Alhamdulillah…Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya pihak HALUAN Johor telah mengadakan Ijtimak  Am kali pertama bertempat di Sekolah Rendah Islam As Syddiq pada tarikh 14 Januari 2017 bermula jam 9.00 pagi.

Ijtimak dimulakan dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Naufal bin Ahmad Khusairi dan bacaan al Quran oleh saudara Ahmad Thaqif bin Ahmad Teridi.Seterusnya  pengerusi majlis Tuan Hj Mohd Yusof bin Kaslan  menjemput Prof. Sr. Dr. Abd Hakim  bin Mohammed, Yang Dipertua HALUAN Negeri Johor  menyampaikan sedikit kata-kata aluan.

Prof. Sr. Dr.  Abd Hakim berpesan bahawa Ijitimak Am ini diadakan bertujuan yang pertamanya adalah  untuk mengingatkan kembali perkara-perkara penting dalam kehidupan kita supaya kembali kepada Allah, dan yang keduanya Ijtimak Am ini merupakan satu medan pertemuan antara sahabat dan sahibah HALUAN di Johor. Profesor Dr Abd Hakim juga mengingatkan semua ahli HALUAN Johor untuk melihat kembali keadaan umat Islam pada masa kini dan diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang berlaku terhadap umat Islam sekarang ini. Seterusnya diharapkan semua ahli HALUAN Johor dapat membina jati diri yang kukuh supaya kita benar-benar hidup dalam suasana Islam yang diredhai Allah s.w.t.

Ijtimak diteruskan dengan penyampaian dari Cikgu Anuar bin Daud yang bertajuk PERJALANAN YANG JAUH. Tajuk ini mengupas tentang bagaimana kita sebagai seorang umat Islam yang telah berbaiah dengan lafaz yang kita lafazkan untuk kita memperhambakan diri kita kepada Allah dan seterusnya mencapai kemenangan bukan sahaja di dunia tetapi kemenangan di akhirat.

Untuk mencapai kemenangan tersebut memerlukan kepada kekuatan iman yang mendalam di samping merasa agong dan mulia dalam mendepani seluruh reality kehidupan yang bertentangan dengan iman. Selain itu ianya memerlukan kepada kesabaran yang utuh untuk melipatgandakan kekuatan tersebut  dan menutup celah – celah kelemahan seorang insan. Diharapkan daripada penyampaian yang disampaikan ini dapat menyedarkan kembali hati-hati insan yang mendengarnya dan memperbaiki diri demi mendapat redha Ilahi.

Alhamdulillah majlis bersurai pada jam 12.00 tengahari dan diteruskan dengan sesi menjamu selera.

Suasana sekitar ijtima’ am :

 

Rakaman Lensa As Syddiq

LAPORAN DISEDIAKAN :

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

LAPORAN :

MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

ORIENTASI PELAJAR TINGKATAN 1 & TINGKATAN 4 SEKOLAH MENENGAH ISLAM AS SYDDIQ 2017

Alhamdulillah,

Dimulakan dengan Bismilah,

Disudahi dengan Alhamdulillah,

Begitulah sehari dalam hidup kita

Mudah-mudahan dirahmati Allah…

Alhamdulillah selesai sudah minggu orientasi untuk pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 Sekolah Menengah Islam As Syddiq bagi sesi 2017. Pelbagai ragam dan keletah anak – anak didik yang baru menempuhi alam persekolahan peringkat menengah terutamanya bagi pelajar Tingkatan 1. Ahlan Wasahlan sekali lagi penulis ucapkan kepada semua pelajar Tingkatan 1 dan 4 tahun 2017. Semoga minggu orientasi ini menjadi memori terindah dalam kehidupan mereka dan memberikan pengalaman yang berharga dan boleh diceritakan kepada generasi seterusnya.

Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi pelajar Tingkatan 1 di bawah pimpinan Ustaz Mohd Hazami bin Taib dan pelajar Tingkatan 4 di bawah pimpinan Ustaz Mohd Khairullah bin Khairudin. Pada hari pertama kesemua pelajar Tingkatan 1 & 4  telah dibawa menyelusuri Sejarah As Syddiq serta Harapan Sekolah Menengah Islam As Syddiq yang telah disampaikan oleh Tuan Pengetua Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Selain itu pelajar  juga diperingatkan tentang peraturan dan undang-undang sekolah dan asrama sepanjang mereka berada di sekolah di bawah seliaan GPK HEM, Puan Noor Rahizah binti Abd Rahman dan Penyelia Asrama, Puan Rose Zaharianton binti Zahari. Diharapkan dengan peringatan – peringatan  ini dapat menjadikan seorang pelajar lebih berdisiplin dalam kehidupan mereka.

Bagi membangkitkan suasana ceria di kalangan pelajar mereka juga telah diperkenalkan dengan Lagu Sekolah dan Lagu Bingkai Kehidupan.Tidak ketinggalan Unit Akademik juga turut terlibat dalam minggu orientasi ini dalam menyampaikan taklimat berkenaan dengan subjek dan peperiksaan akademik dan deeniah yang diajar di Sekolah Menengah Islam  As Syddiq.Taklimat tersebut telah disampaikan oleh GPK AKADEMIK, Puan Nusaibah binti Md Yamin bagi subjek akademik dan SUPD DEENIYAH Ustazah Nabilah binti Ibrahim. Selain itu sesi taklimat PAJSK & Kokurikulum juga telah disampaikan oleh GPK KOKO, En Muhamat Raman bin Sarif.

Seterusnya pada hari ketiga, Ustaz Muhamad Nizam bin Ismail dari Unit Tarbiyah Sekolah Menengah Islam As Syddiq telah menyampaikan slot yang bertajuk Jati Diri Pelajar Muslim & 10 ciri pelajar Muslim kepada pelajar Tingkatan 1 & 4. Diharapkan daripada slot yang disampaikan dapat menjadikan pelajar seorang yang berwibawa dan berketrampilan. Seterusnya aktiviti diteruskan dengan Taklimat SPBT oleh Madam Wan Rohimah binti Hairani dan Taklimat Kaunseling oleh Puan Hairunnisa binti Busro bagi pelajar Tingkatan 1. Manakala bagi pelajar Tingkatan 4, mereka terlibat dengan Slot Indahnya Bersama Tuhan dan sesi Latihan dalam kumpulan.

Minggu orientasi pelajar Tingkatan 1 & 4 telah berakhir dengan Majlis Penutup Program Orientasi 2017 yang telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua Sekolah Menengah Islam As Syddiq Tuan Hj Shamjuddin bin Romani. Akhir kalam diharapkan dengan program orientasi yang dijalankan oleh pihak sekolah dapat memecahkan ais-ais di kalangan para pelajar dan mereka dapat meneruskan kehidupan di As Syddiq dalam suasana yang diredhai Allah. Sekian….

Suasana orentasi Pelajar Tingkatan 1 :

Suasana orentasi Pelajar Tingkatan 4 :

Sekitar Majlis Penutup oleh Pengetua dan Ustaz Nizam :

 

LAPORAN DISEDIAKAN:

USTAZAH MAISURA BINTI MOHD ISA

Penulis As Syddiq 2017

 

———————————

Team Media As Syddiq

———————————

Blog sekolah : https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com/

Ahlan Wasahlan Pelajar Tingkatan 1 & 4 Bagi Sesi 2017

Minggu persekolahan telah masuk minggu kedua, hari ini pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 4 yang telah mendaftar di SMIAS semalam akan mula mengorak langkah mencari tapak ketahanan diri di bumi As Syddiq.

Wajah-wajah suci pelajar tingkatan 1 yang baru mengenali As Syddiq menjadi tanggungjawab  semua warga As Syddiq untuk mencoraknya. Terima kasih kepada semua ibubapa yang memberi sepenuh kepercayaan kepada kami untuk mendidik dan mentarbiah anak-anak ini.

Mengikut data yang diterima, pelajar-pelajar yang mendaftar pada tahun ini mendapat maklumat tentang sekolah melalui sebaran dari rakan-rakan yang telah menghantar anak-anak mereka di As Syddiq dan melalui hebahan media.

Pada tahun ini, As Syddiq mula menawarkan program Tahfiz yang menggunakan konsep Ulul Albab yang menekankan akademik, deeniah,  al-Quran dan Bahasa Arab. Ia terbuka kepada pelajar lelaki dan perempuan dan pemilihan akan dibuat oleh panel yang telah dilantik oleh pihak sekolah yang diwakili oleh Ust Muhammad Nizam Bin Ismail, Ust Muhammad Fadlee Bin Abu Bakar dan Ustazah Fathymah Bt Badruzzaman.

Manakala bagi pelajar tingkatan 4, pelajar-pelajar akan dibahagikan mengikut 2 aliran yang telah ditetapkan iaitu aliran sains tulen dan aliran sains sosial. Seramai 41 orang telah mendaftarkan diri dengan nisbah 20 orang pelajar lelaki dan 21 orang pelajar perempuan. Peningkatan hampir 10% dari jumlah pelajar tahun lalu.

Akhir kalam, kami warga As Syddiq amat berbesar hati diatas kepercayaan yang telah diberikan kepada ibubapa untuk kami warga As Syddiq. Semoga hasrat kami untuk melahirkan generasi kepimpinan yang bakal memulakan langkah dalam agenda perubahan dengan melaksanakan proses pembinaan (tarbiah) di tahap diri, keluarga dan masyarakat secara serentak dapat dicapai. Bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud :-

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra’d:11)

Gambar sekitar suasana taklimat pelajar tingkatan 1 :

Gambar sekitar suasana taklimat pelajar tingkatan 4 :

 

Laporan disediakan oleh :

Zurin Zurina Bt Atan

——————————-
Team Media As Syddiq
——————————-
https://sekolahislamassyddiq.wordpress.com

Lagu Sekolah Islam As Syddiq

Lagu Sekolah Islam As Syddiq yang di gubah khas oleh anak didik Sekolah Islam As Syddiq dengan bantuan guru-guru.

Semoga alunan lagu ini terus mekar dihati para pelajar, guru-guru dan para pekerja di Sekolah Islam As Syddiq khususnya agar sentiasa bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran.

Diharapkan juga lagu yang dialunkan ini menjadi doa kepada pelajar-pelajar di As Syddiq khususnya agar dapat melakar kejayaan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah . . .

Sekolah Islam As Syddiq adalah hak milik syarikat As Syddiq Resource Berhad.

Sekolah Islam As-Syddiq atau akronimnya As Syddiq diberi nama berdasarkan lokasi sekolah terletak di Kampung Sahari, Simpang Renggam.